YEREMIA 19:3-6,14-15
YEREMIA 19:3-6 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN menyuruh aku berkata begini, “Hai raja-raja Yehuda dan penduduk Yerusalem! Dengarlah apa yang hendak Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, firmankan kepada kamu. Aku akan mendatangkan malapetaka yang dahsyat ke tempat ini sehingga orang yang mendengarnya terpegun. Aku akan melakukan hal itu kerana bangsa ini telah meninggalkan Aku. Mereka menajiskan tempat ini dengan mempersembahkan korban kepada dewa-dewa yang asing bagi mereka, nenek moyang mereka, dan raja-raja Yehuda. Mereka telah memenuhi tempat ini dengan darah orang yang tidak bersalah. Mereka mendirikan mazbah bagi Baal supaya mereka dapat mempersembahkan anak-anak mereka sebagai korban yang dibakar. Tetapi Aku tidak pernah menyuruh mereka melakukan perkara itu, bahkan tidak pernah hal seperti itu timbul dalam fikiran-Ku. Oleh sebab itu, akan tiba masanya tempat ini tidak lagi disebut Tofet atau Lembah Hinom, melainkan disebut Lembah Pembantaian.
YEREMIA 19:14-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian aku meninggalkan Tofet, tempat TUHAN menyuruh aku untuk menyampaikan perkhabaran-Nya. Aku pergi ke halaman Rumah TUHAN dan berdiri di situ, lalu memberitahu semua orang, bahawa TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, berfirman begini, “Oleh sebab kamu degil dan tidak mahu mendengar firman-Ku, maka Aku akan mendatangkan segala hukuman yang telah Kurancangkan ke atas kota ini dan ke atas semua pekan di sekitarnya.”
YEREMIA 19:3-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Katakanlah, ‘Dengarlah firman TUHAN, wahai raja-raja Yehuda dan penduduk Yerusalem. Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel: “Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka terhadap tempat ini sehingga sesiapa pun yang mendengarnya akan berdenging telinganya. Itu terjadi kerana mereka telah meninggalkan Aku dan membuat tempat ini menjadi asing. Mereka telah membakar dupa kepada tuhan-tuhan lain yang tidak dikenal oleh mereka sendiri, oleh nenek moyang mereka, dan oleh raja-raja Yehuda. Mereka telah memenuhi tempat ini dengan darah orang yang tidak bersalah. Mereka membina bukit-bukit pemujaan bagi Baal untuk membakar habis anak-anak mereka sebagai korban bakaran bagi Baal — suatu hal yang tidak pernah Kuperintahkan atau Kufirmankan, dan yang tidak pernah timbul dalam hati-Ku. Oleh sebab itu ketahuilah, waktunya akan datang, demikianlah firman TUHAN, bahawa tempat ini tidak lagi akan disebut Tofet atau Lembah Ben-Hinom, tetapi Lembah Pembunuhan.
Yeremia 19:14-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah Yeremia pulang dari Tofet, tempat TUHAN mengutusnya untuk bernubuat, dia berdiri di pelataran Bait TUHAN dan berkata kepada seluruh rakyat, “Beginilah firman TUHAN alam semesta, Allah Israel, ‘Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan segala malapetaka yang pernah Kufirmankan terhadap kota ini dan terhadap semua kampungnya, kerana mereka telah mengeraskan hati dan tidak mendengar firman-Ku.’ ”