YEREMIA 29:1-7
YEREMIA 29:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku menulis surat kepada para imam, nabi, pemimpin bangsa, dan kepada semua orang lain di Yerusalem yang telah ditawan oleh Raja Nebukadnezar dan dibawa ke Babilonia. Aku menulis surat itu setelah Raja Yoyakhin, bonda baginda, para pegawai istana, para pemimpin orang Yehuda dan Yerusalem, para tukang, dan pekerja mahir dibawa ke pembuangan. Aku memberikan surat itu kepada Elasa anak Safan dan Gemarya anak Hilkia, yang diutus oleh Raja Zedekia dari Yehuda, kepada Raja Nebukadnezar dari Babilonia. Surat itu berbunyi, “Demikianlah firman TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, kepada semua orang yang telah dibiarkan-Nya ditawan oleh Raja Nebukadnezar, lalu dibawa dari Yerusalem ke Babilonia: ‘Menetaplah di situ. Dirikanlah rumah kamu. Bukalah ladang dan nikmatilah hasilnya. Berkahwinlah supaya kamu mendapat anak, dan biarlah anak kamu juga berkahwin supaya mereka pun mendapat anak. Jumlah kamu mesti bertambah dan tidak boleh berkurang. Bekerjalah untuk kemakmuran kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada-Ku untuk kepentingan kota itu, kerana jika kota itu makmur, kamu pun akan makmur.
YEREMIA 29:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah isi surat yang dikirim Nabi Yeremia dari Yerusalem kepada saki-baki tua-tua antara orang buangan, kepada imam, nabi, dan seluruh rakyat yang dibuang oleh Nebukadnezar dari Yerusalem ke Babel. Hal itu terjadi setelah Raja Yekhonya, bonda permaisuri, pegawai istana, pembesar Yehuda dan Yerusalem, tukang dan pandai besi keluar dari Yerusalem. Surat itu dikirim dengan perantaraan Elasa anak Safan dan Gemarya anak Hilkia yang diutus ke Babel oleh Zedekia, raja Yehuda, kepada Nebukadnezar, raja Babel. Bunyinya: “Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, kepada semua orang buangan yang Kubuang dari Yerusalem ke Babel, ‘Binalah rumah dan hunilah. Tanamlah kebun dan makanlah hasilnya. Bernikahlah dan milikilah anak lelaki serta perempuan. Lamarlah isteri bagi anak-anak lelakimu dan carilah suami bagi anak-anak perempuanmu, supaya mereka memiliki anak lelaki serta perempuan. Biarlah bertambah ramai jumlahmu di sana, jangan berkurang. Ikhtiarkanlah kesejahteraan kota tempat Aku membuang kamu. Berdoalah kepada TUHAN untuk kota itu, kerana kesejahteraannya ialah kesejahteraanmu.’