YOHANES 11:45-53
YOHANES 11:45-53 Alkitab Berita Baik (BM)
Banyak orang Yahudi yang datang melawat Maria, melihat apa yang dilakukan oleh Yesus, lalu mereka percaya kepada Yesus. Tetapi beberapa orang antara mereka balik kepada orang Farisi, lalu melaporkan apa yang telah dilakukan oleh Yesus. Oleh itu, orang Farisi dan ketua-ketua imam mengadakan mesyuarat dengan Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang harus kita lakukan? Lihatlah, orang ini melakukan banyak mukjizat! Jika kita biarkan Dia terus berbuat demikian, semua orang akan percaya kepada-Nya. Akhirnya penguasa Roma akan datang lalu menghancurkan Rumah Tuhan dan bangsa kita!” Seorang daripada mereka bernama Kayafas, Imam Agung pada tahun itu. Dia berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa. Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?” Sebenarnya dia tidak mengatakan hal ini menurut fikirannya sendiri. Tetapi sebagai Imam Agung tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk orang Yahudi. Yesus mati bukan untuk orang Yahudi sahaja, tetapi juga untuk mengumpulkan dan menyatukan umat Allah yang tercerai-cerai. Sejak hari itu para penguasa Yahudi berkomplot untuk membunuh Yesus.
YOHANES 11:45-53 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka banyaklah deripada orang Yahudi yang datang kapada Mŭriam itu pun pŭrchayalah akan Isa, tŭtkala dilihatnya sagala pŭrkara yang dipŭrbuat ulih Isa itu. Tŭtapi adalah bŭbrapa orang deripada marika itu pula yang pŭrgi kapada orang orang Farisia, lalu dikatakannya kapadanya sagala pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat Isa itu. ¶ Bŭrmula maka bŭrkamponglah kŭpala kŭpala Imam, dan orang orang Farisia mŭmbuat mufakat, katanya, Apatah ada pŭrbuatan kita, kŭrna orang itu tŭlah bŭrbuat bŭbrapa mujizat? Maka jikalau kita diamkan dŭmkian juga, nŭschaya sagala orang pŭrchayalah akan dia, dan kaum Rom pun kŭlak akan datang mŭmbinasakan tŭmpat kita sŭrta bangsa kita. Maka dijawab ulih sa’orang deripada marika itu, namanya Kiefas, maka adalah iya itu mŭnjadi kŭpala Imam pada tahun itu, katanya, Adapun kamu skalian suatu pun tiada tahu. Dan kamu tiada bŭrfikiran, bahwa haruslah pada kita kŭlak sa’orang mati ganti kaum ini, asal jangan sagala bangsa kita binasa. Maka pŭrkataan itu bukannya tŭrbit deripada sŭndirinya, mŭlainkan kŭrna iya mŭnjadi kŭpala Imam pada tahun itu, maka sŭbab itulah iya bŭrnabuat, bahwa Isa akan mati ganti bangsa itu. Bahwa bukannya sŭbab ganti bangsa itu sahja, mŭlainkan supaya dihimpunkannya sagala anak anak Allah yang tŭrchŭrie bŭrie dinŭgri jauh jauh dijadikannya satu. Maka deripada hari itulah juga bŭrfakat marika itu handak mŭmbunoh akan Isa.
YOHANES 11:45-53 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ramai orang Yahudi yang datang melawat Maria dan melihat apa yang dilakukan oleh Yesus terus percaya kepada-Nya. Namun demikian, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan apa yang dilakukan oleh Yesus. Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat! Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Romawi akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!” Seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, “Kamu semua tidak tahu suatu apa pun. Kamu tidak faham bahawa lebih baik satu orang mati untuk bangsa kita, daripada seluruh bangsa kita dimusnahkan?” Kayafas bukanlah melahirkan pendapatnya sendiri. Sebagai imam besar tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk bangsa Yahudi. Sebenarnya Yesus mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi untuk menyatukan seluruh anak Allah yang berselerak di merata-rata tempat. Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Yesus.