YOHANES 11:1-16

YOHANES 11:1-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Seorang lelaki bernama Lazarus sakit. Dia tinggal di Betania bersama-sama dua orang saudaranya yang bernama Maria dan Marta. ( Marialah yang menuangi kaki Tuhan dengan minyak wangi, lalu menyapunya dengan rambutnya. Lazarus yang sakit itu saudaranya.) Kedua-dua orang saudara ini mengirim khabar kepada Yesus, “Tuhan, sahabat yang Tuhan kasihi itu sakit.” Apabila Yesus mendengar khabar itu, Dia berkata, “Penyakit ini tidak akan menyebabkan kematian Lazarus; hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Melalui hal ini Anak Allah akan dimuliakan.” Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus. Tetapi ketika Yesus menerima khabar bahawa Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi. Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita balik ke Yudea.” Pengikut-pengikut-Nya menjawab, “Guru, baru sahaja orang Yahudi di situ hendak merejam Guru, dan sekarang Guru mahu balik lagi ke sana?” Yesus berkata, “Bukankah siang hari lamanya dua belas jam? Sesiapa yang berjalan pada siang hari, tidak akan tersandung, kerana dia melihat cahaya bagi dunia ini. Tetapi jika orang itu berjalan pada malam hari, dia tersandung kerana tiada cahaya padanya.” Setelah berkata demikian, Yesus melanjutkan pula, “Sahabat kita Lazarus sudah tidur, tetapi Aku akan pergi membangunkan dia.” Pengikut-pengikut Yesus berkata, “Guru, jika Lazarus tidur, dia akan sembuh.” Sebenarnya inilah yang dimaksudkan Yesus: Lazarus sudah meninggal. Tetapi mereka menyangka bahawa Yesus berkata Lazarus benar-benar tidur. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka dengan terus terang, “Lazarus sudah meninggal. Tetapi demi kebaikan kamu, Aku bersyukur kerana Aku tidak bersama-sama dia, supaya kamu boleh percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepada Lazarus.” Tomas yang disebut Si Kembar berkata kepada sesama pengikut Yesus, “Marilah kita pergi dengan Guru, supaya kita mati bersama-sama-Nya!”

YOHANES 11:1-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BŬRMULA maka adalah sa’orang orang sakit yang bŭrnama Lazaras, deri Bŭthani, diduson Mŭriam dan Martha, saudaranya pŭrampuan. Maka iya inilah Mŭriam yang mŭnggosok Tuhan dŭngan minyak bahu bahuan, dan yang mŭnyapu kakinya dŭngan rambutnya, iyalah yang ampunya saudara laki laki itu Lazaras yang sakit. Maka adalah kadua saudaranya pŭrampuan itu mŭnyuroh orang pŭrgi kapada Isa, katanya, Tengoklah Tuhan, orang yang angkau kasih itu sakit. Maka apabila Isa mŭnŭngar itu, lalu katanya, Adapun pŭnyakit itu bukannya akan mŭmbawa mati, mŭlainkan akan kŭmuliaan Allah, supaya Anak Allah dipŭrmuliakan deri sŭbabnya itu. Maka adalah Martha, dan saudaranya pŭrampuan, dan Lazaras itu dikasihi ulih Isa. Maka apabila didŭngar Isa Lazaras itu sakit, maka tinggallah iya pula lagi dua hari disitu juga. Shahadan maka kumdian deripada itu, maka bŭrkatalah iya kapada murid muridnya, Marilah kita pŭrgi kŭtanah Yahuda kŭmbali. Maka bŭrkatalah murid muridnya kapadanya, Hie Guru, bahru juga sŭdikit hari lalu ini, orang Yahudi handak mŭrŭjam angkau dŭngan batu, maka skarang handak pŭrgi kŭsanakah lagi angkau? Maka sahut Isa, Bukankah dalam sa’hari itu duablas jam? Maka jikalau barang siapa bŭrjalan pada siang hari itu, tiadalah iya tŭrantok adanya, sŭbab dilihatnya trang dunia. Tŭtapi jikalau orang bŭrjalan pada malam hari, maka tŭrantoklah iya, kŭrna tiada iya bŭrtrang. Maka sŭtlah habislah Isa mŭngatakan itu, maka katanya pula pada murid muridnya, Adapun sahabat kita Lazaras itu tidor, maka skarang aku handak pŭrgi mŭmbangunkan dia. Maka bŭrkatalah murid muridnya, Tuhan, jikalau iya tidor, sŭnanglah iya. Adapun Isa bŭrkata itu derihal kŭmatian Lazaras itu, tŭtapi pada sangka marika itu Isa bŭrkata kata itu akan hal Lazaras itu tidor handak mŭnyŭnangkan dirinya. Maka tŭtkala itu bŭrkatalah Isa pada marika itu dŭngan kŭtrangannya, Adapun Lazaras itu sudah mati. Sukalah aku kŭrna kamu, sŭbab aku tiada disana, supaya kamu kŭlak pŭrchaya; maka kandatilah, marilah kita pŭrgi kapadanya. Maka kata Thomas yang tŭrsŭbut Didimus kapada murid murid kawannya itu, Marilah kita pun pŭrgi supaya kita mati bŭrsama sama dŭngan dia.

YOHANES 11:1-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu ketika, seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Betania bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maria dan Marta. Maria, yang saudaranya Lazarus sedang sakit, merupakan seorang perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Tuhan dan menyapunya dengan rambutnya. Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Yesus, “Tuhan, dia yang Kaukasihi itu sakit.” Apabila menerima berita itu, Yesus berkata, “Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Disebabkan kejadian ini Anak Allah akan dimuliakan.” Yesus mengasihi Marta, Maria dan Lazarus. Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi. Kemudian Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Marilah kita pulang ke Yudea.” Para murid-Nya menjawab, “Rabbi, bukankah orang Yahudi di situ baru sahaja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?” Yesus berkata, “Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini. Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi.” Kemudian Yesus menambah, “Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.” Para murid Yesus berkata, “Tuhan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.” Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi murid-murid-Nya mengambil erti tidur yang biasa. Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka dengan jelas, “Lazarus sudah meninggal. Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya.” Tomas yang disebut Didimus berkata kepada murid Yesus yang lain. “Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!”