YOHANES 15:18-21
YOHANES 15:18-21 Alkitab Berita Baik (BM)
“Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu. Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi Aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu. Ingatlah akan apa yang sudah Aku katakan kepada kamu, ‘Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya Aku, mereka akan menganiaya kamu juga. Jika mereka mentaati ajaran-Ku, mereka akan mentaati ajaran kamu juga. Mereka akan menganiaya kamu, kerana kamu pengikut-pengikut-Ku dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus Aku.
YOHANES 15:18-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka jikalau isi dunia ini bŭnchi akan kamu, maka kamu mŭngŭtahui marika itu tŭlah mŭmbŭnchi aku, iya itu dahulu deripadamu. Maka jikalau kamu deri pada dunia, nŭschaya dikasihi ulih isi dunia akan orangnya; tŭtapi sŭbab kamu bukan deri pada dunia ini, mŭlainkan aku tŭlah mŭmileh kamu deripada isi dunia, maka sŭbab itulah isi dunia ini bŭnchi akan kamu. Bahwa ingatlah kamu akan pŭrkataan yang aku katakan padamu, bahwa sa’orang hamba tiada lebih deripada tuannya; maka jikalau marika itu bŭrbuat annyaya akan daku itu, nŭschaya iya akan bŭrbuat annyaya padamu, dan jikalau orang mŭmliharakan pŭrkataanku, nŭschaya iya mŭmliharakan pŭrkataan kamu. Tŭtapi sagala pŭrkara itu akan dipŭrbuat orang padamu sŭbab namaku, kŭrna marika itu tiada mŭngŭnal akan dia yang tŭlah mŭnyurohkan aku.
YOHANES 15:18-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu. Andainya kamu milik dunia, maka dunia akan mengasihimu seperti kepunyaannya sendiri. Tetapi Aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu. Ingatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, ‘Seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga. Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku.