YOHANES 12:23-33

YOHANES 12:23-33 Alkitab Berita Baik (BM)

Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tiba masanya Anak Manusia dimuliakan. Sungguh benar apa yang Aku katakan ini: Jika sebiji benih gandum tidak ditanam di tanah lalu mati, benih gandum itu tetap sebiji benih sahaja. Tetapi jika benih itu ditanam lalu mati, maka benih itu akan tumbuh dan menghasilkan banyak gandum. Sesiapa yang mengasihi hidupnya sendiri akan kehilangan hidup itu. Tetapi sesiapa yang tidak mengasihi hidupnya di dunia ini akan memilikinya untuk hidup sejati dan kekal. Sesiapa yang mahu mengabdikan diri kepada-Ku harus mengikut Aku, supaya dia boleh bersama-sama Aku di tempat Aku berada. Bapa-Ku akan menghormati orang yang mengabdikan diri kepada-Ku.” “Hati-Ku gelisah. Apa yang akan Aku katakan? Haruskah Aku berkata, ‘Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini’? Tidak. Aku datang justeru untuk mengalami saat penderitaan ini. Ya Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!” Kemudian terdengar suara dari langit berkata, “Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.” Orang ramai di situ mendengar suara itu. Mereka berkata, “Guruh!” Tetapi ada juga yang berkata, “Bukan! Malaikat berkata-kata kepada-Nya!” Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Suara itu terdengar bukan untuk kepentingan-Ku, tetapi untuk kepentingan kamu. Tibalah saatnya dunia dihakimi; sekarang penguasa dunia ini akan digulingkan. Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku.” Dengan kata-kata-Nya ini, Yesus menunjukkan cara Dia akan mati.

YOHANES 12:23-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka disahut Isa pada marika itu katanya, Waktunya tŭlah sampielah, Anak manusia itu patut dipŭrmuliakan. Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, jikalau kiranya sŭbiji gandom yang tŭlah ditaborkan ditanah itu tiada mati, nŭschaya iya itu tinggal sŭbiji sahja; tŭtapi jikalau iya mati, maka iya kŭlak akan bŭrbuah tŭrlalu banyak. Maka barang siapa yang mŭngasihi akan dirinya, maka iya itu kŭlak hilang, dan barang siapa yang mŭmbŭnchi akan dirinya dalam dunia ini, maka iya itu kŭlak akan tŭrplihara slama lamanya dalam akhirat. Maka barang siapa handak bŭpŭrhambakan dirinya padaku, maka handaklah iya mŭngikot aku, dan dimana ada aku, maka disanalah kŭlak ada hambaku pun; dan jikalau barang siapa handak bŭpŭrhambakan dirinya padaku, maka iyalah akan bŭrulih hormat deri pada Ayahku. Adapun skarang tŭrlalu susah hatiku, apakah aku handak bŭrkata? Ya Ayah, lŭpaskanlah aku deripada waktu ini; akan tŭtapi kŭrna sŭbab inilah aku datang pada waktu ini. Ya Ayah, pŭrmuliakanlah namamu; sŭmŭnjak itu maka bŭrsrulah swara deri langit, katanya, Bahwa aku sudah pŭrmuliakan namaku, dan lagi pula aku akan mŭmuliakan dia. Maka bŭrkatalah orang banyak yang bŭrdiri disana, sŭrta mŭnŭngar swara itu, katanya, guroh bŭrbunyi. Maka kata orang lain pula, Mŭliekat bŭrtutor dŭngan dia. Maka sahut Isa sambil bŭrkata, Bahwa swara itu bukannya sŭbab aku, mŭlainkan sŭbab kamu skalian adanya. Maka skaranglah hukum dunia ini, dan skaranglah pŭnghulu dunia ini akan dibuangkan kluar. Adapun apabila aku ini ditinggikan deri atas bumi, maka aku akan mŭnggrakkan orang sŭmua datang kapadaku. Adapun Isa mŭngatakan itu, iya itu mŭnyatakan derihal pri kŭmatiannya.