YOHANES 10:25-37
YOHANES 10:25-37 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus menjawab, “Aku sudah memberitahu kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Perbuatan yang Aku lakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang Aku. Kamu tidak mahu percaya kerana kamu bukan domba-domba-Ku. Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku. Aku memberi mereka hidup sejati dan kekal, dan mereka tidak akan binasa. Tidak seorang pun dapat merampas mereka dari tangan-Ku. Apa yang diberikan oleh Bapa-Ku kepada-Ku lebih besar daripada segala-galanya. Tidak seorang pun dapat merampas mereka daripada tangan Bapa. Bapa dan Aku satu.” Kemudian orang Yahudi di situ memungut batu lagi untuk merejam Yesus. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Banyak perbuatan baik sudah Aku lakukan untuk kamu dengan kuasa Bapa-Ku. Perbuatan manakah yang menyebabkan kamu mahu merejam Aku?” Orang Yahudi di situ menjawab, “Kami mahu merejam kamu bukan kerana perbuatanmu yang baik, tetapi kerana kamu mengkufuri Allah! Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Allah!” Yesus berkata kepada mereka, “Tidakkah tertulis di dalam Taurat kamu: Allah berfirman, ‘Kamu ilahi’? Kita tahu bahawa apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku untuk selama-lamanya. Allah menyebut orang yang menerima firman-Nya sebagai ilahi. Aku ini dipilih dan diutus oleh Bapa ke dunia. Dapatkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku mengaku sebagai Anak Allah? Jika Aku tidak melakukan apa yang dikehendaki oleh Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.
YOHANES 10:25-37 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka sahut Isa kapada marika itu, Sudahlah aku katakan itu pada kamu, maka tiada juga kamu pŭrchaya; adapun sagala pŭrbuatan yang tŭlah kupŭrbuat dŭngan nama Ayahku, itulah juga mŭnjadi saksi deri halku. Tŭtapi kamu tiada pŭrchaya, sŭbab kamu ini bukannya deripada dombaku spŭrti yang kukatakan padamu. Adapun sagala domba itu mŭnurot tutorku, dan aku mŭngŭnal akan dia, dan iya mŭngikot akan daku. Dan aku mŭmbri kapadanya slamat yang kŭkal, dan skali kali tiada iya binasa slama lamanya, atau sa’orang pun tiada dapat mŭrampas deripada tanganku. Maka Ayahku yang tŭlah mŭmbri sagala domba itu padaku, iyalah lebih kuat deripada skalian, dan sa’orang pun tiada dapat mŭrampas dia deripada tangan Ayahku. Maka aku dan Ayah itu suatu juga. Maka orang Yahudi pun mŭngambil batu pula handak dirŭjamnya akan Isa. Maka sahut Isa kapadanya, Adalah bŭbrapa pŭkŭrjaan yang baik tŭlah kuadakan bagie kamu, iya itu deripada Ayahku; maka sŭbab pŭkŭrjaan yang manakah itu angkau handak rŭjamkan aku? Maka sahut orang Yahudi katanya, Adapun sŭbab pŭrbuatanmu yang baik itu tiadalah kami rŭjam akan dikau, tŭtapi sŭbab hujat, dan sŭbab angkau ini manusia juga, maka angkau jadikan dirimu Allah. Maka disahut Isa akan dia, Bahwa bukankah ada tŭrsŭbut dalam kitab Allah, katnya, Aku tŭlah bŭrsabda kamulah ganti Allah? Maka jikalau orang orang yang mŭnŭrima fŭrman Allah itu disŭbutkan marika itu ganti Allah, maka kitab itu tiada bulih disalahkan. Maka patutkah kamu bŭrkata kapada orang yang disuchikan Allah, dan disurohkannya datang kŭdalam dunia, bahwa angkau hujatkan, sŭbab aku tŭlah bŭrkata, aku Anak Allah? Maka jikalau aku tiada bŭrbuat pŭrbuatan Ayahku, janganlah kamu pŭrchaya akan daku.
YOHANES 10:25-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Yesus menjawab, “Aku sudah pun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan nama Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku. Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku. Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku. Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapa pun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa. Aku dan Bapa adalah satu.” Selepas itu, orang Yahudi yang hadir pun memungut batu sekali lagi untuk merejam Yesus. Tetapi Yesus berkata kepada mereka, “Aku telah banyak melakukan perbuatan baik yang diserahkan Bapa kepada-Ku. Perbuatan manakah yang mendorong kamu merejam-Ku?” Orang Yahudi itu menjawab, “Kami hendak merejam Kamu bukan kerana perbuatan-Mu yang baik, tetapi kerana Kamu mengkufuri Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!” Yesus berkata kepada mereka, “Tidakkah tersurat dalam hukum Taurat kamu: Allah berfirman, ‘Kamu ialah tuhan’? Jika Allah menyebut orang sebagai ‘ilahi’ kerana firman Allah datang kepada mereka, (apa yang tersurat dalam Kitab Suci tidak dapat dibatalkan) bagaimana dengan Dia yang telah disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa? Wajarkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku berkata, ‘Aku Anak Allah’? Andainya Aku tidak melakukan kehendak Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.