YOHANES 16:19-24
YOHANES 16:19-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus tahu bahawa mereka hendak bertanya kepada-Nya. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.’ Adakah kamu mempersoalkan hal itu? Percayalah, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita. Kamu akan bersedih hati, tetapi kesedihan kamu itu akan berubah menjadi kegembiraan. Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, hatinya susah kerana masa penderitaannya sudah tiba. Tetapi ketika anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita, kerana seorang anak sudah dilahirkan ke dunia. Demikianlah halnya dengan kamu: Sekarang kamu susah hati, tetapi Aku akan berjumpa lagi dengan kamu. Hati kamu akan dipenuhi kegembiraan yang tidak dapat diambil oleh sesiapa pun. Pada hari itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Percayalah, Bapa akan mengurniai kamu apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa demi nama-Ku. Hingga saat ini kamu belum pernah minta apa-apa demi nama-Ku. Mintalah, lalu kamu akan menerimanya, supaya kegembiraan kamu sempurna.”
YOHANES 16:19-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Bŭrmula dikŭtahui Isa, bahwa marika itu handak bŭrtanya akan dia, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Angkau bŭrtanyakah sa’orang akan sa’orang, sŭbab aku tŭlah bŭrkata, bahwa skutika lagi kamu tiada dapat mŭlihat aku, dan lagi skutika lamanya lagi maka kamu akan mŭlihat aku pula? Maka sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa kamu kŭlak akan mŭnangis dan mŭratap, tŭtapi isi dunia akan tŭrmasa kŭlak, dan kamu juga akan duka chita, tŭtapi duka chita kamu akan bŭrubah mŭnjadi suka chita. Maka adapun apabila sa’orang pŭrampuan bŭrsalin, maka iya mŭndapat kŭsusahan sŭbab waktunya sudah sampie, tŭtapi apabila sudah lŭpas anaknya, maka tŭrlupalah iya akan kŭsakitan itu, sŭbab sa’orang manusia sudah jadi dalam dunia. Maka pada skarang ini kamu ada mŭnanggong kŭsusahan, akan tŭtapi aku akan bŭrtŭmu kamu kŭmbali, nŭschaya hati kamu bŭrgŭmarlah, maka sa’orang pun tiada dapat mŭngambil kagŭmaranmu itu deripadamu. Maka pada masa itu tiada kamu kŭlak bŭrtanya barang sŭsuatu deripadaku; maka sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa barang suatu yang kamu nanti pinta kapada Ayah dŭngan namaku, maka iya akan mŭmbri itu padamu. Maka sampie skarang lagi bŭlom kamu mŭminta barang apa dŭngan namaku; pintalah, maka kamu akan bŭrulih itu, supaya pŭnohlah kasukaanmu.
YOHANES 16:19-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus tahu bahawa mereka ingin bertanya kepada-Nya. Lalu kata-Nya kepada mereka, “Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku.’ Adakah kamu mempersoalkan kata-Ku itu? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan. Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia. Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapa pun. Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.”