YOHANES 10:1-11
YOHANES 10:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Yesus berkata, “Apa yang Aku katakan ini benar: Seorang yang masuk ke kandang domba dengan memanjat tembok dan tidak melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak. Seorang yang masuk melalui pintu, dialah gembala kawanan domba. Penjaga kandang membuka pintu baginya, dan kawanan domba mendengar suara gembala yang memanggil nama setiap ekor domba. Lalu gembala itu memimpin kawanan domba ke luar. Setelah dia membawa kawanan domba itu ke luar, dia berjalan di hadapan dan domba-domba itu mengikuti dia kerana mengenal suaranya. Kawanan domba itu tidak akan mengikuti orang lain, bahkan akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu.” Yesus menceritakan perumpamaan ini, tetapi mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan-Nya. Oleh itu, Yesus berkata lagi, “Apa yang Aku katakan ini benar: Akulah pintu bagi kawanan domba. Semua yang datang sebelum Aku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mendengarkan suara mereka. Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui Aku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk dan menjumpai padang rumput. Pencuri datang hanya untuk mencuri, membunuh, dan merosak. Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan. Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya.
YOHANES 10:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA dŭngan sungguh sungguh aku bŭrkata padamu, bahwa orang yang tiada masok deri pintu kŭdalam kandang domba, mŭlainkan iya mŭmanjat masok deri tŭmpat yang lain, maka adalah iya itu pŭnchuri dan pŭnyamun. Tŭtapi adapun orang yang masok deri pintu, maka iya itulah gombala domba. Maka akan dibukakan ulih pŭnunggu pintu akan dia, maka domba itu pun akan mŭnŭngar swaranya, maka dipanggilnya akan domba itu masing masing dŭngan namanya, lalu dibawanya kluar. Maka apabila iya mŭngŭluarkan dombanya, maka iya bŭrjalan dahulu dihadapannya, maka dombanya itu mŭngikot dia, sŭbab iya mŭngŭnal swaranya. Maka tiada iya mŭngikot orang asing, mŭlainkan larilah iya deripadanya, sŭbab tiada dikŭnalnya akan swara orang orang asing. Adapun dikatakan ulih Isa pŭrumpamaan ini kapada orang orang itu, tŭtapi tiada marika itu mŭngarti pŭrkara yang dikatakan padanya. Sŭtlah itu maka bŭrkatalah Isa pula pada marika itu, Bahwa sŭsungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, akulah pintu pada domba itu. Adapun sagala orang yang datang dahulu deripadaku itu, iya itu pŭnchuri dan pŭnyamun, akan tŭtapi tiada diturot ulih domba domba itu akan tutor marika itu. Maka aku inilah pintu, jikalau barang sa’orang masok deripadaku, maka iya itu akan bŭrulih slamat, dan iya akan masok dan kluar, dan mŭndapat makanan. Maka tiada pŭnchuri itu datang, mŭlainkan iya handak mŭnchuri, dan mŭmbunoh, dan mŭmbinasakan; tŭtapi aku tŭlah datang, supaya marika itu bulih hidop, maka supaya iya mŭndapat itu dŭngan kŭlempahannya. Bahwa akulah gombala yang baik itu; adapun gombala yang baik itu mŭmbri jiwanya ganti domba itu.
YOHANES 10:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak. Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba. Penjaga kandang membuka pintu untuknya, dan kawanan domba itu mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar. Setelah semua domba keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutnya kerana mengenal suaranya. Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.” Yesus bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya. Oleh yang demikian, Yesus berkata, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu. Orang yang datang sebelum Aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka. Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput. Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah. Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawanya untuk kawanan dombanya.