YOHANES 15:18-25
YOHANES 15:18-25 Alkitab Berita Baik (BM)
“Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu. Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi Aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu. Ingatlah akan apa yang sudah Aku katakan kepada kamu, ‘Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya Aku, mereka akan menganiaya kamu juga. Jika mereka mentaati ajaran-Ku, mereka akan mentaati ajaran kamu juga. Mereka akan menganiaya kamu, kerana kamu pengikut-pengikut-Ku dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus Aku. Mereka tidak berdosa jika Aku tidak datang dan mengatakan semua itu kepada mereka. Tetapi sekarang mereka tidak dapat berkata, ‘Kami tidak tahu bahawa perbuatan kami jahat.’ Sesiapa yang membenci Aku, membenci Bapa-Ku juga. Mereka tidak berdosa jika Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di kalangan mereka. Tetapi sekarang mereka sudah melihat apa yang Aku lakukan, lalu mereka membenci Aku mahupun Bapa-Ku. Memang sudah seharusnya demikian, supaya berlakulah apa yang tertulis di dalam Taurat mereka, ‘Mereka membenci Aku tanpa alasan.’
YOHANES 15:18-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka jikalau isi dunia ini bŭnchi akan kamu, maka kamu mŭngŭtahui marika itu tŭlah mŭmbŭnchi aku, iya itu dahulu deripadamu. Maka jikalau kamu deri pada dunia, nŭschaya dikasihi ulih isi dunia akan orangnya; tŭtapi sŭbab kamu bukan deri pada dunia ini, mŭlainkan aku tŭlah mŭmileh kamu deripada isi dunia, maka sŭbab itulah isi dunia ini bŭnchi akan kamu. Bahwa ingatlah kamu akan pŭrkataan yang aku katakan padamu, bahwa sa’orang hamba tiada lebih deripada tuannya; maka jikalau marika itu bŭrbuat annyaya akan daku itu, nŭschaya iya akan bŭrbuat annyaya padamu, dan jikalau orang mŭmliharakan pŭrkataanku, nŭschaya iya mŭmliharakan pŭrkataan kamu. Tŭtapi sagala pŭrkara itu akan dipŭrbuat orang padamu sŭbab namaku, kŭrna marika itu tiada mŭngŭnal akan dia yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Maka jikalau kiranya aku tiada datang mŭngatakan itu pada marika itu, maka tiada dosa pada marika itu, tŭtapi skarang tiadalah lagi bagienya daleh derihal dosanya. Maka barang siapa yang bŭnchi akan daku, iya itu sŭrasa mŭmbŭnchi akan Ayahku juga. Maka jikalau kiranya aku tiada bŭrbuat sagala pŭrbuatan itu diantara marika itu yang bŭlom dipŭrbuat ulih sa’orang lain pun, maka tiadalah bŭrdosa pada marika itu, tŭtapi skarang marika itu sudah mŭlihat, dan tŭlah mŭmbŭnchi kadua aku dan Ayahku. Tŭtapi iya itu tŭlah jadi, supaya gŭnaplah pŭrkataan yang tŭrsŭbut dalam tauretnya, Bahwa marika itu tŭlah bŭnchi akan daku dŭngan tiada sŭmŭna mŭna.
YOHANES 15:18-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu. Andainya kamu milik dunia, maka dunia akan mengasihimu seperti kepunyaannya sendiri. Tetapi Aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu. Ingatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, ‘Seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga. Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku. Kalaulah Aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, tidaklah mereka berdosa. Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai alasan bagi dosa mereka. Sesiapa yang membenci-Ku, membenci Bapa-Ku juga. Sekiranya Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di hadapan mata mereka, mereka tidaklah berdosa. Tetapi mereka telah melihat sendiri apa yang Kulakukan dan mereka tetap membenci-Ku dan Bapa-Ku. Hal ini semestinya begitu, supaya berlaku apa yang tersurat dalam Taurat mereka: ‘Mereka membenci-Ku tanpa alasan.’