YOHANES 2:12-25

YOHANES 2:12-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Selepas itu Yesus, ibu-Nya, saudara-saudara-Nya, dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum. Mereka tinggal di sana selama beberapa hari. Apabila sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi, Yesus pergi ke Yerusalem. Di dalam Rumah Tuhan, Dia menjumpai orang menjual lembu, domba, dan burung merpati; penukar wang pun berniaga di situ. Yesus membuat cemeti daripada tali, lalu mengusir semua orang dan binatang itu keluar dari Rumah Tuhan, baik domba mahupun lembu. Dia menunggangbalikkan meja penukar wang sehingga wang mereka berhamburan. Dia berkata kepada penjual burung merpati, “Angkat semuanya dari sini. Jangan jadikan rumah Bapa-Ku tempat berniaga!” Pengikut-pengikut-Nya lalu teringat akan ayat Alkitab yang mengatakan, “Kasih-Ku terhadap rumah-Mu, ya Allah, berkobar-kobar seperti api!” Para penguasa Yahudi bertanya kepada Yesus, “Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti ini?” Yesus menjawab, “Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi.” “Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari?” tanya mereka. “Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk membina Rumah Tuhan ini!” Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuh-Nya sendiri. Oleh itu ketika Yesus dibangkitkan daripada kematian, pengikut-pengikut-Nya teringat bahawa Dia pernah mengatakan demikian. Lalu percayalah mereka kepada apa yang tertulis di dalam Alkitab dan kepada apa yang dikatakan oleh Yesus. Sementara Yesus di Yerusalem pada masa Perayaan Paska, banyak orang percaya kepada-Nya kerana mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Tetapi Yesus tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui hati manusia. Tidak perlu orang memberitahu Dia tentang sesiapa pun, kerana Dia mengetahui isi hati manusia.

YOHANES 2:12-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Sŭbarmula maka kumdian deripada itu, pŭrgilah Isa sŭrta bondahnya dan saudara saudaranya dan murid muridnya kaKaparnaum, tŭtapi tiada brapa hari lamanya marika itu diam disitu. ¶ Maka hampirlah datang hari Raya Langkah orang Yahudi maka pŭrgilah Isa kaJŭrusalem. Maka didapatinya dalam ka’abah, orang mŭnjual lŭmbu dan domba dan mŭrpati dan orang mŭnukar wang pun adalah dudok disitu. Maka dipŭrbuatlah ulih Isa suatu chamti jari ampi maka dihalaukannyalah akan sagala orang itu deri dalam ka’abah, sŭrta sagala domba dan lŭmbu itu maka dibuangkannya duit duit orang yang mŭnukar wang dan dibalekkannya meja mejanya itu adanya. Maka bŭrkata Isa kapada sagala orang yang mŭnjual mŭrpati itu, Angkatlah sagala barang barang ini bawa pŭrgi, janganlah angkau jadikan rumah ayahku ini suatu rumah bŭrniaga. Maka tŭringatlah murid muridnya, bahwa tŭlah tŭrsurat dalam kitab, Adapun rajin akan ka’abahmu tŭlah mŭnghanguskan hatiku. ¶ Sŭtlah itu maka jawab orang orang Yahudi itu kapada Isa, katanya, Apakah tanda yang angkau unjokkan pada kami derihal angkau mŭmbuat sagala pŭrkara ini. Maka jawab Isa kapada marika itu katanya, Robohkanlah ka’abah ini; maka dalam tiga hari aku akan mŭmbangunkan dia pula. Maka sahot orang Yahudi katanya, Bahwa ampat puloh anam tahun ka’abah ini didirikun, dapatkah ahgkau mŭmbangunkan dia dalam tiga hari juga? Adapun ka’abah yang dikatakan ulih Isa, iya itu tubohnya. Maka sŭbab itu tŭtkala Isa sudah hidop pula deri matinya, maka bahrulah tŭringat murid muridnya, bahwa Isa tŭlah mŭngatakan akan pŭrkataan ini tŭrdahulu; maka pŭrchayalah marika itu akan kitab itu, sŭrta pŭrkataan yang tŭlah dikatakan ulih Isa itu. ¶ Adapun tŭtkala Isa diJerusalem pada hari raya langkah, maka banyaklah orang yang pŭrchaya akan dia, apa bila dilihatnya mujizat mujizat yang dipŭrbuatnya itu. Tŭtapi tiada juga Isa harap kapada marika itu, sŭbab tŭlah dikŭnalnya sagala manusia. Maka ta’usahlah kapadanya barang sa’orang pun mŭmbri saksi akan manusia, kŭrna iya mŭngtahui barang apa yang ada dalam hati manusia itu.

YOHANES 2:12-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Yesus bersama ibu-Nya, saudara-saudara-Nya dan murid-murid-Nya pergi ke Kapernaum lalu tinggal di situ beberapa hari. Ketika Perayaan Paskah orang Yahudi hampir tiba, Yesus pergi ke Yerusalem. Di dalam Bait Suci Dia mendapati orang berjual beli lembu, domba dan burung merpati, serta pengurup-pengurup wang duduk di situ. Yesus membuat cemeti daripada tali lalu mengusir kesemua orang, domba dan lembu dari Bait Suci. Dia juga menghamburkan wang pengurup wang itu dan menterbalikkan meja mereka. Dia berkata kepada penjual burung merpati, “Bawa keluar semuanya. Jangan jadikan Rumah Bapa-Ku tempat berniaga!” Para murid-Nya teringat bahawa telah tersurat: “Kasih-Ku terhadap Rumah-Mu membakar hati-Ku!” Orang Yahudi menyoal Yesus, “Apakah mukjizat yang dapat Kamu lakukan sebagai bukti bahawa Kamu berhak bertindak begini?” Yesus menjawab, “Robohkanlah Bait Suci ini, akan Kubina semula dalam tiga hari.” “Pembinaan Bait Suci ini mengambil masa empat puluh enam tahun! Akan Kaubina semula dalam tiga hari?” tanya orang Yahudi kepada-Nya. Sebenarnya, Bait Suci yang dimaksudkan oleh Yesus itu ialah tubuh-Nya sendiri. Apabila Yesus bangkit daripada kematian, murid-murid-Nya teringat kata-kata-Nya itu. Dengan demikian percayalah mereka akan Kitab Suci dan kata-kata Yesus. Sewaktu Yesus di Yerusalem pada masa Perayaan Paskah, ramai orang yang percaya kepada nama-Nya disebabkan mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Namun demikian, Yesus tidaklah mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui isi hati manusia. Dia tidak memerlukan kesaksian sesiapa tentang manusia kerana Dia mengetahui niat dan perasaan setiap orang.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami