YEREMIA 26:12-15,20-24
YEREMIA 26:12-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian aku berkata, “TUHAN telah menyuruh aku mengisytiharkan segala perkhabaran yang menentang Rumah TUHAN dan kota ini seperti yang telah kamu dengar. Oleh itu kamu harus mengubah cara hidup dan perbuatan kamu; taatilah TUHAN, Allah kamu, supaya Dia membatalkan rancangan-Nya untuk menimpakan bencana atas kamu. Bagi diriku, aku dalam kuasa kamu! Lakukanlah apa sahaja yang adil dan benar menurut pendapat kamu. Tetapi ingatlah, jika kamu membunuh aku, kamu dan penduduk kota ini berdosa kerana membunuh orang yang tidak bersalah. TUHAN yang mengutus aku untuk memberikan amaran itu kepada kamu.”
YEREMIA 26:20-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Seorang lelaki lain yang bernama Uria anak Semaya dari Kiryat-Yearim, juga pernah berucap demi nama TUHAN untuk menentang kota dan bangsa ini, seperti yang dilakukan oleh Yeremia. Ketika Raja Yoyakim bersama dengan askar-askar dan para pegawainya mendengar ucapan Uria itu, raja berusaha untuk membunuh dia. Tetapi Uria mendengar hal itu, lalu dia lari ketakutan dan pergi ke Mesir. Tetapi Raja Yoyakim menyuruh Elnatan anak Akhbor bersama dengan beberapa orang lain pergi ke Mesir untuk menangkap Uria. Mereka membawa dia kembali kepada Raja Yoyakim. Kemudian raja menyuruh orang membunuh dia, lalu mayatnya dibuang di tanah perkuburan orang awam. Tetapi aku mendapat pertolongan Ahikam anak Safan, oleh itu aku tidak diserahkan kepada rakyat untuk dibunuh.
YEREMIA 26:12-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tetapi Yeremia berkata kepada para pembesar dan kepada seluruh rakyat, “TUHAN telah mengutus aku untuk menubuatkan segala firman menentang Bait dan kota ini, seperti yang telah kamu dengar. Sekarang perbaiklah perilakumu dan perbuatanmu serta patuhilah TUHAN, Allahmu. Dengan demikian TUHAN akan menarik kembali malapetaka yang telah diancamkan-Nya atas kamu. Mengenai aku, sesungguhnya, aku ada dalam tanganmu. Lakukanlah apa yang baik dan tepat menurut pandanganmu terhadap aku. Hanya, ingatlah baik-baik bahawa jika kamu membunuh aku, maka kamu menanggungkan darah orang yang tidak bersalah atas dirimu sendiri, atas kota ini, dan atas penduduknya, kerana TUHAN benar-benar mengutus aku untuk menyampaikan segala firman ini kepadamu.”
Yeremia 26:20-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ada juga orang lain yang bernubuat atas nama TUHAN, iaitu Uria anak Semaya dari Kiryat-Yearim. Dia bernubuat menentang kota serta negeri ini sama seperti yang dikatakan Yeremia. Ketika Raja Yoyakim berserta semua kesateria dan pembesarnya mendengar perkataannya, raja berusaha membunuh dia. Apabila mendengar hal itu, Uria menjadi takut. Dia pun melarikan diri ke Mesir. Lalu Raja Yoyakim mengutus Elnatan anak Akhbor berserta beberapa orang ke Mesir. Mereka membawa Uria dari Mesir dan menghadapkannya kepada Raja Yoyakim. Lalu raja membunuh dia dengan pedang dan mencampakkan mayatnya ke perkuburan rakyat jelata. Akan tetapi, Ahikam anak Safan melindungi Yeremia sehingga dia tidak diserahkan ke dalam tangan rakyat untuk dibunuh.