YOHANES 20:1-22

YOHANES 20:1-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada pagi hari Minggu, semasa masih gelap, Maria Magdalena pergi ke kubur. Dia melihat batu penutup sudah digulingkan dari lubang kubur itu. Oleh itu, dia lari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Yesus, lalu berkata kepada mereka, “Jenazah Tuhan telah diambil dari kubur dan kami tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!” Lalu Petrus dan pengikut lain itu pergi ke kubur. Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu mendahului Petrus dan tiba lebih awal di kubur. Dia menjenguk ke dalam dan nampak kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam kubur. Simon Petrus menyusul dari belakang; dia terus masuk ke dalam kubur itu. Dia nampak kain linen terletak di situ, dan juga kain yang diikatkan pada kepala Yesus. Tetapi kain pengikat kepala itu tergulung tersendiri. Kemudian pengikut lain itu yang lebih dahulu tiba di kubur, juga masuk. Dia melihat semuanya dan percaya. ( Meskipun demikian mereka masih belum memahami apa yang tertulis di dalam Alkitab bahawa Dia harus bangkit daripada kematian.) Kemudian pengikut-pengikut Yesus itu pulang. Maria berdiri sambil menangis di hadapan kubur. Sambil menangis dia menjenguk ke dalam kubur itu. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih, duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat pada sebelah kepala dan satu lagi pada sebelah kaki. Malaikat-malaikat ini bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis?” Maria menjawab, “Jenazah Tuhan saya telah diambil dan saya tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!” Setelah berkata demikian, Maria berpaling dan nampak Yesus berdiri di situ. Tetapi Maria tidak tahu bahawa Dia Yesus. Yesus bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang puan cari?” Maria menyangka Dia itu tukang kebun. Oleh itu Maria berkata, “Tuan, jika tuan sudah memindahkan jenazah Yesus, beritahulah saya tempat tuan meletakkan jenazah-Nya, supaya saya boleh pergi mengambil jenazah-Nya.” Yesus berkata kepadanya, “Maria!” Maria berpaling kepada Yesus lalu berkata dalam bahasa Ibrani, “Rabbuni!” (yang bererti “guru”). Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jangan pegang Aku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku dan beritahu mereka bahawa sekarang Aku sedang kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Allah-Ku dan Allahmu.” Oleh itu, Maria pergi memberitahu pengikut-pengikut Yesus bahawa dia sudah melihat Tuhan dan bahawa Tuhan berkata demikian kepadanya. Pada hari Minggu itu juga, apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Yesus berkumpul di sebuah rumah dengan pintu yang terkunci, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Kemudian Yesus datang berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Salam sejahtera!” Setelah berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka. Barulah mereka bersukacita melihat Tuhan. Yesus berkata kepada mereka lagi, “Salam sejahtera! Sebagaimana Bapa mengutus Aku, demikian juga Aku mengutus kamu.” Kemudian Yesus menghembuskan nafas-Nya kepada mereka dan berkata, “Terimalah Roh Allah.

YOHANES 20:1-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SŬBARMULA maka pada hari ahad pagi gŭlap gŭlap, maka datanglah Mŭriam Magdalani kakubor itu, sŭrta dilihatnya batunya sudah tŭrangkat deripada kubor itu: Maka bŭrlarilah iya datang kapada Simon Petros, dan kapada murid yang dikasih ulih Isa, lalu katanya kapada marika itu, Bahwa orang sudah bawa lari akan Tuhan deri dalam kubornya, maka tiadalah kami tahu dimanakah ditarohkan orang akan dia. Maka kluarlah Petros bŭsŭrta sa’orang murid lain itu pun, maka sampielah marika itu kakubor. Maka kaduanya itu pun bŭrlarilah bŭrsama sama, tŭtapi murid lain itu tŭrlehih pantas deripada Petros, maka sampielah iya kakubor itu tŭrdahulu. Maka tundoklah iya lalu mŭlihat kain kafan itu ada tŭrlŭtak, tŭtapi tiada iya masok kŭdalam. Maka kumdian datanglah Simon Petros mŭngikot dia, lalu masok kŭdalam kubor itu, maka dilihatnya kain kafan itu ada tŭrlŭtak. Maka saputangan yang diikatkan dikŭpalanya itu tiada bŭrsama sama dŭngan kain kafan, mŭlainkan tŭrlŭtak dŭngan lipatannya ditŭmpat asing. Kumdian masoklah murid lain yang tŭrdahulu itu dikubor itu, sŭrta dilihatnya itu, lalu pŭrchayalah iya. Kŭrna marika itu bŭlom lagi mŭngarti spŭrti yang tŭrsŭbut dalam kitab, Bahwa saharusnyalah iya akan dihidopkan pula deripada matinya. Maka murid kadua itu pun bŭrbaliklah pulang karumahnya sŭndiri. ¶ Akan tŭtapi Mŭriam adalah bŭrdiri diluar pada kubor itu mŭnangis, maka tŭngah iya mŭnangis, tundoklah iya mŭnjungkok kŭdalam kubor itu, Maka tiba tiba dilihatnya mŭliekat dua orang mŭmakie pakiean puteh, dudok sa’orang ara kŭpala, dan sa’orang ara kaki ditŭmpat dilŭtakkan mayat Isa itu. Maka bŭrkata marika itu padanya, Hie pŭrampuan, mŭngapa angkau mŭnangis? Maka jawabnya pada marika itu, Sŭbab orang tŭlah mŭngambil Tuhanku, tiadalah aku tahu dimanakah ditarohkannya. Sŭtlah sudah iya bŭrkata dŭmkian, maka bŭrpalinglah iya kabŭlakang, lalu tŭrpandang iya kapada Isa ada bŭrdiri, maka tiada dikŭtahuinya itu Isa. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Hie pŭrampuan, mŭngapa angkau mŭnangis, siapakah angkau chari? Adapun disangkakan ulih pŭrampuan itu, bahwa iya itu pŭnunggu kŭbon, lalu katanya, Tuan, jikalau sudah angkau ambil dia deri sini, katakanlah kiranya padaku dimana angkau tarohkan dia, supaya aku bawa pŭrgi. Maka kata Isa padanya, Mŭriam, maka iya pun mŭnoleh, sambil bŭrkata padanya, Ya Rabboni; artinya Guru. Maka kata Isa padanya, Janganlah angkau mŭnjamah aku, kŭrna bŭlom aku naik kapada Ayahku; maka pŭrgilah angkau kapada saudara saudaraku katakan pada marika itu, bahwa aku naik kapada Ayahku dan Ayahmu, dan kapada Allahku dan Allahmu. Maka datanglah Mŭriam Magdalani mŭmbri tahu kapada sagala murid, bahwa iya tŭlah mŭlihat Tuhan, maka Tuhan tŭlah mŭngatakan sagala pŭrkara itu padanya. Sŭtlah itu maka pada pŭtang hari itu juga, iya itu hari ahad, apabila pintu pun lagi tŭrkunchi, ditŭmpat sagala murid itu ada bŭrhimpun, sŭbab takotnya akan orang Yahudi, maka tiba tiba datanglah Isa, sŭrta tŭrdiri ditŭngah tŭngah, lalu bŭrkata pada marika itu, Slamatlah kamu. Sŭtlah sudah iya bŭrkata dŭmkian pada marika itu, maka diunjokkannya tangannya, dan rusoknya, maka bahrulah suka chita sagala murid murid itu apabila mŭlihat akan Tuhan. Maka kata Isa pula pada marika itu, Slamatlah kamu; adapun spŭrti Ayah tŭlah mŭnyurohkan aku, maka dŭmkian juga aku mŭnyurohkan kamu. Maka sŭtlah sudah iya bŭrkata itu, maka dihŭmbuskannya atas marika itu, sŭrta bŭrkata, Sambutlah ulihmu akan Roh Alkudus.

YOHANES 20:1-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada awal pagi hari pertama minggu itu, ketika masih gelap lagi, Maria Magdalena pergi ke makam itu. Dia mendapati batu penutup telah digulingkan dari lubang makam itu. Dia pun berlari mencari Simon Petrus dan murid lain yang dikasihi oleh Yesus lalu berkata, “Jenazah Tuhan telah diambil dari makam, entah ke mana dialihkan.” Petrus dan murid lain itu pun pergi ke makam. Kedua-duanya berlari, tetapi murid lain itu berlari mendahului Petrus dan tiba di makam itu lebih dahulu. Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ tetapi tidak masuk ke makam itu. Apabila Simon Petrus yang menyusul murid lain itu tiba, dia terus masuk ke dalam makam itu dan nampak kain linen terletak di situ. Dia juga melihat kain kafan linen yang diikatkan pada kepala Yesus, terlipat berasingan. Kemudian, murid lain yang sampai dahulu di kubur itu pun masuk. Dia melihat segala-galanya lalu percaya. Setakat itu mereka belum memahami apa yang tersurat dalam Kitab Suci, iaitu Dia harus bangkit daripada kematian. Selepas itu, murid-murid Yesus itu pun pulang ke rumah mereka. Tetapi Maria berdiri di hadapan makam itu sambil menangis. Kemudian sambil menangis dia menjenguk ke dalam. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki. Malaikat-malaikat itu bertanya kepada Maria, “Puan, mengapa menangis?” Maria menyahut, “Jenazah Tuhanku telah diambil, entah ke mana dialihkan!” Kemudian Maria menoleh lalu melihat Yesus berdiri di situ, tetapi Maria tidak mengenal-Nya. Yesus berkata kepada Maria, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang kamu cari?” Pada sangkaan Maria, Dia tukang kebun di taman itu. Dengan demikian Maria berkata, “Tuan, jika kamu telah mengalihkan jenazah Yesus, beritahulah aku di mana kamu letakkan-Nya, supaya dapat kuambil jenazah-Nya.” Yesus berkata kepadanya, “Maria!” Maria berpaling kepada Yesus lalu berseru dalam bahasa Ibrani, “Rabboni!” (ertinya “Guru”). Yesus berkata kepadanya, “Jangan berpaut pada-Ku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada murid-murid-Ku, katakan kepada mereka bahawa sekarang Aku akan kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, Allah-Ku dan Allahmu.” Maria Magdalena pun pergi mendapatkan para murid Yesus lalu memberitahu, “Aku telah melihat Tuhan.” Dan Dia telah menuturkan kata-kata itu kepadanya. Pada hari minggu itu, setelah petang, para murid Yesus berhimpun di sebuah rumah dengan pintu terkunci kerana takut akan orang Yahudi. Yesus berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Damai sejahtera kepada kamu!” Selepas itu, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka, maka murid-murid itu pun bersukacita melihat Tuhan. Yesus berkata lagi kepada mereka, “Damai sejahtera kepada kamu! Sebagaimana Bapa mengutus-Ku, begitulah Aku mengutusmu.” Kemudian Dia menghembuskan nafas-Nya ke atas mereka lalu berkata, “Terimalah Roh Kudus.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami