YEREMIA 32:6-15

YEREMIA 32:6-15 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN memberitahu aku bahawa Hanameel, anak lelaki bapa saudaraku Salum, akan datang kepadaku untuk minta supaya aku membeli tanahnya di Anatot, di wilayah Benyamin. Akulah sanaknya yang terdekat dan yang berhak membeli tanah itu. Tepat seperti yang telah difirmankan TUHAN, Hanameel datang kepadaku di halaman istana, dan minta supaya aku membeli tanahnya. Dengan itu yakinlah aku bahawa TUHAN benar-benar telah berfirman kepadaku. Aku membeli tanah itu daripada Hanameel dengan harga tujuh belas keping wang perak. Aku memanggil beberapa orang saksi dan di hadapan mereka, aku menandatangani dan memeteraikan surat pembelian tanah itu, lalu aku menimbang wang pembayarannya. Kemudian aku mengambil surat pembelian itu, yang telah dimeterai dan mengandungi syarat serta ketetapan, dan aku juga mengambil salinan surat yang tidak dimeterai. Aku memberikan kedua-dua helai surat itu kepada Barukh anak Neria, cucu Mahseya. Aku menyerahkannya di hadapan Hanameel serta saksi-saksi yang telah menandatangani surat-surat itu, dan di hadapan semua orang yang sedang duduk di halaman itu. Di hadapan mereka semua, aku berkata kepada Barukh, “TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, memerintahkan engkau mengambil kedua-dua helai surat ini, baik yang dimeterai mahupun yang tidak dimeterai. Masukkan kedua-dua helai surat itu ke dalam sebuah tempayan supaya tahan lama. TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman bahawa rumah, tanah, dan ladang anggur akan dibeli lagi di negeri ini.”

YEREMIA 32:6-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Yeremia berkata, “Firman TUHAN datang kepadaku demikian: Sesungguhnya, Hanameel, anak bapa saudaramu Salum, akan datang kepadamu dan berkata, ‘Belilah ladangku yang terletak di Anatot, kerana engkaulah yang mempunyai hak tebus untuk membelinya.’ Kemudian, selaras dengan firman TUHAN datanglah Hanameel, anak bapa saudaraku, menemui aku di pelataran penjagaan. Dia berkata kepadaku, ‘Belilah ladangku yang ada di Anatot, di Tanah Benyamin, kerana engkaulah yang mempunyai hak milik dan hak tebusnya. Belilah ladang itu bagimu sendiri.’ Maka tahulah aku bahawa itu ialah firman TUHAN. Lalu aku membeli ladang yang di Anatot itu daripada Hanameel, anak bapa saudaraku, dan menimbang wang untuknya sebanyak tujuh belas syikal perak. Aku menandatangani surat pembelian, memateraikannya, mendatangkan saksi-saksi, dan menimbang wang itu dengan neraca. Selanjutnya aku mengambil surat pembelian yang telah dimateraikan itu, yang berisi peraturan dan syarat bersertakan salinannya yang terbuka, lalu kuserahkan surat pembelian itu kepada Barukh anak Neria anak Mahseya di hadapan mata Hanameel, anak bapa saudaraku, di hadapan mata para saksi yang menandatangani surat pembelian itu, dan di hadapan mata semua orang Yehuda yang hadir di pelataran penjagaan itu. Di depan mata mereka aku memerintahkan Barukh, ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: Ambillah surat-surat ini, baik surat pembelian yang telah dimateraikan ini mahupun salinan yang terbuka ini. Taruhlah semua itu dalam bejana tanah supaya tahan lama. Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: Rumah, ladang, dan kebun anggur di negeri ini akan dibeli lagi.’