YOHANES 20:1-10
YOHANES 20:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada pagi hari Minggu, semasa masih gelap, Maria Magdalena pergi ke kubur. Dia melihat batu penutup sudah digulingkan dari lubang kubur itu. Oleh itu, dia lari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Yesus, lalu berkata kepada mereka, “Jenazah Tuhan telah diambil dari kubur dan kami tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!” Lalu Petrus dan pengikut lain itu pergi ke kubur. Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu mendahului Petrus dan tiba lebih awal di kubur. Dia menjenguk ke dalam dan nampak kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam kubur. Simon Petrus menyusul dari belakang; dia terus masuk ke dalam kubur itu. Dia nampak kain linen terletak di situ, dan juga kain yang diikatkan pada kepala Yesus. Tetapi kain pengikat kepala itu tergulung tersendiri. Kemudian pengikut lain itu yang lebih dahulu tiba di kubur, juga masuk. Dia melihat semuanya dan percaya. ( Meskipun demikian mereka masih belum memahami apa yang tertulis di dalam Alkitab bahawa Dia harus bangkit daripada kematian.) Kemudian pengikut-pengikut Yesus itu pulang.
YOHANES 20:1-10 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
SŬBARMULA maka pada hari ahad pagi gŭlap gŭlap, maka datanglah Mŭriam Magdalani kakubor itu, sŭrta dilihatnya batunya sudah tŭrangkat deripada kubor itu: Maka bŭrlarilah iya datang kapada Simon Petros, dan kapada murid yang dikasih ulih Isa, lalu katanya kapada marika itu, Bahwa orang sudah bawa lari akan Tuhan deri dalam kubornya, maka tiadalah kami tahu dimanakah ditarohkan orang akan dia. Maka kluarlah Petros bŭsŭrta sa’orang murid lain itu pun, maka sampielah marika itu kakubor. Maka kaduanya itu pun bŭrlarilah bŭrsama sama, tŭtapi murid lain itu tŭrlehih pantas deripada Petros, maka sampielah iya kakubor itu tŭrdahulu. Maka tundoklah iya lalu mŭlihat kain kafan itu ada tŭrlŭtak, tŭtapi tiada iya masok kŭdalam. Maka kumdian datanglah Simon Petros mŭngikot dia, lalu masok kŭdalam kubor itu, maka dilihatnya kain kafan itu ada tŭrlŭtak. Maka saputangan yang diikatkan dikŭpalanya itu tiada bŭrsama sama dŭngan kain kafan, mŭlainkan tŭrlŭtak dŭngan lipatannya ditŭmpat asing. Kumdian masoklah murid lain yang tŭrdahulu itu dikubor itu, sŭrta dilihatnya itu, lalu pŭrchayalah iya. Kŭrna marika itu bŭlom lagi mŭngarti spŭrti yang tŭrsŭbut dalam kitab, Bahwa saharusnyalah iya akan dihidopkan pula deripada matinya. Maka murid kadua itu pun bŭrbaliklah pulang karumahnya sŭndiri.
YOHANES 20:1-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada awal pagi hari pertama minggu itu, ketika masih gelap lagi, Maria Magdalena pergi ke makam itu. Dia mendapati batu penutup telah digulingkan dari lubang makam itu. Dia pun berlari mencari Simon Petrus dan murid lain yang dikasihi oleh Yesus lalu berkata, “Jenazah Tuhan telah diambil dari makam, entah ke mana dialihkan.” Petrus dan murid lain itu pun pergi ke makam. Kedua-duanya berlari, tetapi murid lain itu berlari mendahului Petrus dan tiba di makam itu lebih dahulu. Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ tetapi tidak masuk ke makam itu. Apabila Simon Petrus yang menyusul murid lain itu tiba, dia terus masuk ke dalam makam itu dan nampak kain linen terletak di situ. Dia juga melihat kain kafan linen yang diikatkan pada kepala Yesus, terlipat berasingan. Kemudian, murid lain yang sampai dahulu di kubur itu pun masuk. Dia melihat segala-galanya lalu percaya. Setakat itu mereka belum memahami apa yang tersurat dalam Kitab Suci, iaitu Dia harus bangkit daripada kematian. Selepas itu, murid-murid Yesus itu pun pulang ke rumah mereka.