YOHANES 18:13-40

YOHANES 18:13-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Mula-mula mereka membawa Yesus menghadap Hanas, bapa mentua Kayafas. Kayafas bertugas sebagai Imam Agung pada tahun itu. Dialah yang menasihati para penguasa Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati untuk seluruh umat. Simon Petrus dan seorang pengikut lain mengikuti Yesus. Pengikut lain ini dikenal oleh Imam Agung. Oleh itu pengikut itu masuk bersama-sama Yesus ke halaman rumah Imam Agung, sedangkan Petrus menunggu di luar, di hadapan pintu. Kemudian pengikut lain itu, keluar lagi. Dia bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk ke dalam. Hamba perempuan yang menjaga pintu itu berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan.” Pada waktu itu udara sejuk. Para hamba dan pengawal di situ sudah menyalakan api arang dan sedang berdiang. Petrus menghampiri mereka dan berdiri berdiang dengan mereka. Imam Agung itu menyoal Yesus tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya. Yesus menjawab, “Aku sentiasa berkata-kata dengan terus terang di hadapan umum. Aku selalu mengajar di rumah ibadat dan di Rumah Tuhan, tempat semua orang Yahudi berkumpul. Tidak pernah Aku berkata apa-apa dengan sembunyi-sembunyi. Mengapakah kamu menyoal Aku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar Aku mengajar. Mereka mengetahui apa yang Aku katakan.” Ketika Yesus berkata demikian, salah seorang pengawal di situ menampar Dia sambil berkata, “Berani sungguh kamu berkata demikian kepada Imam Agung!” Yesus berkata kepadanya, “Jika Aku sudah berkata apa-apa yang salah, katakanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi jika kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar Aku?” Kemudian Hanas menyuruh orang membawa Yesus, yang masih terikat itu, kepada Imam Agung Kayafas. Simon Petrus masih juga berdiri berdiang di situ. Semua orang lain di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!” Seorang daripada hamba-hamba Imam Agung ada di situ. Dia saudara kepada orang yang telinganya dikerat oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang aku lihat di taman itu bersama-sama dia?” Petrus berkata lagi, “Bukan.” Tepat pada waktu itu ayam berkokok. Pagi-pagi sekali, mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Para penguasa Yahudi tidak masuk ke dalam istana, supaya mereka tidak menjadi najis dari segi agama, kerana mereka mahu makan Perjamuan Paska. Oleh itu Pilatus keluar untuk menjumpai mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhan kamu terhadap orang ini?” Mereka menjawab, “Kami tidak akan membawa dia menghadap tuan jika dia tidak bersalah.” Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah dia dan adililah dia menurut hukum kamu sendiri.” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak dibenarkan menghukum mati sesiapa pun.” ( Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Yesus tentang cara Dia akan mati.) Pilatus masuk kembali ke istana lalu memanggil Yesus. Dia bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Adakah pertanyaan ini daripadamu atau orang lain sudah memberitahu kamu tentang diri-Ku?” Pilatus menjawab, “Adakah aku ini orang Yahudi? Bangsamu sendiri dan ketua-ketua imam sudah menyerahkan kamu kepadaku. Apakah yang sudah kamu lakukan?” Yesus berkata, “Pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini. Jika pemerintahan-Ku dari dunia ini, semua orang-Ku akan melawan supaya Aku tidak diserahkan kepada para penguasa Yahudi. Tidak, pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini!” Oleh itu Pilatus bertanya kepada-Nya, “Jika demikian, adakah kamu ini raja?” Yesus menjawab, “Kamu yang berkata bahawa Aku raja. Aku dilahirkan dan datang ke dunia untuk satu maksud sahaja; Aku datang untuk berkata tentang apa yang benar. Sesiapa yang menerima apa yang benar, mendengarkan Aku.” Pilatus bertanya kepada-Nya, “Apakah yang benar itu?” Kemudian Pilatus keluar lagi dari istana dan berkata kepada semua orang Yahudi di situ, “Aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia. Tetapi menurut kebiasaan kamu, aku selalu membebaskan seorang tahanan pada Perayaan Paska. Adakah kamu mahu aku melepaskan raja orang Yahudi ini?” Mereka menjawab sambil berseru, “Tidak! Bukan dia! Bebaskan Barabas!” (Barabas seorang perompak.)

YOHANES 18:13-40 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka dibawanya akan Isa mula mula kapada Annas, kŭrna iya itu mŭntua Kiefas yang mŭnjadi kŭpala imam pada tahun itu. Adapun Kiefas itulah orang yang mŭmbri akhtiar pada orang orang Yahudi, katanya, Haruslah sa’orang mati akan ganti kaum ini skalian ¶ Maka Simon Petros, dan lagi sa’orang murid yang lain itu pun ada mŭngikot Isa, adapun murid itu dikŭnal ulih kŭpala imam, sŭrta masoklah iya bŭrsama sama dŭngan Isa kŭdalam balerong kŭpala imam itu. Tŭtapi Petros ada bŭrdiri diluar pintu, maka kluar murid lain itu yang dikŭnal ulih kŭpala imam itu, sŭrta bŭrkata kata dŭngan pŭrampuan pŭnunggu pintu, lalu dibawanya Petros masok. Maka kata pŭrampuan yang mŭnunggu pintu itu kapada Petros, Bukankah angkau pun murid orang itu? Maka jawab Petros, Bukan. Maka bŭrdirilah bŭbrapa hamba dan lashkar disitu, yang tŭlah mŭnjadikan api deripada arang, kŭrna musim dingin; maka bŭrgangganglah marika itu, maka Petros pun ada bŭrdiri disitu bŭrsama sama bŭrganggang. ¶ Bŭrmula maka bŭrtanyalah kŭpala imam itu akan Isa deripada hal murid muridnya, dan derihal pŭngajarannya. Maka disahut Isa akan dia, Bahwa dŭngan nyatanya juga aku tŭlah bŭrkata kata pada sagala isi dunia ini, maka slalu aku mŭngajar dalam kŭnisa, dan dalam ka’abah ditŭmpat sagala orang Yahudi sahari hari bŭrhimpon; maka bŭlom pŭrnah aku bŭrkata kata barang suatu dŭngan bŭrsŭmbunyi. Mŭngapa angkau bŭrtanya kapadaku? tanyalah kapada orang yang mŭnŭngar apa apa yang tŭlah kukatakan, bahwa marika itu kŭtahui barang yang tŭlah aku bŭrkata. Sŭtlah iya bŭrkata dŭmkian, maka ada sa’orang lashkar yang bŭrdiri dŭkatnya itu mŭnampar Isa katanya, Bŭgitukah angkau mŭnjawab pada imam bŭsar? Maka sahut Isa akan dia, Jikalau aku bŭrkata yang salah, unjokkanlah kŭsalahan itu; tŭtapi jikalau bŭtol, mŭngapa angkau mŭnampar aku? Maka Annas pun mŭnyuroh mŭmbawa Isa kapada Kiefas, imam bŭsar itu dŭngan ikat ikatnya. Bŭrmula maka Simon Petros ada lagi bŭrdiri bŭrganggang, maka kata orang padanya, Bukankah angkau pun sa’orang deripada murid murid orang itu? Maka bŭrsangkallah iya katanya, Bukan. Maka bŭrkata pula sa’orang lagi deripada sagala hamba imam bŭsar itu, maka iya itu kŭlorga orang yang diputuskan ulih Petros tŭlinganya itu, Bukankah aku tŭlah mŭlihat angkau didalam kŭbon bŭrsama sama orang itu? Maka bŭrsangkallah pula Petros lagi; maka skutika itu juga bŭrkokoklah ayam. ¶ Sŭtlah itu maka dibawa oranglah akan Isa deripada Kiefas katŭmpat bichara pada pagi hari, akan tŭtapi orang Yahudi sŭndiri tiada masok kŭdalam tŭmpat bichara itu, asal jangan jadi nŭjis marika itu, supaya bulih makan pŭrjamuan hari raya langkah. Maka kluar Pilatus bŭrtanya pada marika itu, Apakah kŭsalahan orang ini angkau handak adukan? Maka mŭnyahutlah marika itu kapada Pilatus, Jikalau kiranya orang ini bukannya orang dŭrhaka, tiadalah kami mŭmbawa akan dia kapadamu. Maka kata Pilatus pada marika itu, Ambillah kamu akan dia, hukumkanlah spŭrti yang tŭrsŭbut dalam tauretmu. Sŭbab itu bŭrkatalah orang Yahudi padanya, Tiada halal kita orang mŭnghukumkan bunoh akan barang sa’orang. Supaya gŭnaplah pŭrkataan Isa yang tŭlah dikatakannya, Dŭngan pri kŭmatiaan apakah iya akan mati. Kumdian maka Pilatus pun masoklah pula kŭdalam tŭmpat bichara, lalu dipanggilnya Isa katanya, Iyakah angkau Raja orang Yahudi? Maka disahut Isa padanya, Pŭrkataan angkau sŭndirikah ini, atau orang lainkah mŭngatakan itu padamu deri halku? Maka jawab Pilatus, Aku ini orang Yahudikah? Adapun kaummu, dan sagala kŭpala kŭpala imam tŭlah mŭmbawa angkau kapadaku; apakah angkau sudah buat? Maka sahut Isa, Adapun krajaanku bukannya krajaan dunia ini; maka jikalau kiranya krajaanku krajaan dunia ini, nŭschaya rayatku tŭlah mŭlawanlah, supaya jangan aku disŭrahkan pada orang Yahudi; tŭtapi skarang krajaanku bukannya disini. Maka sŭbab itu kata Pilatus padanya, Kalau bŭgitu, angkau sa’orang rajakah? Maka jawab Isa, Sugguhlah spŭrti katamu, aku ini sa’orang raja; maka sŭbab itulah juga aku tŭlah dipranakkan, dan sŭbab itulah juga aku tŭlah datang kŭdalam dunia, supaya aku mŭnjadi saksi akan kubŭnaran, maka barang siapa deripada yang bŭnar, maka iya akan mŭnŭngar pŭrkataanku. Maka kata Pilatus akan dia, Apakah bŭnar itu? Maka sŭtlah iya bŭrkata itu, maka kluarlah pula iya kapada orang orang Yahudi, lalu bŭrkata pada marika itu, Tiadalah aku mŭndapat apa apa salah orang ini. Tŭtapi ada adat kamu, bahwa pada waktu hari langkah, harus aku mŭlŭpaskan sa’orang akan kamu; mahukah angkau aku lŭpaskan akan dikau Raja orang Yahudi itu? Maka bŭrsrulah pula marika itu skalian katanya, Jangan orang ini, mŭlainkan Bŭraba. Adapun Bŭraba itu sa’orang pŭnyamun adanya.

YOHANES 18:13-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Mula-mula mereka membawa-Nya ke hadapan Hanas, bapa mertua Kayafas, imam besar pada tahun itu. Kayafas yang memang dahulunya berkata kepada orang Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati demi seluruh bangsa. Simon Petrus dan seorang murid lain ikut serta apabila Yesus dibawa pergi. Oleh sebab murid lain ini dikenali oleh imam besar, dia masuk bersama Yesus ke halaman rumah imam besar. Petrus menanti di luar, di hadapan pintu. Sejurus kemudian, murid lain yang mengenal imam besar itu keluar semula, bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk. Kemudian hamba perempuan penjaga pintu itu berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu seorang daripada murid orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan.” Hamba dan pegawai berdiri di situ setelah menyalakan api kerana pada masa itu hawa sejuk. Mereka sedang berdiang di situ. Petrus pun berdiri di situ dan berdiang bersama mereka. Imam besar menyoal Yesus tentang murid-murid-Nya dan ajaran-Nya. Yesus menjawab, “Aku sentiasa bercakap terang-terangan kepada dunia. Aku sering mengajar di saumaah dan di Bait Suci, tempat semua orang Yahudi berhimpun. Tidak pernah Kukatakan apa-apa secara rahsia. Mengapakah kamu menyoal-Ku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar apa yang Kukatakan kepada mereka. Mereka tahu apa yang Kukatakan itu.” Seorang pegawai di situ menampar Yesus sambil berkata, “Begitukah Kamu bercakap kepada seorang imam besar?” Yesus berkata kepadanya, “Sekiranya yang Kukatakan itu salah, tunjukkanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi kalau kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar-Ku?” Selepas itu, Hanas menyuruh orang membawa Yesus yang masih dalam keadaan terikat ke hadapan Imam Besar Kayafas. Simon Petrus masih berdiri berdiang. Maka orang di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu seorang daripada murid orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!” Seorang daripada hamba imam besar ada di situ. Dia saudara kepada hamba yang ditetak putus telinganya oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang kulihat di taman itu bersama-Nya?” Petrus menyangkal-Nya lagi, dan sejurus selepas itu, ayam berkokok. Kemudian mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Tetapi orang Yahudi tidak turut masuk ke dalam istana itu kerana pagi masih awal. Mereka tidak mahu terkena najis, kerana mereka hendak menyertai jamuan Paskah. Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?” Mereka menjawab, “Jika orang ini tidak melakukan perbuatan jahat, sudah tentu kami tidak akan membawa-Nya ke hadapanmu.” Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah Dia dan adili Dia mengikut undang-undangmu.” Orang Yahudi menjawab, “Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.” Dengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Yesus tentang cara kematian-Nya. Selepas itu, Pilatus masuk semula ke istana dan memanggil Yesus lalu bertanya, “Adakah Kamu Raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Adakah kata-kata ini daripada dirimu sendiri, atau adakah orang lain mengatakannya kepadamu tentang diri-Ku?” Pilatus menjawab, “Adakah aku seorang Yahudi? Bangsa-Mu sendiri dan ketua-ketua imam telah membawa-Mu kepadaku. Apakah yang telah Kaulakukan?” Yesus menjawab, “Kerajaan-Ku bukanlah daripada dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku dari dunia ini, tentulah para murid-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah dari sini.” Dengan demikian Pilatus pun berkata kepada-Nya, “Jadi, adakah Kamu seorang raja?” Yesus menjawab, “Betul katamu. Aku seorang raja. Aku dilahirkan ke dunia untuk memberikan kesaksian tentang kebenaran. Setiap orang yang memihak kepada kebenaran mendengar suara-Ku.” Pilatus berkata kepada-Nya, “Apakah itu kebenaran?” Kemudian dia keluar mendapatkan orang Yahudi lalu berkata, “Aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali. Tetapi kamu ada satu adat, iaitu aku harus membebaskan seorang daripada bangsamu pada Perayaan Paskah. Mahukah kamu kubebaskan Raja orang Yahudi?” Mereka semua berteriak lagi, “Jangan bebaskan orang itu. Bebaskan Barabas.” Barabas itu seorang perompak.