YOHANES 1:29-34
YOHANES 1:29-34 Alkitab Berita Baik (BM)
Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia! Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan. Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.” Yohanes memberikan kesaksian ini, “Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, ‘Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah.’ Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya. Aku sudah nampak kejadian ini,” kata Yohanes, “dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.”
YOHANES 1:29-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
¶ Arkian maka pada kaesokkan harinya, dilihat Yahya akan Isa datang kapadanya, lalu kata Yahya, Tengoklah anak domba Allah yang mŭnanggong dosa isi dunia ini. Maka inilah dia yang tŭlah kukatakan, akan datang sa’orang kumdian deripadaku, yang tŭlah dilebihkan dia deri padaku, kŭrna iya itu tŭlah tŭrdahulu deripadaku. Maka tiada aku mŭngŭnal dia, tŭtapi supaya iya itu patut dinyatakan pada orang Israil, sŭbab itulah aku datang mŭmbaptisakan orang dŭngan ayer. Sŭbarmula maka bŭrsaksilah Yahya katanya, Bahwa aku tŭlah mŭlihat Roh itu turon deri langit spŭrti rupa mŭrpati lalu diam ka’atasnya. Maka tiada aku mŭngŭnal dia, tŭtapi yang mŭnyurohkan aku akan baptisakan dŭngan ayer, maka iyalah tŭlah bŭrkata padaku, adapun orang yang angkau lihat Roh itu turon diam ka’atasnya, maka iya itulah kŭlak yang mŭmbaptisakan orang dŭngan Roh Alkudus. Maka aku tŭlah mŭlihat itu, sŭrta bŭrsaksi inilah dia Anak Allah adanya.
YOHANES 1:29-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada keesokan harinya, Yohanes melihat Yesus berjalan ke arahnya lalu berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia! Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku. Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan membaptis orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.” Yohanes memberikan kesaksian: “Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya. Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk membaptis orang dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Kudus.’ Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Anak Allah.”