YOHANES 14:23-31
YOHANES 14:23-31 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus menjawab, “Sesiapa mengasihi Aku akan mentaati ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihi dia. Bapa-Ku dan Aku akan datang kepada orang itu dan tinggal dengan dia. Sesiapa yang tidak mengasihi Aku, tidak mentaati ajaran-Ku. Ajaran yang kamu dengar ini bukan daripada Aku, tetapi daripada Bapa yang mengutus Aku. Aku memberitahu kamu semua ini semasa Aku masih bersama-sama kamu. Tetapi Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu. Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut. Kamu sudah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan kembali kepada kamu.’ Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan bersukacita kerana Aku pergi kepada Bapa, oleh sebab Bapa lebih besar daripada Aku. Demikianlah Aku memberitahukan semua ini kepada kamu sekarang, sebelum semuanya berlaku, supaya apabila berlaku kelak, kamu akan percaya kepada-Ku. Aku tidak boleh berkata-kata lebih lama lagi dengan kamu, kerana sudah tiba masanya penguasa dunia ini datang. Dia tidak berkuasa atas diri-Ku. Tetapi Aku melakukan segala yang diperintahkan oleh Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. Marilah kita pergi dari sini.”
YOHANES 14:23-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sahut Isa katanya, Jikalau orang mŭngasihi aku, maka dapat tiada iya mŭmliharakan pŭrkataanku, dan Ayahku pun akan mŭngasihi dia, dan kami akan datang kapadanya, dan diam bŭsŭrta dŭngan dia. Maka orang yang tiada mŭngasihi aku, maka tiada pula iya mŭmliharakan sagala pŭrkataanku; adapun pŭrkataan yang kamu dŭngar itu, bukannya aku yang punya dia, mŭlainkan pŭrkataan Ayah yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Adapun sagala pŭrkara ini aku katakan padamu sŭlagi ada aku bŭrsama sama dŭngan kamu. Tŭtapi Pŭnghibur, iya itulah Roh Alkudus yang akan disurohkan ulih Ayah sŭbab namaku, maka iyalah nanti mŭngajar sagala pŭrkara itu padamu, sŭrta mŭngingatkan padamu akan sagala pŭrkara yang tŭlah kukatakan padamu. Maka aku tinggalkan slamat pada kamu, adapun aku mŭmbri slamatku kapadamu itu, bahwa bukannya aku mŭmbri itu kapada kamu spŭrti pŭmbrian orang dunia; maka janganlah hatimu mŭnjadi susah, atau jangan iya takot. Bahwa kamu tŭlah mŭnŭngar aku katakan, adapun aku akan pŭrgi, sŭrta datang kŭmbali kapadamu, maka jikalau kamu mŭngasihi aku, nŭschaya kamu suka chitalah, sŭbab aku tŭlah bŭrkata, bahwa aku pŭrgi kapada Ayah, kŭrna Ayahku itu lebih bŭsar deri padaku. Maka skarang pun bahwa aku katakan itu padamu sŭbŭlom jadinya, supaya apabila iya jadi kŭlak kamu bulih pŭrchaya. Kumdian deripada ini tiadalah aku mahu bŭrkata banyak lagi pada kamu, kŭrna pŭnghulu dunia datang, maka tiada iya akan bŭrulih barang suatu didalam aku. Tŭtapi supaya isi dunia ini tahu, bahwa aku mŭngasihi Ayah, dan spŭrti Ayah mŭmbri hukum padaku, dan dŭmkianlah kupŭrbuat; maka bangunlah, mari kita undor deri sini.
YOHANES 14:23-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus menjawab, “Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya. Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, padahal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku. Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu. Namun demikian, Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu. Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Janganlah resah hatimu dan janganlah takut. Kamu telah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.’ Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku. Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku. Aku tidak dapat bercakap lama lagi denganmu, kerana sudah tiba waktunya pemerintah dunia ini datang. Sebenarnya dia tidak berkuasa atas diri-Ku. Namun demikian, Aku menjalankan semua perintah Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. Bangkitlah, marilah kita beredar dari sini.”