YOHANES 16:16-28

YOHANES 16:16-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus berkata, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.” Beberapa orang pengikut Yesus bertanya sesama sendiri, “Apakah maksud Dia berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku’? Dia juga berkata, ‘Aku akan pergi kepada Bapa.’ Apakah erti ‘tidak lama lagi’ itu? Kita tidak memahami apa yang dikatakan-Nya!” Yesus tahu bahawa mereka hendak bertanya kepada-Nya. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.’ Adakah kamu mempersoalkan hal itu? Percayalah, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita. Kamu akan bersedih hati, tetapi kesedihan kamu itu akan berubah menjadi kegembiraan. Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, hatinya susah kerana masa penderitaannya sudah tiba. Tetapi ketika anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita, kerana seorang anak sudah dilahirkan ke dunia. Demikianlah halnya dengan kamu: Sekarang kamu susah hati, tetapi Aku akan berjumpa lagi dengan kamu. Hati kamu akan dipenuhi kegembiraan yang tidak dapat diambil oleh sesiapa pun. Pada hari itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Percayalah, Bapa akan mengurniai kamu apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa demi nama-Ku. Hingga saat ini kamu belum pernah minta apa-apa demi nama-Ku. Mintalah, lalu kamu akan menerimanya, supaya kegembiraan kamu sempurna.” “Aku sudah mengatakan segala perkara ini kepada kamu dengan perumpamaan. Tetapi akan tiba masanya Aku tidak lagi berkata-kata kepada kamu dengan perumpamaan, melainkan Aku akan berkata-kata dengan terus terang kepada kamu tentang Bapa. Pada masa itu, kamu akan meminta kepada Bapa demi nama-Ku. Aku tidak berkata bahawa Aku akan meminta kepada-Nya bagi pihak kamu, kerana Bapa sendiri mengasihi kamu. Dia mengasihi kamu kerana kamu mengasihi Aku dan percaya bahawa Aku datang daripada Allah. Aku memang berasal daripada Bapa, dan Aku sudah datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini lalu kembali kepada Bapa.”

YOHANES 16:16-28 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bŭrmula maka skutika sahja lamanya lagi tiada kamu dapat mŭlihat aku, dan skutika lamanya lagi maka kamu akan mŭlihat aku, sŭbab aku pŭrgi kapada Ayah. Maka ada sŭtŭngah deri pada murid muridnya yang bŭrkata sa’orang kapada sa’orang, Apakah katanya kapada kita? skutika lamanya kamu tiada dapat mŭlihat aku, dan skutika lamanya lagi kamu akan mŭlihat aku pula, sŭbab aku pŭrgi kapada Ayah. Sŭbab itu marika itu bŭrkata, Apakah artinya iya bŭrkata, Skutika lamanya? maka kita tiada mŭngarti apakah katanya. Bŭrmula dikŭtahui Isa, bahwa marika itu handak bŭrtanya akan dia, maka bŭrkatalah iya pada marika itu, Angkau bŭrtanyakah sa’orang akan sa’orang, sŭbab aku tŭlah bŭrkata, bahwa skutika lagi kamu tiada dapat mŭlihat aku, dan lagi skutika lamanya lagi maka kamu akan mŭlihat aku pula? Maka sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa kamu kŭlak akan mŭnangis dan mŭratap, tŭtapi isi dunia akan tŭrmasa kŭlak, dan kamu juga akan duka chita, tŭtapi duka chita kamu akan bŭrubah mŭnjadi suka chita. Maka adapun apabila sa’orang pŭrampuan bŭrsalin, maka iya mŭndapat kŭsusahan sŭbab waktunya sudah sampie, tŭtapi apabila sudah lŭpas anaknya, maka tŭrlupalah iya akan kŭsakitan itu, sŭbab sa’orang manusia sudah jadi dalam dunia. Maka pada skarang ini kamu ada mŭnanggong kŭsusahan, akan tŭtapi aku akan bŭrtŭmu kamu kŭmbali, nŭschaya hati kamu bŭrgŭmarlah, maka sa’orang pun tiada dapat mŭngambil kagŭmaranmu itu deripadamu. Maka pada masa itu tiada kamu kŭlak bŭrtanya barang sŭsuatu deripadaku; maka sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa barang suatu yang kamu nanti pinta kapada Ayah dŭngan namaku, maka iya akan mŭmbri itu padamu. Maka sampie skarang lagi bŭlom kamu mŭminta barang apa dŭngan namaku; pintalah, maka kamu akan bŭrulih itu, supaya pŭnohlah kasukaanmu. Adapun aku katakan sagala pŭrkara ini kapadamu dŭngan ibarat, tŭtapi pada masa akan datang kŭlak, tŭtkala itu aku tiada lagi bŭrkata kata kapadamu dŭngan pŭrkataan ibarat, mŭlainkan dŭngan trang juga aku akan mŭnyatakan Ayah kapada kamu. Maka pada masa itulah kŭlak kamu akan mŭminta dŭngan namaku, dan tiada aku bŭrkata kata padamu, bahwa aku pohonkanlah akan kamu pada Ayah. Kŭrna Ayah sŭndiri tŭlah mŭngasihi akan kamu, sŭbab kamu tŭlah mŭngasihi aku, dan kamu tŭlah pŭrchaya aku datang deripada Allah. Maka aku tŭlah kluar deripada Ayah, dan datang kadunia, maka kŭmbali aku mŭninggalkan dunia pula, lalu pulang kapada Ayah.

YOHANES 16:16-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yesus berkata, “Tidak lama lagi, kamu tidak akan melihat-Ku dan tidak lama kemudian, kamu akan melihat-Ku.” Sebilangan murid Yesus tertanya-tanya sesama sendiri, “Apakah maksud kata-Nya, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku’? Dia juga berkata, ‘Aku akan pergi kepada Bapa.’ ” Mereka berkata, “Apakah maksud ‘tidak lama lagi’? Kami tidak faham erti kata-kata-Nya!” Yesus tahu bahawa mereka ingin bertanya kepada-Nya. Lalu kata-Nya kepada mereka, “Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat-Ku, dan tidak lama kemudian kamu akan melihat-Ku.’ Adakah kamu mempersoalkan kata-Ku itu? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan. Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia. Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapa pun. Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.” “Aku telah mengatakan semua ini kepadamu secara kiasan. Tetapi akan sampai ketikanya Aku tidak lagi menggunakan kiasan; Aku akan berterus terang kepadamu tentang Bapa. Pada hari itu, kamu akan meminta dalam nama-Ku. Aku tidak berkata Aku akan meminta kepada Bapa bagi pihakmu. Bapa sendiri mengasihimu, kerana kamu mengasihi-Ku dan percaya Aku datang daripada Bapa. Aku memang berasal daripada Bapa dan datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini dan pulang semula kepada Bapa.”