YOHANES 11:17-57

YOHANES 11:17-57 Alkitab Berita Baik (BM)

Apabila Yesus tiba di tempat itu, Dia mendapati Lazarus sudah dikubur selama empat hari. Betania letaknya kira-kira tiga kilometer dari Yerusalem. Oleh itu banyak orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk menghibur mereka kerana kematian Lazarus. Apabila Marta mendengar seseorang berkata bahawa Yesus datang, dia pun keluar untuk menjumpai Yesus, tetapi Maria tinggal di rumah. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup! Sungguhpun demikian, aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan apa sahaja yang Tuhan minta.” Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.” Marta menjawab, “Aku tahu bahawa Lazarus akan hidup semula apabila orang mati dibangkitkan pada Hari Kiamat.” Yesus berkata kepada Marta, “Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?” “Ya Tuhan,” jawab Marta, “aku percaya bahawa Tuhan Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan yang dijanjikan untuk datang ke dunia ini.” Setelah Marta berkata demikian dia pun pergi memanggil Maria, saudaranya lalu berbisik kepadanya, “Guru di sini dan Dia memanggil kamu.” Mendengar hal itu, Maria cepat-cepat bangun lalu pergi menjumpai Yesus. ( Ketika itu, Yesus belum masuk ke kampung itu. Dia masih di tempat Marta menjumpai-Nya.) Orang Yahudi yang sedang menghibur Maria di rumah, mengikuti Maria ketika mereka melihat Maria bangun dengan cepat lalu keluar. Mereka menyangka dia hendak pergi ke kubur Lazarus untuk menangis di sana. Apabila Maria sampai ke tempat Yesus dan melihat Dia, Maria berlutut pada kaki Yesus dan berkata, “Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!” Apabila Yesus melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang datang bersama-sama Maria juga menangis, Yesus sedih hati dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu mengubur dia?” Mereka menjawab, “Mari lihat, Tuhan.” Yesus menangis. Semua orang Yahudi di situ berkata, “Lihatlah! Dia sangat mengasihi Lazarus.” Tetapi beberapa orang antara mereka berkata, “Dia dapat membuat orang buta melihat. Mengapa dia tidak dapat mencegah kematian Lazarus?” Yesus sangat terharu lagi, lalu Dia pergi ke kubur. Kubur itu sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu besar. Lalu Yesus berkata, “Tepikan batu ini.” Tetapi Marta, saudara orang yang meninggal itu menjawab, “Tuhan, sudah empat hari dia dikuburkan. Tentu busuk baunya!” Yesus berkata kepada Marta, “Tidakkah Aku berkata kepadamu: Jika kamu percaya, kamu boleh melihat betapa besarnya kuasa Allah?” Mereka mengetepikan batu itu, lalu Yesus menengadah ke langit dan berkata, “Aku bersyukur kepada-Mu, ya Bapa, kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. Aku tahu bahawa Engkau sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku berkata demikian untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya bahawa Engkaulah yang mengutus Aku.” Setelah Yesus berkata demikian, Dia berseru dengan suara kuat, “Lazarus, keluar!” Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain kafan dan mukanya tertutup dengan kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Tanggalkan kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.” Banyak orang Yahudi yang datang melawat Maria, melihat apa yang dilakukan oleh Yesus, lalu mereka percaya kepada Yesus. Tetapi beberapa orang antara mereka balik kepada orang Farisi, lalu melaporkan apa yang telah dilakukan oleh Yesus. Oleh itu, orang Farisi dan ketua-ketua imam mengadakan mesyuarat dengan Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang harus kita lakukan? Lihatlah, orang ini melakukan banyak mukjizat! Jika kita biarkan Dia terus berbuat demikian, semua orang akan percaya kepada-Nya. Akhirnya penguasa Roma akan datang lalu menghancurkan Rumah Tuhan dan bangsa kita!” Seorang daripada mereka bernama Kayafas, Imam Agung pada tahun itu. Dia berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa. Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?” Sebenarnya dia tidak mengatakan hal ini menurut fikirannya sendiri. Tetapi sebagai Imam Agung tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk orang Yahudi. Yesus mati bukan untuk orang Yahudi sahaja, tetapi juga untuk mengumpulkan dan menyatukan umat Allah yang tercerai-cerai. Sejak hari itu para penguasa Yahudi berkomplot untuk membunuh Yesus. Yesus tidak lagi berpergian secara terang-terangan di Yudea, tetapi Dia pergi ke bandar bernama Efraim dekat padang gurun. Dia dan pengikut-pengikut-Nya tinggal di sana. Pada masa itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. Banyak orang dari kampung pergi ke Yerusalem untuk menjalankan upacara penyucian diri sebelum perayaan itu. Mereka mencari Yesus dan semasa di Rumah Tuhan, mereka bertanya sesama sendiri, “Apa pendapatmu? Dia barangkali tidak akan menghadiri perayaan ini.” Ketua-ketua imam dan orang Farisi sudah mengeluarkan perintah bahawa orang yang mengetahui tempat Yesus berada harus melaporkannya, supaya Dia dapat ditangkap.

YOHANES 11:17-57 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Maka apabila Isa sampie, maka didapatinya akan Lazaras itu tŭlah ampat hari sudah dikuborkan. Bŭrmula adapun Bŭthani itu adalah jauhnya deri nŭgri Jerusalem hampir hampir dua mil. Maka adalah banyak orang Yahudi sudah datang kapada Martha dan Mŭriam, supaya mŭnghiburkan dia kŭrna saudaranya. Adapun dŭmi didŭngar ulih Martha, bahwa Isa datang itu, maka kluarlah iya bŭrtŭmu dŭngan dia, tŭtapi Mŭriam ada lagi dudok dirumah. Maka bŭrkatalah Martha kapada Isa, Tuhan, jikalau ada angkau disini, bahwa saudaraku itu tida kŭlak mati. Tŭtapi hamba tŭlah mŭngtahui, mŭskipun skarang ini, jikalau angkau mŭminta barang suatu kapada Allah, nŭschaya dibri Allah akan dikau. Maka kata Isa, Adapun saudaramu ini akan hidop pula. Maka jawab Martha, Bahwa hamba tahu iya akan bŭrbangkit dalam kiamat pada hari kumdian. Maka kata Isa padanya, Bahwa aku inilah kŭbangkitan itu, dan hidop itu; maka barang siapa yang pŭrchaya akan daku, mŭskipun iya mati sŭrasa iya hidop. Maka barang siapa yang hidop, sŭrta pŭrchaya akan daku, tiadalah iya mati slama lamanya; pŭrchayakah angkau itu? Maka sahut Martha padanya, Bŭtul Tuhan hamba pŭrchaya, angkaulah Almasih itu, dan Anak Allah itu yang patut datang kŭdalam dunia ini. Adapun sŭtlah habislah Martha bŭrkata itu, maka pŭrgilah iya mŭmanggil Mŭriam saudaranya itu diam diam, katanya, Bahwa Guru tŭlah datang mŭmanggil dikau. Maka sŭrta didŭngar ulih Mŭriam itu, lalu bangunlah iya dŭngan sŭgranya pŭrgi mŭndapatkan Isa. Kŭlakian maka Isa pun bŭlom sampie masok duson, mŭlainkan iya lagi diluar pada tŭmpat Martha bŭrtŭmu dŭngan dia itu. Bŭrmula maka orang orang Yahudi yang bŭrsama sama dŭngan Martha dalam rumah handak mŭnghiburkan dia, apabila marika itu mŭlihat Mŭriam bangun dŭngan sŭgranya lalu kluar, maka diikotnya akan dia sambil bŭrkata, Bahwa iya pŭrgi pada kubor, sŭbab handak mŭnangis disitu. Maka apabila Mŭriam sampie ditŭmpat Isa ada itu, sŭrta mŭlihat akan dia, maka iya pun jatohlah kŭkakinya, sŭrta katanya, Tuhan, jikalau kiranya ada angkau disini, bahwa saudaraku tiadalah mati. Maka apabila dilihat Isa akan Mŭriam mŭnangis, dan orang orang Yahudi datang bŭrsama sama itu pun mŭnangis, maka bŭrkŭlohlah dia dŭngan kŭsusahannya dalam hatinya: Sŭrta bŭrkata, Dimanakah kamu taroh akan dia? Maka bŭrkatalah marika itu, Tuhan, marilah lihat. Maka Isa pun mŭnangislah. Maka kata orang Yahudi itu, Lihatlah, bagimana iya mŭngasihi akan dia. Maka adalah sŭtŭngah marika itu bŭrkata kata, Bukankah orang ini yang tŭlah mŭnchŭlekkan mata orang buta itu, juga bulih mŭnahankan orang ini deripada mati? Maka sŭbab itu bŭrkŭlohlah Isa pula akan dia, lalu pŭrgilah kakubor itu. Maka adalah tŭmpat itu suatu goa, ada dihadapannya sa’buah batu tŭrhantar. Maka kata Isa, Undorkanlah batu itu. Maka kata Martha, saudara orang yang mati itu, Tuhan, skarang sudah busoklah bahunya, kŭrna tŭlah ampat hari lamanya. Maka kata Isa pada pŭrampuan itu, Bahwa bukankah aku tŭlah bŭrkata kapadamu, asal angkau pŭrchaya sahja, maka angkau akan mŭlihat kŭmuliaan Allah? Maka diundorkan oranglah batu itu deri tŭmpat orang mati itu, sŭtlah itu maka tŭngadahlah Isa, sŭrta bŭrkata, Ya Ayah, bahwa mŭnguchap shukorlah aku kapadamu, sŭbab angkau tŭlah mŭnŭrima doaku. Maka kukŭtahuilah bahwa angkau mŭnŭrima doaku pada sŭdiakala; tŭtapi sŭbab orang orang yang bŭrdiri disini, aku katakan itu, supaya marika itu pŭrchaya, bahwa angkaulah yang tŭlah mŭnyurohkan aku. Maka sŭtlah sudah iya bŭrkata kata dŭmkian, maka bŭrsrulah iya dŭngan swaranya yang nyaring katanya, Hie Lazaras, kluarlah angkau. Hata maka kluarlah orang yang tŭlah mati itu dŭngan bŭrikat kaki tangannya dŭngan kain kafan, dan mukanya pun bŭrbungkus dŭngan sapu tangan; maka kata Isa pada marika itu, Lŭpaskan, biarlah iya pŭrgi. Maka banyaklah deripada orang Yahudi yang datang kapada Mŭriam itu pun pŭrchayalah akan Isa, tŭtkala dilihatnya sagala pŭrkara yang dipŭrbuat ulih Isa itu. Tŭtapi adalah bŭbrapa orang deripada marika itu pula yang pŭrgi kapada orang orang Farisia, lalu dikatakannya kapadanya sagala pŭrkara yang tŭlah dipŭrbuat Isa itu. ¶ Bŭrmula maka bŭrkamponglah kŭpala kŭpala Imam, dan orang orang Farisia mŭmbuat mufakat, katanya, Apatah ada pŭrbuatan kita, kŭrna orang itu tŭlah bŭrbuat bŭbrapa mujizat? Maka jikalau kita diamkan dŭmkian juga, nŭschaya sagala orang pŭrchayalah akan dia, dan kaum Rom pun kŭlak akan datang mŭmbinasakan tŭmpat kita sŭrta bangsa kita. Maka dijawab ulih sa’orang deripada marika itu, namanya Kiefas, maka adalah iya itu mŭnjadi kŭpala Imam pada tahun itu, katanya, Adapun kamu skalian suatu pun tiada tahu. Dan kamu tiada bŭrfikiran, bahwa haruslah pada kita kŭlak sa’orang mati ganti kaum ini, asal jangan sagala bangsa kita binasa. Maka pŭrkataan itu bukannya tŭrbit deripada sŭndirinya, mŭlainkan kŭrna iya mŭnjadi kŭpala Imam pada tahun itu, maka sŭbab itulah iya bŭrnabuat, bahwa Isa akan mati ganti bangsa itu. Bahwa bukannya sŭbab ganti bangsa itu sahja, mŭlainkan supaya dihimpunkannya sagala anak anak Allah yang tŭrchŭrie bŭrie dinŭgri jauh jauh dijadikannya satu. Maka deripada hari itulah juga bŭrfakat marika itu handak mŭmbunoh akan Isa. Maka sŭbab itu tiadalah bibas lagi Isa bŭrjalan diantara orang Yahudi, mŭlainkan undorlah iya deri sana kapada suatu tanah yang dŭkat padang bŭlantara, kapada sa’buah nŭgri yang bŭrnama Efraim, maka disitulah iya tinggal bŭrsama sama dŭngan murid muridnya. ¶ Maka hari raya langkah orang Yahudi pun hampirlah datang, maka banyaklah orang deripada luar luar nŭgri itu pŭrgi kaJerusalem tŭrdahulu deripada hari raya langkah itu, supaya mŭnyuchikan dirinya. Maka brapa orang pun mŭnchari Isa, sambil bŭrkata sa’orang sama sa’orang tŭtkala bŭrdiri dalam ka’abah, Bagimanakah sangkamu, datangkah iya kŭlak pada hari raya ini? Maka adapun kŭpala kŭpala Imam, dan orang orang Farisia mŭmbri prentah, Jikalau barang siapa yang tahu dimana ada dia, khabarkanlah, supaya ditangkap ulih marika itu akan dia.

YOHANES 11:17-57 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika Yesus sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam. Betania terletak kira-kira dua batu dari Yerusalem. Oleh itu, ramai orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus. Apabila Marta mendengar Yesus datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maria tinggal di rumah. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup! Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Allah.” Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.” Marta menjawab, “Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.” Yesus berkata kepada Marta, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?” Marta menjawab, “Ya Tuhan, aku percaya bahawa Engkaulah Kristus, Anak Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini.” Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maria dan berbisik kepadanya, “Guru ada di sini. Dia memanggilmu.” Maria pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa dengan Yesus. Pada waktu itu Yesus belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya. Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maria untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya. Setelah Maria melihat Yesus, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, “Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!” Ketika melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Yesus sungguh hiba dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu letakkan dia?” Mereka menjawab, “Marilah lihat, ya Tuhan.” Yesus menangis. Semua orang Yahudi yang hadir berkata, “Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.” Namun demikian, ada yang berkata, “Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?” Yesus yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar. Yesus berkata, “Alihkan batu itu.” Tetapi Marta, saudara perempuan kepada orang yang meninggal itu, berkata, “Tuhan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.” Yesus berkata kepada Marta, “Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?” Mereka mengalihkan batu itu. Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.” Selepas itu, Yesus berseru lantang, “Lazarus, keluar!” Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.” Ramai orang Yahudi yang datang melawat Maria dan melihat apa yang dilakukan oleh Yesus terus percaya kepada-Nya. Namun demikian, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan apa yang dilakukan oleh Yesus. Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat! Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Romawi akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!” Seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, “Kamu semua tidak tahu suatu apa pun. Kamu tidak faham bahawa lebih baik satu orang mati untuk bangsa kita, daripada seluruh bangsa kita dimusnahkan?” Kayafas bukanlah melahirkan pendapatnya sendiri. Sebagai imam besar tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk bangsa Yahudi. Sebenarnya Yesus mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi untuk menyatukan seluruh anak Allah yang berselerak di merata-rata tempat. Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Yesus. Yesus tidak lagi pergi ke sana ke mari secara terbuka di antara orang Yahudi. Dia beredar ke daerah bernama Efraim dekat gurun, dan menetap di sana bersama murid-murid-Nya. Menjelang Perayaan Paskah, ramai orang Yahudi dari kampung pergi ke Yerusalem untuk menjalani upacara bersuci sebelum perayaan itu. Mereka mencari Yesus. Ketika di Bait Suci, mereka bertanya sesama sendiri, “Bagaimana fikiranmu? Datangkah Dia ke perayaan ini?” Ketua imam dan orang Farisi telah mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang tahu di mana Yesus berada mesti melaporkannya supaya Dia dapat ditangkap.