YEREMIA 32:36-41
YEREMIA 32:36-41 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadaku, “Hai Yeremia, bangsa Israel berkata bahawa peperangan, kebuluran, dan wabak akan menyebabkan kota ini jatuh ke dalam tangan raja Babilonia. Sekarang, dengarlah lagi firman-Ku. Aku akan mengumpulkan bangsa ini dari semua negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka kerana kemurkaan dan kegeraman-Ku terhadap mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tempat ini dan membolehkan mereka tinggal di sini dengan selamat. Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka. Aku akan memberi mereka satu tujuan hidup: untuk menghormati Aku sepanjang masa bagi kebaikan mereka sendiri dan keturunan mereka. Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka. Aku tidak akan berhenti berbuat baik untuk mereka. Aku akan menyebabkan mereka takut dan hormat kepada-Ku dengan sepenuh hati supaya mereka tidak meninggalkan Aku. Dengan senang hati Aku akan berbuat baik kepada mereka, dan Aku akan membuat mereka menetap di negeri ini selama-lamanya.
YEREMIA 32:36-41 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Maka sekarang, beginilah firman TUHAN, Allah Israel, mengenai kota yang kamu katakan telah diserahkan ke dalam tangan raja Babel melalui pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit: Sesungguhnya, Aku akan mengumpulkan mereka dari segala negeri tempat Aku menghalau mereka dalam murka-Ku, kegusaran-Ku, dan amarah-Ku yang besar. Aku akan mengembalikan mereka ke tempat ini dan membuat mereka tinggal dengan aman. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allah mereka. Aku akan mengurniakan kepada mereka satu hati dan satu jalan hidup sehingga mereka bertakwa kepada-Ku sepanjang masa demi kebaikan mereka dan keturunan mereka kelak. Aku akan mengikat perjanjian yang kekal dengan mereka, bahawa Aku tidak akan berhenti berbuat baik kepada mereka. Aku akan menaruh dalam hati mereka ketakwaan kepada-Ku supaya mereka tidak menjauh daripada-Ku. Aku akan berasa girang berbuat baik kepada mereka dan Aku akan menempatkan mereka di negeri ini dengan kesetiaan, dengan segenap hati-Ku dan dengan segenap jiwa-Ku.