YEREMIA 18:1-12
YEREMIA 18:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepadaku, “Pergilah ke rumah tukang periuk; Aku akan menyampaikan perkhabaran-Ku kepadamu di sana.” Oleh itu aku pergi ke rumah tukang periuk dan aku nampak dia sedang bekerja. Apabila periuk yang sedang dibuatnya itu kurang sempurna, dia membentuknya semula sehingga menjadi periuk lain yang sesuai dengan kehendaknya. Kemudian TUHAN menyuruh aku berkata kepada umat Israel, “Hai umat Israel, tidakkah Aku berhak memperlakukan kamu seperti yang dilakukan tukang periuk itu dengan tanah liatnya? Sebagaimana tanah liat itu dalam tangan tukang periuk, demikian juga kamu dalam tangan-Ku. Jika pada suatu waktu Aku mengambil keputusan untuk mencabut, meruntuhkan, atau menghancurkan suatu bangsa atau kerajaan, tetapi kemudian bangsa itu bertaubat daripada kejahatan, maka Aku akan membatalkan niat-Ku itu. Sebaliknya, jika Aku mengambil keputusan untuk mendirikan atau menguatkan suatu bangsa atau kerajaan, tetapi kemudian bangsa itu tidak taat kepada-Ku lalu melakukan kejahatan, maka Aku akan membatalkan niat-Ku itu. Sekarang, beritahulah orang Yehuda dan penduduk Yerusalem bahawa Aku sedang merancang untuk melawan mereka, dan menyediakan hukuman untuk mereka. Suruhlah mereka menghentikan cara hidup yang berdosa, serta mengubah kelakuan dan perbuatan mereka. Tetapi mereka akan menjawab, ‘Apa gunanya? Kami akan tetap degil dan jahat mengikut kemahuan kami!’ ”
YEREMIA 18:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Demikianlah firman yang turun daripada TUHAN kepada Yeremia, “Segeralah pergi ke rumah tukang periuk. Di sana Aku akan memperdengarkan firman-Ku kepadamu.” Maka pergilah aku ke rumah tukang periuk, dan tampak dia sedang melakukan pekerjaan di atas pelarikan. Kalau bejana yang dibuatnya daripada tanah liat itu rosak di tangannya, maka tukang periuk itu mengerjakannya kembali untuk menjadi bejana lain, menurut apa yang dipandang baik olehnya. Lalu datanglah firman TUHAN kepadaku demikian, “Tidak dapatkah Aku berbuat terhadap kamu seperti tukang periuk ini, wahai keturunan kaum Israel?” demikianlah firman TUHAN. “Sesungguhnya, seperti tanah liat di tangan tukang periuk, demikianlah kamu di tangan-Ku, wahai keturunan kaum Israel! Ada kalanya Aku berfirman bahawa Aku akan mencabut, merobohkan, dan membinasakan sesuatu bangsa atau sesuatu kerajaan. Namun demikian, jika bangsa yang Kuancam itu bertaubat daripada kejahatannya, maka Aku akan menarik kembali malapetaka yang Kurancangkan bagi mereka. Ada kalanya Aku berfirman bahawa Aku akan membangunkan dan mengukuhkan sesuatu bangsa atau sesuatu kerajaan. Namun demikian, jika mereka melakukan hal yang jahat di sisi-Ku dan tidak mematuhi-Ku, maka Aku akan menarik kembali kebaikan yang Kujanjikan kepada mereka. Sekarang, katakanlah kepada orang Yehuda dan kepada penduduk Yerusalem demikian, ‘Beginilah firman TUHAN: Sesungguhnya, Aku menetapkan malapetaka ke atasmu dan membuat rancangan untuk menentang kamu. Biarlah setiap orang bertaubat daripada perilakunya yang jahat. Perbaiklah perilakumu dan perbuatanmu.’ Tetapi mereka menjawab, ‘Tiada gunanya! Kami mahu mengikuti fikiran kami sendiri dan setiap orang mahu bertindak menurut kedegilan hatinya yang jahat.’