YOHANES 1:15-51

YOHANES 1:15-51 Alkitab Berita Baik (BM)

Yohanes memberikan kesaksian tentang Dia. Yohanes berseru, “Inilah Dia yang aku katakan akan datang kemudian daripadaku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan.” Dia penuh kasih; Dia terus-menerus memberkati kita semua. Allah memberikan Taurat melalui Musa, tetapi melalui Yesus Kristus, Allah menyatakan kasih-Nya dan kesetiaan-Nya kepada kita. Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Anak tunggal Bapa yang sama dengan Bapa dan di sisi Bapa, sudah menunjukkan Allah kepada kita. Para penguasa orang Yahudi di Yerusalem mengutus imam-imam dan beberapa orang Lewi kepada Yohanes untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku dengan terus terang, “Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah.” “Jika demikian, siapakah kamu?” tanya mereka. “Adakah kamu Elia?” “Bukan,” jawab Yohanes. “Adakah kamu Nabi itu?” tanya mereka lagi. “Bukan,” jawabnya. “Katakanlah siapa kamu ini,” kata mereka, “kerana kami mesti memberikan jawapan kepada mereka yang mengutus kami. Apa katamu tentang dirimu sendiri?” Yohanes menjawab dengan memetik ayat daripada Kitab Nabi Yesaya, “Aku ini: ‘Seorang yang berseru di padang gurun: Luruskanlah jalan bagi Tuhan!’ ” Mereka yang diutus oleh orang Farisi, kemudian bertanya kepada Yohanes, “Jika kamu bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, atau Elia, atau Nabi itu, mengapa kamu membaptis orang?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi Dia yang tidak kamu kenal ada di kalangan kamu. Dia datang kemudian daripadaku, tetapi aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini berlaku di Betania, di sebelah timur Sungai Yordan tempat Yohanes membaptis orang. Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia! Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan. Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.” Yohanes memberikan kesaksian ini, “Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, ‘Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah.’ Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya. Aku sudah nampak kejadian ini,” kata Yohanes, “dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.” Keesokan harinya Yohanes di tempat itu lagi dengan dua orang pengikutnya. Ketika dia nampak Yesus lalu di situ, dia berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah!” Kedua-dua orang pengikut itu mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikuti Yesus. Yesus berpaling dan nampak mereka sedang mengikuti Dia. Lalu Yesus bertanya, “Apa yang kamu cari?” Mereka menjawab, “Rabbi, di manakah rabbi tinggal?” (Dalam bahasa Ibrani ‘rabbi’ bermakna ‘guru.’) “Marilah lihat,” kata Yesus. (Masa itu kira-kira pukul empat petang.) Mereka pun mengikut Dia dan melihat tempat Yesus tinggal. Lalu mereka tinggal bersama-sama Dia pada hari itu. Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu pergi mengikut Yesus, ialah Andreas saudara Simon Petrus. Dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, “Kami sudah berjumpa dengan Mesias!” (‘Mesias’ sama dengan ‘Kristus’). Kemudian Andreas membawa Simon kepada Yesus. Yesus memandang dia lalu berkata, “Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan disebut Kefas.” (Kefas sama dengan Petrus dan bermakna: bukit batu.) Keesokan harinya Yesus mengambil keputusan untuk pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus, lalu berkata kepadanya, “Ikutlah Aku!” ( Filipus berasal dari Betsaida, kota tempat Andreas dan Petrus tinggal.) Kemudian Filipus mencari Natanael dan berkata kepadanya, “Kami sudah berjumpa dengan orang yang disebut oleh Musa di dalam Taurat, dan yang dituliskan oleh nabi-nabi. Dia Yesus anak Yusuf dari Nasaret.” Tetapi Natanael berkata, “Bolehkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?” “Marilah lihat,” jawab Filipus. Apabila Yesus nampak Natanael datang kepada-Nya, Dia berkata tentang Natanael, “Inilah orang Israel sejati; tiada kepalsuan padanya!” Natanael bertanya kepada Yesus, “Bagaimana tuan mengenal saya?” Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggil kamu, Aku telah nampak kamu di bawah pokok ara itu.” Natanael berkata, “Guru, Guru Anak Allah! Guru Raja bangsa Israel!” Yesus berkata pula, “Adakah kamu percaya kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat perkara-perkara yang jauh lebih besar daripada hal ini!” Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah, kamu akan melihat langit terbuka, dan malaikat-malaikat Allah naik turun pada Anak Manusia.”

YOHANES 1:15-51 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

¶ Shahadan maka Yahya pun bŭrsaksilah akan dia sambil bŭrsru sru katanya, Bahwasanya inilah dia yang tŭlah kukatakan; Adapun orang yang datang kumdian deripada aku ini maka iya itu dilebihkan deripada aku, kŭrna iyalah yang tŭrdahulu deripada aku. Maka deripada kŭlempahannya, kita skalian tŭlah mŭndapat anugrah atas anugrah. Kŭrna Tauret itu tŭlah dibri ulih Musa; tŭtapi anugrah dan kŭbŭnaran itu deripada Isa Almasih. Barang bila baik, sa’orang pun bŭlom pŭrnah mŭlihat akan Allah mŭlainkan Anak yang tunggal sahja yang dipangkuan Ayah itu, iyalah yang tŭlah mŭnyatakan dia. ¶ Bahwa inilah yang disaksikan ulih Yahya, apabila disuroh ulih orang Yahudi akan iman imam dan orang orang Liwi deri Jŭrusalem itu bŭrtanya kapadanya, Siapakah angkau? Maka mŭngakulah iya tiada dŭngan bŭrsangkal, hanya diakuinya, Bukannya aku ini Almasih. Maka bŭrtanya marika itu kapadanya, baiklah, siapa, angkaukah Illia? Maka jawabnya bukan; Angkaukah Nabi itu? Maka jawabnya bukan. Kumdian maka kata marika itu kapadanya, siapatah angkau, supaya kami bulih mŭmbri jawab akan orang orang yang mŭnyurohkan kami ini, apatah katamu derihal derimu ini? Maka bŭrkatalah iya, Bahwa aku inilah suara sa’orang yang bŭrsru dipadang bŭlantara katanya, Bŭtolkanlah jalan Tuhan spŭrti yang tŭlah dikatakan ulih nabi Jesia. Maka adapun orang orang yang disurohkan iya itu deripada orang Farisia. Maka bŭrtanyalah marika itu akan dia, Jikalau angkau bukan Almasih, atau bukan Ilia, atau bukan nabi itu, mŭngapakah angkau mŭmbaptisakan juga orang. Maka jawab Yahya pada marika itu katanya, Aku mŭmbaptisakan dŭngan ayer, tŭtapi ada diantaramu sa’orang yang tiada kamu kŭnal akan dia. Bahwa iya itulah dia yang datang kumdian deripada aku, tŭlah dilebihkan iya deripadaku, tiadalah bŭlom aku ini mŭnguriekan rtalit iyapanya. Maka sagala pŭrkara ini tŭlah mŭnjadi diBethabara aya itu disŭbrang sungie Jordan, ditŭmpat Yahya mŭmbaptisakan orang. ¶ Arkian maka pada kaesokkan harinya, dilihat Yahya akan Isa datang kapadanya, lalu kata Yahya, Tengoklah anak domba Allah yang mŭnanggong dosa isi dunia ini. Maka inilah dia yang tŭlah kukatakan, akan datang sa’orang kumdian deripadaku, yang tŭlah dilebihkan dia deri padaku, kŭrna iya itu tŭlah tŭrdahulu deripadaku. Maka tiada aku mŭngŭnal dia, tŭtapi supaya iya itu patut dinyatakan pada orang Israil, sŭbab itulah aku datang mŭmbaptisakan orang dŭngan ayer. Sŭbarmula maka bŭrsaksilah Yahya katanya, Bahwa aku tŭlah mŭlihat Roh itu turon deri langit spŭrti rupa mŭrpati lalu diam ka’atasnya. Maka tiada aku mŭngŭnal dia, tŭtapi yang mŭnyurohkan aku akan baptisakan dŭngan ayer, maka iyalah tŭlah bŭrkata padaku, adapun orang yang angkau lihat Roh itu turon diam ka’atasnya, maka iya itulah kŭlak yang mŭmbaptisakan orang dŭngan Roh Alkudus. Maka aku tŭlah mŭlihat itu, sŭrta bŭrsaksi inilah dia Anak Allah adanya. ¶ Klakian maka pada kaesokkan harinya, Yahya sŭrta dŭngan dua orang muridnya pun ada bŭrdiri: Sŭrta dilihatnya Isa bŭrjalan itu, katanya, Tengoklah anak domba Allah! Maka dŭmi didŭngar ulih kadua orang murid itu akan pŭrkataan itu, maka mŭngikotlah marika itu akan Isa. Maka bŭrpalinglah Isa apabila dilihatnya marika itu ada mŭngikot dia, maka katanya padanya, Apakah kamu chari? Maka mŭnyahutlah marika itu katanya, Ya Rabbi, (artinya Guru), dimanakah Tuan diam? Maka jawabnya, Marilah lihat. Lalu pŭrgilah marika itu mŭlihat tŭmpat Isa diam itu; maka tinggallah dia orang bŭrsama sama dŭngan dia pada hari itu, kŭrna waktu sudah sampie kira kira pukol ampat pŭtang. Maka adalah sa’orang deripada kadua marika itu yang mŭnŭugar pŭrkataan Yahya itu, dan yang mŭngikot akan Isa, iya itu Andria, saudaranya Simon Petros. Maka pada mula mulanya Andria itu pun pŭrgilah mŭndapatkan saudaranya Simon itu, sŭrta bŭrkata padanya, Kami sudah mŭndapat Messia, artinya, Almasih. Hata maka dibawalah ulih Andria akan Simon itu kapada Isa, maka apabila dilihat Isa akan dia, lalu katanya, Bahwa angkau ini Simon anak Yunas, maka angkaulah kŭlak akan dinamai Kiefas, adapun artinya itu batu. ¶ Sŭbarmula maka pada ka’esokkan harinya, maka Isa pun handak masok kanŭgri Galilia, lalu bŭrtŭmulah iya dŭngan Filipus, maka kata Isa padanya, Ikotlah akan daku. Adapun Filipus itu orang Bethsieda, iya itu sa’nŭgri dŭngan Andria dan Petros. Maka bŭrtŭmulah Filipus dŭngan Nathaniel, lalu bŭrkatalah iya padanya, Bahwa kami sudah mŭndapat orang yang tŭlah disuratkan ulih Musa dalam Tauret dan sagala nabi nabi pun, iya itulah Isa anak Yusof, orang Nazareth. Maka jawab Nathaniel bulihkah barang sŭsuatu pŭrkara yang baik itu kluar deri dalam Nazareth? Maka kata Pilipus padanya, marilah lihat. Sŭtlah dilihat Isa akan Nathaniel datang kapadanya itu maka bŭrkatalah iya, Lihatlah sa’orang orang Israil ini yang bŭtol maka tiada tipu daya padanya. Maka kata Nathniel padanya, Bagimana gŭrangannya angkau mŭngtahui aku; maka sahut Isa, Dahulu deripada dipanggil ulih Pilatus akan dikau, tŭtkala angkau lagi dibawah pohon ara itu, aku tŭlah mŭlihat angkau. Maka sahot Nathaniel katanya, Ya rabbi, angkaulah Anak Allah, dan angkaulah raja orang Israil. Maka bŭrkatalah Isa padanya, Pŭrchayalah angkau, sŭbab aku bŭrkata aku tŭlah mŭlihat angkau dibawah pohon ara itu? bahwa angkau kŭlak akan mŭlihat pŭrkara pŭrkara yang tŭrlebih bŭsar deripada itu. Dan lagi pula kata Isa padanya, sasungguh sungguhnya aku bŭrkata padamu, bahwa kumdian deripada ini angkau kŭlak akan mŭlihat langit tŭrbuka dan mŭliekat mŭliekat Allah naik turon kapada Anak manusia ini.

YOHANES 1:15-51 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yohanes memberikan kesaksian tentang-Nya. Dia berseru, “Inilah Dia yang kukatakan akan datang selepasku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku.” Daripada limpah kesempurnaan-Nya kita semua telah menerima kasih kurnia demi kasih kurnia; kerana hukum Taurat disampaikan melalui Musa, tetapi kasih kurnia dan kebenaran dinyatakan melalui Yesus Kristus. Tiada siapa pernah melihat Allah, melainkan Dia Yang Esa, yang ada di pangkuan Bapa, telah menyerlahkan-Nya. Inilah kesaksian Yohanes, apabila orang Yahudi di Yerusalem mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku, “Aku bukanlah Kristus.” Mereka bertanya, “Jadi, kamu ini siapa? Elia?” “Bukan,” jawabnya. “Adakah kamu Nabi?” Dia menjawab, “Bukan.” Kemudian mereka berkata, “Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?” Yohanes menjawab, “Aku ini satu suara yang berseru di gurun, ‘Luruskanlah jalan untuk Tuhan,’ sebagaimana kata Nabi Yesaya.” Antara orang yang diutus itu ada beberapa orang Farisi. Mereka terus menyoal, “Mengapakah kamu membaptis orang, kiranya kamu bukan Kristus, bukan Elia dan bukan pula Nabi?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air, tetapi dalam kalanganmu ada seorang yang tidak kamu kenali, iaitu Dia yang datang selepasku. Aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini terjadi di Betania, di seberang Sungai Yordan; di situlah Yohanes membaptis orang. Pada keesokan harinya, Yohanes melihat Yesus berjalan ke arahnya lalu berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia! Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku. Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan membaptis orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.” Yohanes memberikan kesaksian: “Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya. Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk membaptis orang dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Kudus.’ Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Anak Allah.” Pada hari yang berikut, Yohanes berada di situ lagi bersama dua orang muridnya. Dia melihat lagi Yesus lalu di tempat itu dan dia berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah!” Apabila dua orang murid Yohanes itu mendengar kata-kata demikian, mereka pun mengikut Yesus. Yesus menoleh dan melihat mereka mengikut-Nya lalu bertanya, “Apa hajatmu?” Mereka menjawab, “Rabbi (ertinya Guru), di manakah Engkau tinggal?” “Marilah lihat,” kata Yesus. Mereka terus mengikut-Nya dan melihat tempat tinggal-Nya. Waktu itu kira-kira jam kesepuluh. Mereka pun tinggal bersama Yesus pada hari itu. Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikut Yesus ialah Andreas, saudara Simon Petrus. Andreas segera mencari Simon, saudaranya, dan berkata, “Kami telah bertemu dengan Mesias!” (“Mesias” bererti Kristus.) Selepas itu, Andreas membawa Simon berjumpa dengan Yesus. Yesus memandang Simon lalu berkata, “Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan digelar Kefas.” (Kefas sama ertinya dengan Petrus.) Pada keesokan harinya, Yesus membuat keputusan hendak pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus dan berkata, “Ikutlah Aku.” Seperti Andreas dan Petrus, Filipus juga warga kota Betsaida. Filipus pula mendapatkan Natanael dan berkata, “Kami telah bertemu dengan orang yang disebut oleh Musa dalam kitab Taurat dan oleh nabi-nabi. Orang itu ialah Yesus anak Yusuf dari Nazaret.” Tetapi Natanael berkata, “Mungkinkah sesuatu yang baik datang dari Nazaret?” “Marilah lihat,” balas Filipus. Ketika Yesus melihat Natanael berjalan ke arah-Nya, Dia berkata, “Ini orang Israel tulen, tiada yang palsu pada dirinya.” Natanael bertanya, “Bagaimana Engkau mengenal aku?” Yesus menjawab, “Sebelum Filipus memanggilmu, Aku telah melihatmu di bawah pokok ara itu.” Natanael berseru, “Rabbi, Engkau Anak Allah! Engkau Raja bangsa Israel!” Yesus berkata, “Adakah kamu beriman kepada-Ku kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat hal-hal yang jauh lebih hebat daripada ini!” Yesus berkata kepadanya, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan melihat langit terbuka dan malaikat-malaikat Allah turun naik menemui Anak Manusia.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami