YEREMIA 4:1-4
YEREMIA 4:1-4 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Umat Israel, jika kamu mahu kembali, maka kembalilah kepada-Ku. Jika kamu setia kepada-Ku dan membuang berhala yang Aku benci, kamu boleh bersumpah demi nama-Ku. Kemudian semua bangsa akan meminta Aku memberkati mereka, dan mereka akan memuji Aku.” TUHAN berfirman kepada penduduk Yehuda dan Yerusalem, “Bajaklah tanah kamu yang belum dibajak; jangan tabur benih antara tumbuhan berduri. Peganglah perjanjian kamu dengan Aku, TUHAN kamu; khaskanlah diri kamu untuk Aku, hai penduduk Yehuda dan Yerusalem. Jika tidak, kemurkaan-Ku akan membakar seperti api yang tidak dapat dipadamkan oleh sesiapa pun, kerana segala perbuatan kamu yang jahat!”
YEREMIA 4:1-4 Alkitab Versi Borneo (AVB)
“Jika engkau mahu kembali, wahai Israel,” demikianlah firman TUHAN, “kembalilah kepada-Ku! Jika engkau mahu menyingkirkan berhala-berhalamu yang menjijikkan dari hadirat-Ku dan tidak lari lagi, jika engkau bersumpah, ‘Demi TUHAN yang hidup’ dalam kebenaran, keadilan dan ketulusan, maka bangsa-bangsa akan mendapat berkat kerana Dia dan akan bermegah kerana Dia.” Beginilah firman TUHAN kepada orang Yehuda dan kepada Yerusalem, “Bajaklah tanahmu yang kosong. Jangan menabur benih di tengah-tengah semak duri. Sunatkanlah dirimu bagi TUHAN dan buanglah kulit khatan hatimu, wahai orang Yehuda dan penduduk Yerusalem, supaya murka-Ku tidak memancar seperti api, dan menyala tanpa ada yang memadamkan, kerana segala perbuatanmu yang jahat.”