YOHANES 17:1-25

YOHANES 17:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah berkata demikian, Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, sekarang tibalah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak pun boleh memuliakan Bapa. Engkau sudah memberikan kuasa atas umat manusia kepada Anak-Mu, supaya Anak-Mu memberikan hidup sejati dan kekal kepada semua orang yang Engkau serahkan kepada-Nya. Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal. Aku sudah memuliakan Engkau di atas bumi dengan menyelesaikan tugas yang Engkau berikan kepada-Ku. Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan. Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang dari dunia ini yang Engkau serahkan kepada-Ku. Mereka milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepada-Ku. Mereka mentaati firman-Mu, dan sekarang mereka tahu bahawa semua yang Engkau berikan kepada-Ku datangnya daripada-Mu. Perkhabaran yang Engkau berikan kepada-Ku sudah Aku sampaikan kepada mereka, dan mereka menerimanya. Mereka tahu bahawa Aku betul-betul datang daripada Engkau dan mereka percaya bahawa Engkau mengutus Aku. Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia, melainkan untuk semua orang yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. Semua milik-Ku, milik-Mu juga; dan semua milik-Mu, milik-Ku juga. Kemuliaan-Ku dinyatakan melalui mereka. Sekarang Aku datang kepada-Mu. Aku tidak tinggal lagi di dunia, tetapi mereka masih di dunia. Ya Bapa yang suci, jagalah mereka dengan kekuasaan nama-Mu, nama yang sudah Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku juga satu. Semasa Aku bersama-sama mereka, Aku menjaga mereka dengan kekuasaan nama-Mu; nama yang Engkau berikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tidak seorang pun daripada mereka sesat, kecuali orang yang memang seharusnya sesat, supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku. Sekarang Aku datang kepada-Mu. Perkara-perkara ini Aku katakan sementara Aku masih di dunia, supaya mereka boleh merasakan kegembiraan-Ku dengan sepenuhnya. Aku menyampaikan firman-Mu kepada mereka, lalu dunia membenci mereka kerana mereka bukan milik dunia, sebagaimana Aku pun bukan milik dunia. Aku tidak meminta Engkau mengeluarkan mereka dari dunia, tetapi Aku meminta Engkau menjaga mereka daripada Si Jahat. Sebagaimana Aku bukan milik dunia, mereka pun bukan milik dunia. Jadikanlah mereka milik-Mu yang khas melalui firman-Mu yang benar; firman-Mu selalu benar. Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus Aku ke dunia. Bagi kepentingan mereka, Aku mengabdikan diri kepada-Mu, supaya mereka pun mengabdikan diri kepada-Mu. Aku berdoa bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui perkhabaran mereka. Ya Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu, sebagaimana Engkau bersatu dengan-Ku, dan Aku dengan-Mu. Semoga mereka menjadi satu dengan Kita supaya dunia percaya bahawa Engkau mengutus Aku. Aku memberi mereka kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku satu juga; Aku bersatu dengan mereka dan Engkau bersatu dengan Aku, supaya mereka benar-benar menjadi satu. Lalu dunia akan tahu bahawa Engkau mengutus Aku dan bahawa Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi Aku. Ya Bapa, Aku ingin supaya mereka yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku bersama-sama Aku di tempat Aku ada, supaya mereka boleh melihat kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi Aku sebelum dunia ini dijadikan. Ya Bapa yang adil! Dunia tidak mengenal Engkau, tetapi Aku mengenal Engkau, dan semua orang ini tahu bahawa Engkau mengutus Aku.

YOHANES 17:1-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA adapun sagala pŭrkara ini dikatakan ulih Isa, sŭrta iya mŭngangkatkan matanya kŭlangit, lalu bŭrkata, Ya Ayah, waktu tŭlah sampie, pŭrmuliakanlah kiranya anakmu, supaya anakmu mŭmuliakan angkau. Spŭrti angkau tŭlah mŭmbri kwasa padanya atas sagala manusia, supaya iya kurniakau hidop kŭkal kapada sagala orang yang tŭlah angkau anugrahkan kapadanya. Adapun inilah hidop yang kŭkal, iya itu dikŭnal orang, hanya angkaulah Allah yang asa, dan bŭnar, dan lagi Isa Almasih yang tŭlah angkau surohkan. Maka aku tŭlah pŭrmuliakan dikau diatas bumi, dan tŭlah aku jŭlaskan pŭkŭrjaan yang angkau sŭrahkan kapadaku. Maka skarang ya Ayah, muliakanlah kiranya ulihmu akan daku ini dihalratmu dŭngan kŭmuliaan yang aku tŭlah mŭnaroh sŭrta dŭngan angkau dahulu deripada dunia ini jadi. Bahwa aku sudah mŭnyatakan namamu kapada sagala orang yang tŭlah angkau kurniakan padaku deripada orang isi dunia, maka orang itu angkau ampunyai dia, maka sagala marika itu angkau kurniakan padaku, maka iya pun tŭlah mŭmliharakan pŭrkataanku. Maka skarang tŭlah dikŭtahui marika itu, adapun sagala pŭrkara yang angkau tŭlah mŭmbri padaku itu, iya itu deripadamu juga. Kŭrna sagala pŭrkataan yang angkau bri kapadaku itu sudahlah aku brikan kapada marika itu, maka marika itu tŭlah mŭnŭrima sagala pŭrkataan itu, dan tahulah marika itu dŭngan sŭbŭnarnya, bahwa kŭdatanganku ini deripadamu, dan pŭrchayalah marika itu, bahwa angkaulah yang mŭnyurohkan aku. Maka aku doakanlah akan marika itu, iya itu bukannya aku doakan orang isi dunia, mŭlainkan akan sagala orang yang angkau bri akan daku, kŭrna marika itu orangmu juga. Maka barang suatu yang aku punya itu angkau punya, dan barang suatu yang angkau punya itu aku punya, maka aku juga dimuliakan ulih marika itu. Maka skarang aku ini tiada lagi dalam dunia, tŭtapi marika itu ada lagi dalam dunia; maka aku ini datang kapadamu ya Ayah yang kudus, pliharakanlah kiranya dŭngan sŭbab namamu akan sagala orang yang tŭlah angkau kurniakan akan daku, supaya marika itu jadi suatu spŭrti kami ini ada suatu. Adapun slama aku ada bŭrsama sama dŭngan marika itu didunia, maka aku tŭlah pliharakan marika itu dŭngan namamu, maka aku sudah pliharakan akan sagala orang yang pŭmbrianmu kapadaku, dan sa’orang pun tiada binasa deripada marika ita, hanya anak tumpas juga; supaya gŭnaplah pŭrkataan kitab. Maka skarang aku datang kapadamu; maka aku tŭlah mŭngatakan sagala pŭrkara ini didalam dunia, supaya kŭsukaanku dapat disampornakan didalam marika itu. Bahwa aku tŭlah mŭmbri pŭrkataanmu pada marika itu, maka orang dunia ini mŭmbŭnchi akan marika itu, sŭbab marika itu bukannya deripada dunia, spŭrti aku ini bukannya deripada dunia. Bahwa bukannya aku minta biar angkau mŭngambil marika itu kluar deri dunia, mŭlainkan supaya angkau pliharakan marika itu deripada yang jahat. Maka bukannya marika itu deripada dunia, spŭrti aku ini bukannya deri dunia. Maka suchikan apalah kiranya akan marika itu ulih kŭbŭnaranmu, kŭrna pŭrkataanmu itulah kŭbŭnaran adanya. Adapun spŭrti angkau tŭlah mŭnyurohkan aku datang kadunia, maka dŭmkianlah juga aku pun tŭlah mŭnyurohkan marika itu pŭrgi kapada isi dunia. Adapun sŭbab marika itu aku suchikan diriku, supaya marika itu disuchikan ulih kŭbŭnaran. Bahwa tiada aku doakan marika itu sahja, mŭlainkan akan sagala orang yang nanti pŭrchaya akan daku pun, ulih pŭngajaran orang orang ini. Supaya sŭmua jadi suatu juga, spŭrti angkau ya Ayah didalam aku dan aku didalam angkau, dan supaya marika itupun jadi suatu didalam kami sahingga isi dunia pŭrchaya bahwa angkau tŭlah mŭnyurohkan aku. Maka aku tŭlah brikan pada marika itu kŭmuliaan yang tŭlah angkau kurniakan akan daku supaya marika itu jadi suatu spŭrti kami ini suatu juga. Bahwa aku didalam marika itu dan angkau didalam aku, supaya marika itu jadi suatu dŭngan kŭsampornaan; dan supaya bulih dikŭtahui ulih isi dunia, bahwa angkau tŭlah mŭnyurohkan aku, sŭrta mŭngasihi marika itu spŭrti angkau tŭlah mŭngasihi aku. Ya Ayah! aku kahandaki supaya sagala orang yang tŭlah angkau kurniakan padaku itu, ada bŭrsama sama ditŭmpat ada aku, supaya dilihat ulih marika itu kŭmuliaanku yang angkau anugrahkan padaku, kŭrna angkau mŭngasihi aku dahulu deripada jadi dunia ini. Ya Ayah yang adil, bahwa isi dunia ini bŭlom mŭngŭnal akan dikau, tŭtapi aku mŭngŭnal angkau, dan orang orang ini pun tahu, bahwa angkau tŭlah mŭnyurohkan aku.

YOHANES 17:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Bapa, sudah sampailah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak-Mu dapat memuliakan Bapa. Engkau telah memberi Anak-Mu kekuasaan ke atas umat manusia, supaya Dia pun memberikan hidup kekal kepada setiap orang yang telah Kauserahkan kepada-Nya. Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Kauutus. Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku. Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersama-Mu sebelum dunia ini diwujudkan. Aku telah menyatakan nama-Mu kepada semua orang di dunia ini yang telah Kauserahkan kepada-Ku. Mereka semua milik-Mu. Engkau telah mengamanahkan mereka kepada-Ku. Kini mereka taat akan firman-Mu. Sekarang mereka tahu bahawa segala yang Kauberikan kepada-Ku itu sebenarnya berasal daripada-Mu. Firman yang Kauberikan kepada-Ku telah Kusampaikan kepada mereka dan mereka menerimanya. Mereka benar-benar tahu bahawa Aku sesungguhnya berasal daripada-Mu, dan percaya bahawa Engkau telah mengutus-Ku. Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia. Aku berdoa untuk orang yang telah Kauserahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. Semua milik-Ku, milik-Mu juga. Semua milik-Mu, milik-Ku juga. Aku dimuliakan melalui mereka. Aku tidak lagi tinggal di dunia, sedangkan mereka masih di dunia. Aku datang kepada-Mu. Bapa Yang Maha Suci, peliharalah mereka dengan nama-Mu, nama yang telah Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Engkau dan Aku adalah satu. Sepanjang waktu Aku bersama mereka, Aku memelihara mereka dengan nama-Mu, nama yang Kauberikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tiada seorang pun binasa kecuali anak kebinasaan itu supaya terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci. Sekarang Aku akan datang kepada-Mu. Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya. Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan dari dunia ini. Aku tidak memohon-Mu untuk mengeluarkan mereka dari dunia ini. Aku memohon semoga Engkau melindungi mereka daripada si durjana. Sebagaimana Aku bukan dari dunia ini, begitu jugalah mereka. Sucikanlah mereka dengan kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran. Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus-Ku ke dunia. Demi kebaikan mereka Aku menyucikan diri-Ku supaya mereka juga disucikan dalam kebenaran. Aku bukan berdoa untuk mereka sahaja tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui kata-kata mereka. Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu sebagaimana Engkau di dalam-Ku dan Aku di dalam-Mu dan supaya mereka juga ada di dalam Kita. Dengan demikian dunia dapat percaya bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku. Aku memberi mereka kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu sebagaimana Kita adalah satu. Aku di dalam mereka dan Engkau di dalam-Ku, supaya mereka bersatu sepenuhnya. Dengan demikian dunia akan tahu bahawa Engkau sebenarnya telah mengutus-Ku, dan Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi-Ku. Bapa, Aku menghendaki mereka yang Kauserahkan kepada-Ku ada bersama-Ku di mana Aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaan yang Kauberikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi-Ku ketika dunia ini belum diwujudkan lagi. Bapa Yang Maha Benar! Dunia tidak mengenal-Mu, namun Aku mengenal-Mu, dan kesemua mereka ini tahu bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku.