YEREMIA 2:1-37

YEREMIA 2:1-37 Alkitab Berita Baik (BM)

TUHAN menyuruh aku mengisytiharkan perkhabaran ini kepada semua orang di Yerusalem, “Hai Israel, Aku ingat betapa setianya engkau pada masa engkau masih muda, dan betapa besarnya cintamu kepada-Ku ketika engkau menjadi pengantin dahulu. Engkau mengikut Aku melalui gurun, melintasi tanah yang belum ditanami. Hai Israel, engkau milik-Ku sendiri, engkau milik-Ku yang khas. Aku mendatangkan penderitaan dan bencana kepada semua orang yang mencederakan engkau. Aku, TUHAN telah berfirman.” Dengarlah perkhabaran TUHAN, hai keturunan Yakub, suku-suku Israel. TUHAN berfirman, “Apakah tuduhan nenek moyang kamu terhadap Aku? Mengapa mereka berpaling daripada-Ku? Mereka menyembah berhala-berhala yang sia-sia, sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna. Mereka tidak mempedulikan Aku, walaupun Aku menyelamatkan mereka dari Mesir dan memimpin mereka melintasi gurun: tanah tandus dan bukit pasir, tanah kering dan berbahaya, tanah yang tidak didiami dan tidak dilalui orang. Aku membawa mereka ke tanah yang subur untuk menikmati hasilnya dan segala yang baik. Tetapi mereka merosakkan tanah-Ku; mereka menajiskan negeri yang Aku berikan kepada mereka. Para imam tidak bertanya, ‘Di manakah TUHAN?’ Para imam-Ku pun tidak tahu siapa Aku. Para penguasa memberontak terhadap Aku; para nabi berucap demi nama Baal dan menyembah berhala yang sia-sia.” TUHAN berfirman, “Oleh itu Aku akan membentangkan perkara-Ku lagi terhadap umat-Ku. Aku akan mengemukakan tuduhan terhadap keturunan mereka. Pergilah ke pulau Siprus di sebelah barat, suruhlah orang pergi ke timur, ke tanah Kedar. Engkau akan melihat bahawa hal seperti ini tidak pernah berlaku. Tiada bangsa mana pun yang pernah menggantikan tuhannya, walaupun tuhan-tuhan itu bukan Allah sebenarnya. Tetapi umat-Ku telah menggantikan Aku, Allah yang telah memberikan mereka kedudukan yang mulia, dengan sesuatu yang tidak dapat melakukan apa-apa. Oleh itu Aku memerintahkan langit bergoncang kerana ngeri, hairan dan terperanjat, kerana umat-Ku telah melakukan dua dosa: mereka meninggalkan Aku, sumber air pemberi hidup kepada manusia, dan mereka menggali kolam yang bocor dan tidak dapat menampung air.” “Israel bukan hamba; dia tidak dilahirkan sebagai hamba. Tetapi mengapa dia diburu oleh musuhnya? Musuhnya mengaum seperti singa terhadapnya, dan menjadikan tanahnya tandus dan sunyi; kota-kotanya tinggal runtuhan, dan tidak berpenghuni. Orang Memfis dan Tahpanhes telah meremukkan tengkoraknya. Hai Israel, engkau sendiri menyebabkan hal ini berlaku kepadamu. Engkau meninggalkan Aku, TUHAN Allahmu, semasa Aku memimpin engkau dalam perjalananmu. Apakah keuntungannya engkau pergi ke Mesir dan meminum air Sungai Nil? Apakah keuntungannya engkau pergi ke Asyur dan meminum air Sungai Efrat? Kejahatanmu sendiri akan menghukum dirimu; engkau terseksa kerana meninggalkan Aku. Engkau akan insaf betapa pahitnya dan salahnya meninggalkan Aku, TUHAN, Allahmu, dan tidak lagi setia kepada-Ku. Aku, TUHAN Raja Yang Maha Kuasa telah berfirman.” TUHAN Raja berfirman, “Hai Israel, dari dahulu engkau tidak mahu mengabdi kepada-Ku; engkau tidak mahu mentaati Aku ataupun menyembah Aku. Di atas setiap bukit yang tinggi dan di bawah setiap pokok hijau, engkau menyembah dewa-dewa kesuburan. Aku menanam engkau seperti pokok anggur pilihan daripada benih yang terbaik. Tetapi lihatlah, engkau sudah berubah! Engkau menjadi seperti pokok anggur liar yang tidak berguna. Walaupun engkau mandi dengan menggunakan banyak sabun yang kuat, namun Aku masih nampak noda kesalahanmu. Bagaimanakah engkau dapat berkata bahawa engkau tidak menajiskan dirimu, dan bahawa engkau tidak pernah menyembah Baal? Lihatlah perbuatanmu di lembah; engkau telah berdosa di sana. Engkau umpama unta liar yang berahi, yang berlari kian ke mari, tidak terkendali, lalu berlari ke gurun yang sunyi. Unta betina tidak dapat dikawal ketika sedang berahi. Unta jantan yang mengingininya tidak perlu mencari-cari; pada musim mengawan unta betina selalu ditemui. Hai Israel, jangan mengejar dewa-dewa, nanti kakimu cedera, dan kerongkongmu kering. Tetapi engkau berkata, ‘Tidak, aku tidak dapat kembali. Aku mencintai dewa-dewa dan aku mahu mengikuti dewa-dewa itu.’ ” TUHAN berfirman, “Sebagaimana pencuri dipermalukan ketika tertangkap, demikian juga semua orang Israel akan dipermalukan, termasuk raja-raja dan para pegawai kamu, para imam dan nabi kamu. Kamu semua akan dipermalukan. Kamu yang menyebut sebatang pokok sebagai bapa kamu dan sebuah bukit batu sebagai ibu kamu. Hal ini akan berlaku kerana kamu meninggalkan Aku dan tidak datang kepada-Ku. Tetapi apabila kamu dalam kesusahan, kamu memanggil Aku untuk datang menyelamatkan kamu. Di manakah patung-patung dewa yang kamu buat itu? Apabila kamu dalam kesusahan, mintalah dewa-dewa itu menyelamatkan kamu, jika dewa-dewa itu benar-benar sanggup! Hai Yehuda, dewa kamu sebanyak kota kamu! Apakah sungutan kamu? Mengapakah kamu melawan Aku? Sia-sia sahaja Aku menghukum kamu, kerana kamu tidak mahu menerima pengajaran-Ku. Seperti singa yang sedang mengamuk, demikianlah kamu membunuh para nabi kamu. Hai umat Israel, dengarlah akan firman-Ku ini. Pernahkah Aku seperti gurun bagi kamu atau seperti tanah yang gelap dan berbahaya? Tetapi mengapakah kamu berkata bahawa kamu mahu ikut kehendak sendiri, dan tidak mahu kembali kepada-Ku lagi? Adakah gadis yang lupa akan perhiasannya, atau pengantin perempuan yang lupa akan baju pengantinnya? Tetapi umat-Ku telah lupa akan Aku lama sekali - jumlah harinya tidak terhitung lagi. Kamu sangat pandai mencari jalan untuk memikat hati kekasih. Perempuan yang paling jahat pun masih dapat belajar kejahatan daripada kamu! Pakaian kamu dinodai darah orang miskin dan orang yang tidak bersalah, bukan darah pencuri yang tertangkap. Namun demikian, kamu masih berkata, ‘Aku tidak bersalah; tentu TUHAN tidak murka lagi kepadaku.’ Tetapi Aku, TUHAN akan menghukum kamu kerana kamu tidak mahu mengakui dosa kamu. Kamu telah merendahkan harga diri kerana pergi kepada dewa-dewa bangsa lain. Kamu akan dikecewakan oleh Mesir, sebagaimana kamu dikecewakan oleh Asyur. Kamu akan meninggalkan Mesir dengan kepala tertunduk kerana kecewa dan malu. Aku, TUHAN, telah menolak mereka yang kamu harapkan; kamu tidak akan mendapat keuntungan apa-apa daripada mereka.”

YEREMIA 2:1-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Firman TUHAN datang kepadaku demikian, “Pergilah dan berserulah kepada penduduk Yerusalem: Beginilah firman TUHAN, ‘Aku teringat kasih sayangmu pada masa mudamu, cintamu ketika engkau menjadi pengantin, bagaimana engkau mengikuti Aku di gurun, di tanah yang tidak ditaburi benih. Waktu itu Israel suci bagi TUHAN, buah pertama daripada hasil tanah-Nya. Semua yang memakannya dipandang bersalah, malapetaka menimpa mereka,’ ” demikianlah firman TUHAN. Dengarlah firman TUHAN, wahai keturunan kaum Yakub, wahai seluruh kaum keluarga keturunan kaum Israel. Beginilah firman TUHAN, “Kesalahan apakah yang didapati nenek moyangmu dalam diri-Ku sehingga mereka menjauh diri daripada-Ku? Mereka mengikuti kesia-siaan, dan menjadi sia-sia. Mereka tidak bertanya, ‘Di manakah TUHAN, yang menuntun kita keluar dari Tanah Mesir, yang membimbing kita di tanah tandus, di tanah gurun dan tanah lekak-lekuk, di tanah gersang dan tanah bayang-bayang maut, di tanah yang tidak dilintasi dan tidak dihuni orang?’ Aku telah membawa kamu ke tanah yang subur supaya kamu menikmati buahnya dan kemakmurannya. Tetapi sesudah kamu masuk, kamu menajiskan tanah-Ku, harta pusaka-Ku kamu jadikan suatu kekejian. Para imam tidak bertanya, ‘Di manakah TUHAN?’ Orang yang memegang hukum Taurat tidak mengenal Aku, dan para gembala umat memberontak terhadap Aku. Para nabi bernubuat atas nama Baal dan mengikuti apa yang tidak memberikan faedah. Oleh sebab itu Aku akan berperkara lagi dengan kamu,” demikianlah firman TUHAN, “dan dengan anak cucumu pun Aku akan berperkara. Menyeberanglah ke pesisir orang Siprus dan lihatlah, utuslah orang ke Kedar dan perhatikanlah baik-baik! Lihatlah kalau-kalau ada hal semacam ini: Adakah bangsa yang menukar tuhan mereka, sungguhpun tuhan-tuhan itu sebenarnya bukan Tuhan? Namun demikian, umat-Ku menukar Dia yang menjadi kemuliaan mereka dengan apa yang tidak memberikan faedah. Tercenganglah akan hal itu, wahai langit, rasa ngerilah, sangat terkejutlah!” demikianlah firman TUHAN. “Umat-Ku telah melakukan dua kejahatan: mereka meninggalkan Aku, mata air yang hidup, dan menggali perigi mereka sendiri, iaitu perigi bocor, yang tidak dapat memuat air. Adakah Israel itu hamba? Adakah dia anak orang gaji? Mengapa pula dia menjadi rampasan? Singa-singa muda mengaum dan melaung terhadapnya. Negerinya dijadikan tandus, kota-kotanya terbakar, tidak berpenduduk lagi. Bahkan bani Memfis dan Tahpanhes mencukur ubun-ubunmu. Bukankah engkau menimpakan hal ini kepada dirimu sendiri dengan meninggalkan TUHAN, Allahmu, pada waktu Dia menuntun engkau di jalan? Sekarang, apakah urusanmu berjalan ke Mesir? Hendak meminum air Sikhor? Apakah urusanmu berjalan ke Asyur? Hendak meminum air Sungai Efrat? Engkau akan diajar oleh kejahatanmu sendiri, engkau akan ditegur oleh kemurtadanmu. Sedarlah dan lihatlah, betapa buruk dan getirnya ketika engkau meninggalkan TUHAN, Allahmu, dan ketika rasa takut kepada-Ku tidak ada lagi padamu,” demikianlah firman Tuhan, ALLAH alam semesta. “Sejak dahulukala engkau telah mematahkan kukmu dan memutuskan tali pengikatmu. Tetapi engkau berkata, ‘Aku tidak mahu menjadi hamba.’ Sesungguhnya, di atas setiap bukit yang tinggi dan di bawah setiap pokok yang rimbun engkau berbaring sebagai perempuan sundal. Aku telah menanam engkau sebagai pokok anggur pilihan daripada benih yang baik sepenuhnya. Bagaimana mungkin engkau berubah menjadi pokok anggur liar yang busuk? Sekalipun engkau mencuci dirimu dengan garam abu dan memakai banyak sabun, noda kesalahanmu tetap ada di hadapan-Ku,” demikianlah firman Tuhan ALLAH. “Bagaimanakah mungkin engkau berkata, ‘Aku tidak najis. Aku tidak mengikuti para Baal’? Lihatlah perilakumu di lembah, sedarilah apa yang telah kaulakukan. Engkau seperti unta betina tangkas yang berlari ke sana ke mari di jalannya sendiri, dan seperti keldai liar yang terbiasa hidup di gurun, yang menghirup udara sesuka hatinya. Siapakah yang dapat menahan nafsunya untuk mengawan? Semua yang mencarinya tidak perlu berlelah-lelah, mereka akan menemuinya pada bulan musim mengawan. Jagalah supaya kasut tidak tanggal daripada kakimu dan kerongkongmu tidak dahaga! Tetapi engkau berkata, ‘Tiada harapan lagi! Tidak mungkin! Aku mencintai orang asing dan aku mahu mengikuti mereka.’ Seperti pencuri berasa malu apabila tertangkap, demikianlah keturunan kaum Israel berasa malu — mereka, raja mereka, pembesar mereka, imam mereka, dan nabi mereka, yang berkata kepada kayu, ‘Engkaulah bapaku!’ dan kepada batu, ‘Engkaulah yang melahirkan aku!’ Mereka menghadapkan punggung mereka kepada-Ku, bukan muka mereka, tetapi pada waktu kesusahan mereka berkata, ‘Segeralah selamatkan kami!’ Di manakah tuhan-tuhanmu yang kaubuat untuk dirimu? Biarlah mereka bangkit jika mereka dapat menyelamatkan engkau pada waktu kesusahanmu! Sebanyak jumlah kotamu, demikianlah banyaknya tuhanmu, wahai Yehuda! Mengapakah kamu hendak menentang Aku? Kamu semua telah menderhaka terhadap Aku,” demikianlah firman TUHAN. “Sia-sia sahaja Aku menghukum anak-anakmu, mereka tidak mahu menerima pengajaran. Pedangmu sendiri telah memakan habis para nabimu, seperti singa yang membinasakan. Wahai kamu, angkatan yang terkini, perhatikanlah firman TUHAN: Adakah Aku telah menjadi gurun bagi Israel atau tanah yang gelap gelita? Mengapa umat-Ku berkata, ‘Kami sudah bebas. Kami tidak mahu datang kepada-Mu lagi’? Dapatkah seorang dara melupakan perhiasannya, atau seorang pengantin perempuan melupakan baju pengantinnya? Namun demikian, umat-Ku melupakan Aku selama waktu yang tidak terhitung jumlahnya. Betapa pintar caramu mencari cinta! Oleh sebab itu, perempuan jahat pun belajar daripada caramu. Apatah lagi pada jubahmu didapati darah orang sesak yang tidak bersalah, yang tidak kauketahui sedang mencuri. Sekalipun semua ini nyata, engkau berkata, ‘Aku tidak bersalah! Pastilah murka-Nya telah surut daripadaku.’ Ketahuilah, Aku akan mengadili engkau kerana engkau berkata, ‘Aku tidak berdosa.’ Mengapa begitu mudah engkau pergi, mengubah-ubah jalanmu? Engkau akan malu kerana Mesir juga, sebagaimana engkau malu kerana Asyur. Dari sana pun engkau akan keluar dengan tangan di atas kepala, kerana TUHAN telah menolak mereka yang amat kauharapkan, dan engkau tidak akan berhasil dengan mereka.”