YEREMIA 29:8-14
YEREMIA 29:8-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku TUHAN, Allah Israel, memberikan amaran kepada kamu supaya tidak membiarkan diri ditipu oleh nabi-nabi yang tinggal di tengah-tengah kamu atau oleh sesiapa pun yang berkata bahawa mereka dapat meramalkan masa depan. Jangan pedulikan mimpi mereka. Mereka menggunakan nama-Ku ketika berdusta kepada kamu. Aku tidak menyuruh mereka. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa telah berfirman.’ TUHAN berfirman, ‘Apabila genap masa tujuh puluh tahun bagi Babilonia, Aku akan memperhatikan kamu lagi dan menepati janji-Ku untuk membawa kamu pulang. Aku sendiri tahu akan rancangan-Ku untuk kamu. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kemakmuran kamu dan untuk memberikan masa depan yang kamu harap-harapkan. Barulah kamu akan berseru kepada-Ku. Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan menjawab doa kamu. Kamu akan mencari Aku dan kamu akan menemui Aku, kerana kamu mencari Aku dengan sepenuh hati. Sesungguhnya, kamu akan menemui Aku. Aku akan mengembalikan kamu ke tanah kamu. Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan dari setiap tempat Aku mencerai-beraikan kamu. Aku akan membawa kamu pulang ke negeri asal kamu. Aku, TUHAN, telah berfirman.’
YEREMIA 29:8-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, ‘Jangan tertipu oleh para nabi yang ada di tengah-tengahmu dan oleh penenungmu. Jangan dengarkan mimpi-mimpi yang dimimpikan mereka. Mereka menyampaikan nubuat dusta kepadamu atas nama-Ku. Aku tidak mengutus mereka,’ demikianlah firman TUHAN. Beginilah firman TUHAN, ‘Apabila telah genap tujuh puluh tahun bagi Babel, barulah Aku melawat kamu. Aku akan menepati janji-Ku yang baik itu kepadamu dengan mengembalikan kamu ke tempat ini. Aku tahu rancangan-rancangan yang Kubuat bagi kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘iaitu rancangan kesejahteraan, bukan malapetaka, untuk mengurniakan kepada kamu masa depan dan harapan. Kamu akan berseru kepada-Ku, datang dan berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mendengar kamu. Kamu akan mencari hadirat-Ku dan menemukan Aku apabila kamu mencari Aku dengan segenap hatimu. Aku akan kamu temui,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Aku akan memulihkan keadaanmu. Aku akan mengumpulkan kamu daripada segala bangsa dan dari segala tempat Aku menghalau kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘dan Aku akan mengembalikan kamu ke tempat sebelum Aku membuang kamu.’