YEREMIA 29:11-18
YEREMIA 29:11-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku sendiri tahu akan rancangan-Ku untuk kamu. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kemakmuran kamu dan untuk memberikan masa depan yang kamu harap-harapkan. Barulah kamu akan berseru kepada-Ku. Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan menjawab doa kamu. Kamu akan mencari Aku dan kamu akan menemui Aku, kerana kamu mencari Aku dengan sepenuh hati. Sesungguhnya, kamu akan menemui Aku. Aku akan mengembalikan kamu ke tanah kamu. Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan dari setiap tempat Aku mencerai-beraikan kamu. Aku akan membawa kamu pulang ke negeri asal kamu. Aku, TUHAN, telah berfirman.’ Kamu berkata bahawa TUHAN telah memberi kamu nabi-nabi di Babilonia. Dengarlah apa yang difirmankan TUHAN tentang raja yang memerintah negeri yang diperintah oleh Daud dahulu, dan tentang penduduk kota ini, iaitu sanak saudara kamu yang tidak dibawa ke pembuangan bersama-sama kamu. TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, ‘Aku akan mendatangkan peperangan, kebuluran, dan wabak penyakit kepada mereka. Aku akan memperlakukan mereka seperti buah ara yang terlalu busuk sehingga tidak dapat dimakan. Aku akan mengejar mereka dengan peperangan, kebuluran, dan wabak sehingga semua bangsa di seluruh dunia ngeri melihat keadaan mereka. Di mana-mana Aku mencerai-beraikan mereka, orang akan ngeri dan takut melihat apa yang telah berlaku kepada mereka. Mereka akan diejek, dan nama mereka digunakan sebagai kutuk.
YEREMIA 29:11-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku tahu rancangan-rancangan yang Kubuat bagi kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘iaitu rancangan kesejahteraan, bukan malapetaka, untuk mengurniakan kepada kamu masa depan dan harapan. Kamu akan berseru kepada-Ku, datang dan berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mendengar kamu. Kamu akan mencari hadirat-Ku dan menemukan Aku apabila kamu mencari Aku dengan segenap hatimu. Aku akan kamu temui,’ demikianlah firman TUHAN. ‘Aku akan memulihkan keadaanmu. Aku akan mengumpulkan kamu daripada segala bangsa dan dari segala tempat Aku menghalau kamu,’ demikianlah firman TUHAN, ‘dan Aku akan mengembalikan kamu ke tempat sebelum Aku membuang kamu.’ Kamu berkata, ‘TUHAN telah membangkitkan bagi kita beberapa orang nabi di Babel.’ Tetapi beginilah firman TUHAN mengenai raja yang duduk di atas takhta Daud dan mengenai seluruh rakyat yang tinggal di kota ini, iaitu saudara-saudaramu yang tidak diangkut bersama-sama kamu ke tempat pembuangan. Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit kepada mereka. Aku akan menjadikan mereka seperti buah ara busuk, yang tidak dapat dimakan kerana buruknya. Aku akan mengejar mereka dengan pedang, bencana kebuluran, dan wabak penyakit. Akan Kubuat mereka menjadi kengerian bagi segala kerajaan di bumi, menjadi kutukan, kengerian, cemuhan, dan celaan dalam kalangan bangsa tempat Aku menghalau mereka