YOHANES 16:29-33
YOHANES 16:29-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Lalu pengikut-pengikut-Nya berkata kepada Dia, “Sekarang barulah Guru berkata dengan terus terang, tanpa menggunakan perumpamaan. Sekarang kami tahu bahawa Guru mengetahui semuanya. Tidak perlu sesiapa pun bertanya apa-apa kepada Guru. Oleh itu kami percaya bahawa Guru berasal daripada Allah.” Yesus berkata kepada mereka, “Adakah kamu percaya sekarang? Saatnya akan datang, malah sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan. Kamu akan pulang ke rumah masing-masing dan meninggalkan Aku seorang diri. Meskipun demikian, Aku tidak sendirian, kerana Bapa bersama-sama Aku. Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!”
YOHANES 16:29-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka kata sagala murid muridnya padanya, Bahwa skarang angkau bŭrtutor dŭngan nyata, dan tiada bŭrtutor dŭngan pŭrkataan ibarat. Maka skarang kami kŭtahui, bahwa angkau tahu sagala pŭrkara, dan ta’usah sa’orang pun tanya kapadamu, maka sŭbab itulah kami pŭrchaya, bahwa angkau kluar deripada Allah. Maka disahut Isa pada marika itu, Pŭrchayakah kamu skarang? Sŭsungguhnya pada masa akan datang, bahwasanya skarang pun tŭlah sampielah, maka kamu akan dichŭrie bŭriekan masing masing kapada tŭmpatnya, dan kamu mŭninggalkan aku sa’orang sa’orang, akan tŭtapi bukannya aku sa’orang sa’orang, kŭrna ada Ayah sŭrtaku. Adapun aku katakan sagala pŭrkara ini pada kamu, supaya kamu bŭrulih slamat deripadaku, dalam dunia kamu akan bŭrulih kadukaan, tŭtapi tŭtapkanlah hatimu, kŭrna aku tŭlah mŭngalahkan dunia.
YOHANES 16:29-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Para murid-Nya berkata, “Sekarang barulah Tuhan bercakap terus terang, tanpa menggunakan kiasan. Sekarang kami faham bahawa Engkau mengetahui segala-galanya dan sesiapa pun tidak perlu lagi bertanya apa-apa kepada-Mu. Oleh itu, kami percaya bahawa Engkau datang daripada Allah.” Yesus berkata kepada mereka, “Percayakah kamu sekarang? Saatnya akan datang, malah sudah pun sampai, ketika kamu akan bertempiaran. Kamu akan menjaga diri masing-masing, dan meninggalkan Aku keseorangan. Tetapi sebenarnya Aku tidaklah keseorangan, kerana Bapa bersama-Ku. Segala ini Kukatakan kepadamu supaya kamu beroleh sejahtera di dalam Aku. Di dalam dunia kamu akan menghadapi penderitaan; tetapi tegapkanlah hatimu, kerana Aku telah menewaskan dunia.”