YOHANES 13:12-26

YOHANES 13:12-26 Alkitab Berita Baik (BM)

Setelah Yesus membasuh kaki mereka, Dia mengenakan jubah-Nya kembali lalu duduk semula. Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu memahami apa yang baru sahaja Aku lakukan untuk kamu? Kamu memanggil Aku Guru dan Tuhan. Benarlah panggilan kamu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. Jika Aku sebagai Tuhan dan Guru kamu, sudah membasuh kaki kamu, maka kamu wajib saling membasuh kaki. Aku sudah memberikan teladan kepada kamu semua, supaya kamu juga melakukan apa yang sudah Aku lakukan untuk kamu. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya. Seorang utusan tidak lebih penting daripada orang yang mengutusnya. Jika kamu mengetahui hal ini, berbahagialah kamu jika kamu melakukannya. Apa yang Aku katakan itu bukanlah tentang kamu semua. Aku mengenal siapa-siapa yang sudah Aku pilih. Tetapi apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku, ‘Orang yang makan dengan Aku akan melawan Aku.’ Aku memberitahu kamu perkara ini sekarang, sebelum semuanya berlaku. Apabila perkara itu berlaku kelak, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU. Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang menyambut orang yang Aku utus, menyambut Aku; sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, hati-Nya gelisah. Lalu Dia berkata dengan terus terang, “Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.” Pengikut-pengikut Yesus saling memandang, kerana mereka tidak mengetahui orang yang dimaksudkan oleh-Nya. Pengikut yang dikasihi oleh Yesus duduk di sebelah Yesus. Oleh itu Simon Petrus memberikan isyarat kepadanya, “Tanyalah Guru, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.” Pengikut itu mendekati Yesus lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Orang yang Aku berikan roti yang Aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.” Oleh itu Yesus mengambil sedikit roti, mencelupnya ke dalam mangkuk, lalu memberikan roti itu kepada Yudas anak Simon Iskariot.

YOHANES 13:12-26 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bŭrmula tŭtkala sudahlah habis Isa mŭmbasoh kaki murid muridnya, dan mŭmakie bajunya, sŭrta dudok kŭmbali, maka katanya pada marika itu, Adakah kamu tahu apa yang kupŭrbuat padamu itu? Bahwa kamu mŭmanggil aku Guru dan Tuhan, maka bŭtollah katamu itu, kŭrna iyalah aku itu. Adapun jikalau aku ini Tuhan dan Guru juga tŭlah mŭmbasohkan kakimu, maka patutlah kamu mŭmbasoh kaki sa’orang kapada sa’orang pun. Kŭrna aku tŭlah mŭmbri tuladan pada kamu, supaya kamu bŭrbuat yang spŭrti aku tŭlah bŭrbuat padamu. Sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa hamba itu tiada akan lebih deripada tuannya, dan surohan itu tiada akan lebih deripada yang mŭnyurohkan dia. Maka jikalau kamu kŭtahui akan sagala pŭrkara ini, sŭrta bŭrbuat akan dia, bŭrbahgialah kamu. Maka bukannya aku bŭrkata derihal kamu sŭmua, kŭrna aku tahu siapa yang tŭlah kupileh; tŭtapi supaya pŭrkataan kitab itu digŭnapi, adapun orang yang makan roti sŭrtaku, tŭlah mŭngangkat tŭmitnya mŭlawan aku. Adapun skarang ini aku mŭngatakan padamu itu sŭbŭlom iya jadi, supaya apabila jadinya kŭlak, kamu bulih pŭrchaya, bahwasanya akulah dia itu. Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, orang yang mŭnyambut barang siapa surohanku, sŭrasa iya mŭnyambut aku, dan orang yang mŭnyambut aku, sŭrasa iya mŭnyambut akan dia yang mŭnyurohkan aku. Bŭrmula sŭtlah sudah Isa bŭrkata dŭmkian itu, maka bŭrduka chitalah hatinya, sambil iya bŭrsaksi, lalu bŭrkata, Sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata kapada kamu, bahwa sa’orang deri antara kamu akan mŭnyŭrahkan aku kŭtangan musohku. Maka tŭtkala itu murid muridnya itu pun bŭrpandang pandanganlah sa’orang akan sa’orang, sŭrta dŭngan shaknya akan siapa juga garangan dikatakannya itu. Maka adalah sa’orang deripada murid muridnya yang dikasihi ulih Isa, bŭrsandar didadanya. Maka Simon Petros pun mŭngisharatkan akan dia itu, supaya ditanyakannya, siapa juga orang yang dikatakan Isa itu. Maka orang yang bŭrsandar pada dada Isa itu pun bŭrkata, Ya Tuhan, siapakah dia itu? Maka sahut Isa, Adapun kapada barang siapa yang kubri sŭsuap yang kuchŭlopkan dikuah, maka iya itulah dia. Maka sŭtlah sudah dichŭlopkan itu, maka dibrikannya kapada Yudas Iskariot, anak Simon itu.

YOHANES 13:12-26 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu? Kamu memanggil-Ku Guru dan Tuhan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. Jika Aku sebagai Tuhan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri. Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya. Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu. Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat dalam Kitab Suci pastilah terlaksana, ‘Orang yang makan bersama-Ku telah berpaling menentang-Ku.’ Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menerima orang yang Kuutus, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Dia yang mengutus-Ku.” Setelah melafazkan kata-kata itu, Yesus berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus terang, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.” Para murid Yesus berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Yesus. Salah seorang murid yang dikasihi oleh Yesus duduk bertelekan di sisi-Nya. Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, “Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.” Murid itu melayah dekat kepada Yesus lalu bertanya, “Siapakah dia, ya Tuhan?” Yesus menjawab, “Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya.” Yesus pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot.