YOHANES 14:15-31

YOHANES 14:15-31 Alkitab Berita Baik (BM)

“Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku. Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi kamu Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya. Dia Roh Allah, yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Dunia tidak dapat menerima Dia, kerana dunia tidak dapat melihat Dia ataupun mengenal Dia. Tetapi kamu mengenal Dia, kerana Dia tinggal dengan kamu dan bersatu dengan kamu. Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu; Aku akan kembali kepada kamu. Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat Aku lagi, tetapi kamu akan melihat Aku. Kerana Aku hidup, kamu pun akan hidup. Apabila hari itu tiba, barulah kamu tahu bahawa Aku bersatu dengan Bapa, kamu bersatu dengan Aku, dan Aku pun bersatu dengan kamu. Sesiapa yang menerima dan melakukan perintah-perintah-Ku, mengasihi Aku. Bapa-Ku akan mengasihi sesiapa yang mengasihi Aku. Aku pun akan mengasihi orang itu dan menunjukkan diri kepadanya.” Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, “Tuhan, mengapa Tuhan menunjukkan diri kepada kami dan bukan kepada dunia?” Yesus menjawab, “Sesiapa mengasihi Aku akan mentaati ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihi dia. Bapa-Ku dan Aku akan datang kepada orang itu dan tinggal dengan dia. Sesiapa yang tidak mengasihi Aku, tidak mentaati ajaran-Ku. Ajaran yang kamu dengar ini bukan daripada Aku, tetapi daripada Bapa yang mengutus Aku. Aku memberitahu kamu semua ini semasa Aku masih bersama-sama kamu. Tetapi Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu. Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut. Kamu sudah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan kembali kepada kamu.’ Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan bersukacita kerana Aku pergi kepada Bapa, oleh sebab Bapa lebih besar daripada Aku. Demikianlah Aku memberitahukan semua ini kepada kamu sekarang, sebelum semuanya berlaku, supaya apabila berlaku kelak, kamu akan percaya kepada-Ku. Aku tidak boleh berkata-kata lebih lama lagi dengan kamu, kerana sudah tiba masanya penguasa dunia ini datang. Dia tidak berkuasa atas diri-Ku. Tetapi Aku melakukan segala yang diperintahkan oleh Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. Marilah kita pergi dari sini.”

YOHANES 14:15-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Adapun jikalau kamu mŭngasihi aku, bahwa handaklah kamu mŭmliharakan sagala hukumku. Maka aku akan mŭmohonkan kapada Ayah, dan iya nanti mŭmbri pŭnghiburan yang lain, supaya tinggal bŭrsama sama dŭngan kamu sampie slama lamanya. Iya itu Roh yang bŭnar yang tiada dapat ditrima ulih orang dunia, kŭrna iya tiada mŭlihat dia, dan tiada mŭngŭnal dia; tŭtapi kamu ini mŭngŭnal dia, kŭrna iya diam bŭrsama sama dŭngan kamu, dan iya itu kŭlak ada dalam kamu. Bahwa aku tiada akan mŭninggalkan kamu spŭrti anak anak piatu, maka aku akan datang kŭlak kapadamu. Bŭrmula maka skutika lagi lamanya orang dunia tiada akan mŭlihat aku lagi, tŭtapi kamu skalian akan mŭlihat aku; adapun sŭbab aku ini hidop, maka kamu pun akan hidop juga. Maka pada hari itulah kŭlak kamu akan mŭngŭtahui, bahwa aku ada dalam Ayah, dan kamu dalam aku, dan aku didalam kamu. Bahwa orang yang mŭmŭgang sagala hukumku, dan mŭmliharakan dia, maka iya itulah dia yang mŭngasihi aku, dan orang yang mŭngasihi aku, maka iya pun dikasih ulih Ayahku, dan lagi aku pun akan mŭngasihi dia, sŭrta aku mŭnyatakan diriku kapadanya. Maka bŭrkatalah Yudas, bukannya Iskariot, Tuhan, bagimanakah halnya angkau handak mŭnyatakan dirimu kapada kami, dan tiada pada orang isi dunia? Maka sahut Isa katanya, Jikalau orang mŭngasihi aku, maka dapat tiada iya mŭmliharakan pŭrkataanku, dan Ayahku pun akan mŭngasihi dia, dan kami akan datang kapadanya, dan diam bŭsŭrta dŭngan dia. Maka orang yang tiada mŭngasihi aku, maka tiada pula iya mŭmliharakan sagala pŭrkataanku; adapun pŭrkataan yang kamu dŭngar itu, bukannya aku yang punya dia, mŭlainkan pŭrkataan Ayah yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Adapun sagala pŭrkara ini aku katakan padamu sŭlagi ada aku bŭrsama sama dŭngan kamu. Tŭtapi Pŭnghibur, iya itulah Roh Alkudus yang akan disurohkan ulih Ayah sŭbab namaku, maka iyalah nanti mŭngajar sagala pŭrkara itu padamu, sŭrta mŭngingatkan padamu akan sagala pŭrkara yang tŭlah kukatakan padamu. Maka aku tinggalkan slamat pada kamu, adapun aku mŭmbri slamatku kapadamu itu, bahwa bukannya aku mŭmbri itu kapada kamu spŭrti pŭmbrian orang dunia; maka janganlah hatimu mŭnjadi susah, atau jangan iya takot. Bahwa kamu tŭlah mŭnŭngar aku katakan, adapun aku akan pŭrgi, sŭrta datang kŭmbali kapadamu, maka jikalau kamu mŭngasihi aku, nŭschaya kamu suka chitalah, sŭbab aku tŭlah bŭrkata, bahwa aku pŭrgi kapada Ayah, kŭrna Ayahku itu lebih bŭsar deri padaku. Maka skarang pun bahwa aku katakan itu padamu sŭbŭlom jadinya, supaya apabila iya jadi kŭlak kamu bulih pŭrchaya. Kumdian deripada ini tiadalah aku mahu bŭrkata banyak lagi pada kamu, kŭrna pŭnghulu dunia datang, maka tiada iya akan bŭrulih barang suatu didalam aku. Tŭtapi supaya isi dunia ini tahu, bahwa aku mŭngasihi Ayah, dan spŭrti Ayah mŭmbri hukum padaku, dan dŭmkianlah kupŭrbuat; maka bangunlah, mari kita undor deri sini.

YOHANES 14:15-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)

“Jika kamu mengasihi-Ku, kamu akan mematuhi perintah-perintah-Ku. Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan mengurniaimu Penolong yang akan menyertaimu selama-lamanya. Penolong itu Roh Kebenaran. Dunia tidak dapat menerima-Nya kerana tidak dapat melihat atau mengenal-Nya. Tetapi kamu mengenal-Nya kerana Dia tetap di dalammu dan akan ada di dalam dirimu. Aku tidak akan meninggalkanmu seperti anak yatim piatu. Aku akan datang lagi mendapatkanmu. Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab Aku hidup, kamu juga akan hidup. Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu. Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya.” Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, “Tuhan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?” Yesus menjawab, “Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan Kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya. Orang yang tidak mengasihi-Ku tidak menurut ajaran-Ku, padahal ajaran itu bukan daripada-Ku, tetapi daripada Bapa yang mengutus-Ku. Aku memberitahumu semua ini ketika Aku masih tinggal bersamamu. Namun demikian, Penolong, iaitu Roh Kudus yang akan diutus Allah dalam nama-Ku, akan mengajarmu segala-galanya dan mengingatkanmu tentang apa yang telah Kukatakan kepadamu. Sejahtera Kutinggalkan bagimu. Sejahtera-Ku sendiri Kuberikan kepadamu. Apa yang Kuberikan kepadamu bukan seperti yang disogokkan oleh dunia. Janganlah resah hatimu dan janganlah takut. Kamu telah mendengar Aku berkata, ‘Aku akan pergi, tetapi Aku akan datang lagi mendapatkanmu.’ Sekiranya kamu mengasihi-Ku, kamu akan gembira bahawa Aku pergi kepada Bapa kerana Bapa lebih besar daripada-Ku. Semua ini Kukatakan kepadamu sebelum terjadi, supaya ketika berlaku nanti, kamu akan percaya kepada-Ku. Aku tidak dapat bercakap lama lagi denganmu, kerana sudah tiba waktunya pemerintah dunia ini datang. Sebenarnya dia tidak berkuasa atas diri-Ku. Namun demikian, Aku menjalankan semua perintah Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. Bangkitlah, marilah kita beredar dari sini.”