YOHANES 20:10-18
YOHANES 20:10-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian pengikut-pengikut Yesus itu pulang. Maria berdiri sambil menangis di hadapan kubur. Sambil menangis dia menjenguk ke dalam kubur itu. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih, duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat pada sebelah kepala dan satu lagi pada sebelah kaki. Malaikat-malaikat ini bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis?” Maria menjawab, “Jenazah Tuhan saya telah diambil dan saya tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!” Setelah berkata demikian, Maria berpaling dan nampak Yesus berdiri di situ. Tetapi Maria tidak tahu bahawa Dia Yesus. Yesus bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang puan cari?” Maria menyangka Dia itu tukang kebun. Oleh itu Maria berkata, “Tuan, jika tuan sudah memindahkan jenazah Yesus, beritahulah saya tempat tuan meletakkan jenazah-Nya, supaya saya boleh pergi mengambil jenazah-Nya.” Yesus berkata kepadanya, “Maria!” Maria berpaling kepada Yesus lalu berkata dalam bahasa Ibrani, “Rabbuni!” (yang bererti “guru”). Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jangan pegang Aku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku dan beritahu mereka bahawa sekarang Aku sedang kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Allah-Ku dan Allahmu.” Oleh itu, Maria pergi memberitahu pengikut-pengikut Yesus bahawa dia sudah melihat Tuhan dan bahawa Tuhan berkata demikian kepadanya.
YOHANES 20:10-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka murid kadua itu pun bŭrbaliklah pulang karumahnya sŭndiri. ¶ Akan tŭtapi Mŭriam adalah bŭrdiri diluar pada kubor itu mŭnangis, maka tŭngah iya mŭnangis, tundoklah iya mŭnjungkok kŭdalam kubor itu, Maka tiba tiba dilihatnya mŭliekat dua orang mŭmakie pakiean puteh, dudok sa’orang ara kŭpala, dan sa’orang ara kaki ditŭmpat dilŭtakkan mayat Isa itu. Maka bŭrkata marika itu padanya, Hie pŭrampuan, mŭngapa angkau mŭnangis? Maka jawabnya pada marika itu, Sŭbab orang tŭlah mŭngambil Tuhanku, tiadalah aku tahu dimanakah ditarohkannya. Sŭtlah sudah iya bŭrkata dŭmkian, maka bŭrpalinglah iya kabŭlakang, lalu tŭrpandang iya kapada Isa ada bŭrdiri, maka tiada dikŭtahuinya itu Isa. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Hie pŭrampuan, mŭngapa angkau mŭnangis, siapakah angkau chari? Adapun disangkakan ulih pŭrampuan itu, bahwa iya itu pŭnunggu kŭbon, lalu katanya, Tuan, jikalau sudah angkau ambil dia deri sini, katakanlah kiranya padaku dimana angkau tarohkan dia, supaya aku bawa pŭrgi. Maka kata Isa padanya, Mŭriam, maka iya pun mŭnoleh, sambil bŭrkata padanya, Ya Rabboni; artinya Guru. Maka kata Isa padanya, Janganlah angkau mŭnjamah aku, kŭrna bŭlom aku naik kapada Ayahku; maka pŭrgilah angkau kapada saudara saudaraku katakan pada marika itu, bahwa aku naik kapada Ayahku dan Ayahmu, dan kapada Allahku dan Allahmu. Maka datanglah Mŭriam Magdalani mŭmbri tahu kapada sagala murid, bahwa iya tŭlah mŭlihat Tuhan, maka Tuhan tŭlah mŭngatakan sagala pŭrkara itu padanya.
YOHANES 20:10-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Selepas itu, murid-murid Yesus itu pun pulang ke rumah mereka. Tetapi Maria berdiri di hadapan makam itu sambil menangis. Kemudian sambil menangis dia menjenguk ke dalam. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki. Malaikat-malaikat itu bertanya kepada Maria, “Puan, mengapa menangis?” Maria menyahut, “Jenazah Tuhanku telah diambil, entah ke mana dialihkan!” Kemudian Maria menoleh lalu melihat Yesus berdiri di situ, tetapi Maria tidak mengenal-Nya. Yesus berkata kepada Maria, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang kamu cari?” Pada sangkaan Maria, Dia tukang kebun di taman itu. Dengan demikian Maria berkata, “Tuan, jika kamu telah mengalihkan jenazah Yesus, beritahulah aku di mana kamu letakkan-Nya, supaya dapat kuambil jenazah-Nya.” Yesus berkata kepadanya, “Maria!” Maria berpaling kepada Yesus lalu berseru dalam bahasa Ibrani, “Rabboni!” (ertinya “Guru”). Yesus berkata kepadanya, “Jangan berpaut pada-Ku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada murid-murid-Ku, katakan kepada mereka bahawa sekarang Aku akan kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, Allah-Ku dan Allahmu.” Maria Magdalena pun pergi mendapatkan para murid Yesus lalu memberitahu, “Aku telah melihat Tuhan.” Dan Dia telah menuturkan kata-kata itu kepadanya.