YOHANES 1:1-34
YOHANES 1:1-34 Alkitab Berita Baik (BM)
Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah. Sejak permulaan, Firman itu bersama-sama Allah. Allah menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia. Firman itu sumber hidup, dan hidup itu memberikan cahaya kepada manusia. Cahaya ini bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak dapat memadamkannya. Seorang bernama Yohanes diutus oleh Allah. Yohanes datang untuk memberitahu orang tentang cahaya itu, supaya semua orang mendengar dan percaya kepada perkhabarannya. Dia sendiri bukan cahaya itu; dia datang untuk mengkhabarkan cahaya itu. Inilah cahaya sejati, yang datang ke dunia untuk menerangi umat manusia. Firman itu ada di dunia. Walaupun Allah menjadikan dunia ini melalui Dia, orang di dunia ini tidak mengenal Dia. Dia datang ke negeri-Nya sendiri, tetapi bangsa-Nya tidak menyambut Dia. Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah. Mereka menjadi anak Allah bukan dengan jalan dilahirkan oleh manusia, tetapi Allah sendiri menjadikan mereka anak-anak-Nya. Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai anak tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita. Yohanes memberikan kesaksian tentang Dia. Yohanes berseru, “Inilah Dia yang aku katakan akan datang kemudian daripadaku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan.” Dia penuh kasih; Dia terus-menerus memberkati kita semua. Allah memberikan Taurat melalui Musa, tetapi melalui Yesus Kristus, Allah menyatakan kasih-Nya dan kesetiaan-Nya kepada kita. Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Anak tunggal Bapa yang sama dengan Bapa dan di sisi Bapa, sudah menunjukkan Allah kepada kita. Para penguasa orang Yahudi di Yerusalem mengutus imam-imam dan beberapa orang Lewi kepada Yohanes untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku dengan terus terang, “Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah.” “Jika demikian, siapakah kamu?” tanya mereka. “Adakah kamu Elia?” “Bukan,” jawab Yohanes. “Adakah kamu Nabi itu?” tanya mereka lagi. “Bukan,” jawabnya. “Katakanlah siapa kamu ini,” kata mereka, “kerana kami mesti memberikan jawapan kepada mereka yang mengutus kami. Apa katamu tentang dirimu sendiri?” Yohanes menjawab dengan memetik ayat daripada Kitab Nabi Yesaya, “Aku ini: ‘Seorang yang berseru di padang gurun: Luruskanlah jalan bagi Tuhan!’ ” Mereka yang diutus oleh orang Farisi, kemudian bertanya kepada Yohanes, “Jika kamu bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, atau Elia, atau Nabi itu, mengapa kamu membaptis orang?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi Dia yang tidak kamu kenal ada di kalangan kamu. Dia datang kemudian daripadaku, tetapi aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini berlaku di Betania, di sebelah timur Sungai Yordan tempat Yohanes membaptis orang. Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia! Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan. Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.” Yohanes memberikan kesaksian ini, “Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, ‘Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah.’ Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya. Aku sudah nampak kejadian ini,” kata Yohanes, “dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.”
YOHANES 1:1-34 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA bahwasanya adalah pada mula mulanya Kalimah itu, maka Kalimah itu bŭsŭrta dŭngan Allah, dan Kalimah itu Allah adanya. Adapun iya itulah pada mulanya pun bŭsŭrta dŭngan Allah. Maka sagala sŭsuatu tŭlah dijadikannya, maka dŭngan tiada iya suatu pŭrkara pun ta’jadi yang tŭlah jadi. Maka dalamnya itulah ada hidop, dan hidop itulah trang manusia adanya. Adapun trang itulah bŭrchahya chahya dalam gŭlap, tŭtapi gŭlap itu tiada mŭnŭrima akan dia. ¶ Sŭbarmula maka adalah sa’orang orang yang tŭlah disurohkan Allah, yang bŭrnama Yahya. Maka adalah iya itu datang sŭbab mŭnjadi saksi, maka iya handak mŭnjadi saksi akan trang itu, supaya sagala manusia bulih pŭrchaya ulih sŭbab dia. Bahwa bukannya dia itu sŭndiri trang itu, mŭlainkan iya disuroh supaya mŭnjadi saksi derihal trang itu adanya. Adapun iya itulah trang yang sŭbŭnarnya, yang tŭlah masok kadunia akan mŭnrangkan sagala manusia. Maka adalah iya itu dalam dunia juga, maka dunia ini tŭlah dijadikannya, tŭtapi orang dunia ini tiada mŭngŭnal akan dia. Maka adalah iya tŭlah datang kanŭgrinya sŭndiri, tŭtapi kaumnya sŭndiri itu tiada mŭnŭrima akan dia. Tŭtapi sŭbrapa orang yang tŭlah mŭnŭrima akan dia itu, sŭrta pŭrchaya pula akan namanya, maka dibrinya kwasa kapada marika itu akan mŭnjadi anak anak Allah. Maka iya itu dipranakkan bukannya deripada darah, atau deripada kahandak hawa nafsu, atau deripada kahandak manusia, mŭlainkan deripada Allah adanya. Maka adapun Kalimah itu tŭlah mŭnjadi manusia, sŭrta tinggal pula iya diantara kami, maka kita tŭlah mŭlihat kŭmuliannya, iya itu spŭrti kŭmulian Anak yang tunggal deripada Ayah itu, pŭnuhlah iya dŭngan anugrah dan kabŭnaran. ¶ Shahadan maka Yahya pun bŭrsaksilah akan dia sambil bŭrsru sru katanya, Bahwasanya inilah dia yang tŭlah kukatakan; Adapun orang yang datang kumdian deripada aku ini maka iya itu dilebihkan deripada aku, kŭrna iyalah yang tŭrdahulu deripada aku. Maka deripada kŭlempahannya, kita skalian tŭlah mŭndapat anugrah atas anugrah. Kŭrna Tauret itu tŭlah dibri ulih Musa; tŭtapi anugrah dan kŭbŭnaran itu deripada Isa Almasih. Barang bila baik, sa’orang pun bŭlom pŭrnah mŭlihat akan Allah mŭlainkan Anak yang tunggal sahja yang dipangkuan Ayah itu, iyalah yang tŭlah mŭnyatakan dia. ¶ Bahwa inilah yang disaksikan ulih Yahya, apabila disuroh ulih orang Yahudi akan iman imam dan orang orang Liwi deri Jŭrusalem itu bŭrtanya kapadanya, Siapakah angkau? Maka mŭngakulah iya tiada dŭngan bŭrsangkal, hanya diakuinya, Bukannya aku ini Almasih. Maka bŭrtanya marika itu kapadanya, baiklah, siapa, angkaukah Illia? Maka jawabnya bukan; Angkaukah Nabi itu? Maka jawabnya bukan. Kumdian maka kata marika itu kapadanya, siapatah angkau, supaya kami bulih mŭmbri jawab akan orang orang yang mŭnyurohkan kami ini, apatah katamu derihal derimu ini? Maka bŭrkatalah iya, Bahwa aku inilah suara sa’orang yang bŭrsru dipadang bŭlantara katanya, Bŭtolkanlah jalan Tuhan spŭrti yang tŭlah dikatakan ulih nabi Jesia. Maka adapun orang orang yang disurohkan iya itu deripada orang Farisia. Maka bŭrtanyalah marika itu akan dia, Jikalau angkau bukan Almasih, atau bukan Ilia, atau bukan nabi itu, mŭngapakah angkau mŭmbaptisakan juga orang. Maka jawab Yahya pada marika itu katanya, Aku mŭmbaptisakan dŭngan ayer, tŭtapi ada diantaramu sa’orang yang tiada kamu kŭnal akan dia. Bahwa iya itulah dia yang datang kumdian deripada aku, tŭlah dilebihkan iya deripadaku, tiadalah bŭlom aku ini mŭnguriekan rtalit iyapanya. Maka sagala pŭrkara ini tŭlah mŭnjadi diBethabara aya itu disŭbrang sungie Jordan, ditŭmpat Yahya mŭmbaptisakan orang. ¶ Arkian maka pada kaesokkan harinya, dilihat Yahya akan Isa datang kapadanya, lalu kata Yahya, Tengoklah anak domba Allah yang mŭnanggong dosa isi dunia ini. Maka inilah dia yang tŭlah kukatakan, akan datang sa’orang kumdian deripadaku, yang tŭlah dilebihkan dia deri padaku, kŭrna iya itu tŭlah tŭrdahulu deripadaku. Maka tiada aku mŭngŭnal dia, tŭtapi supaya iya itu patut dinyatakan pada orang Israil, sŭbab itulah aku datang mŭmbaptisakan orang dŭngan ayer. Sŭbarmula maka bŭrsaksilah Yahya katanya, Bahwa aku tŭlah mŭlihat Roh itu turon deri langit spŭrti rupa mŭrpati lalu diam ka’atasnya. Maka tiada aku mŭngŭnal dia, tŭtapi yang mŭnyurohkan aku akan baptisakan dŭngan ayer, maka iyalah tŭlah bŭrkata padaku, adapun orang yang angkau lihat Roh itu turon diam ka’atasnya, maka iya itulah kŭlak yang mŭmbaptisakan orang dŭngan Roh Alkudus. Maka aku tŭlah mŭlihat itu, sŭrta bŭrsaksi inilah dia Anak Allah adanya.
YOHANES 1:1-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Allah dan Firman itu ialah Allah. Dia bersama Allah pada permulaan. Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Daripada segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya. Hidup ada dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia. Dan cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya. Allah mengutus seorang bernama Yohanes. Dia datang untuk memberikan kesaksian tentang cahaya itu, supaya semua orang akan percaya melalui Dia. Dia sendiri bukanlah cahaya itu, dia datang untuk memberikan kesaksian tentang-Nya. Itulah cahaya benar yang menerangi setiap manusia, sedang mendatangi dunia. Dia berada di dunia, dan dunia telah dicipta melalui-Nya, namun manusia di dunia tidak mengenal-Nya. Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya. Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Allah kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya. Kelahiran mereka bukan melalui darah keturunan, atau kehendak manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Allah. Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran. Yohanes memberikan kesaksian tentang-Nya. Dia berseru, “Inilah Dia yang kukatakan akan datang selepasku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku.” Daripada limpah kesempurnaan-Nya kita semua telah menerima kasih kurnia demi kasih kurnia; kerana hukum Taurat disampaikan melalui Musa, tetapi kasih kurnia dan kebenaran dinyatakan melalui Yesus Kristus. Tiada siapa pernah melihat Allah, melainkan Dia Yang Esa, yang ada di pangkuan Bapa, telah menyerlahkan-Nya. Inilah kesaksian Yohanes, apabila orang Yahudi di Yerusalem mengutus para imam dan orang Lewi untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku, “Aku bukanlah Kristus.” Mereka bertanya, “Jadi, kamu ini siapa? Elia?” “Bukan,” jawabnya. “Adakah kamu Nabi?” Dia menjawab, “Bukan.” Kemudian mereka berkata, “Siapakah kamu? Katakanlah, supaya kami dapat menyampaikan jawapan kepada orang yang mengutus kami. Menurut katamu sendiri, kau ini siapa?” Yohanes menjawab, “Aku ini satu suara yang berseru di gurun, ‘Luruskanlah jalan untuk Tuhan,’ sebagaimana kata Nabi Yesaya.” Antara orang yang diutus itu ada beberapa orang Farisi. Mereka terus menyoal, “Mengapakah kamu membaptis orang, kiranya kamu bukan Kristus, bukan Elia dan bukan pula Nabi?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air, tetapi dalam kalanganmu ada seorang yang tidak kamu kenali, iaitu Dia yang datang selepasku. Aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini terjadi di Betania, di seberang Sungai Yordan; di situlah Yohanes membaptis orang. Pada keesokan harinya, Yohanes melihat Yesus berjalan ke arahnya lalu berseru, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapuskan dosa umat manusia! Dialah yang kukatakan akan datang selepasku tetapi lebih besar daripadaku kerana Dia telah ada sebelumku. Dahulu aku tidak mengenal Dia. Tetapi untuk itulah aku datang dan membaptis orang dengan air, supaya Dia dinyatakan kepada Israel.” Yohanes memberikan kesaksian: “Aku melihat Roh seperti burung merpati turun dari langit lalu hinggap di atas-Nya. Dahulu aku sendiri pun tidak mengenal-Nya, tetapi Dia yang mengutusku untuk membaptis orang dengan air telah berfirman kepadaku, ‘Engkau akan melihat Roh turun lalu hinggap di atas seorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Kudus.’ Hal itu telah kulihat sendiri, maka aku berkata kepadamu, Dialah Anak Allah.”