YEREMIA 17:5-10
YEREMIA 17:5-10 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum sesiapa sahaja yang meninggalkan Aku, dan yang berharap kepada manusia serta bersandar kepada kekuatan manusia fana. Dia seperti belukar di padang gurun, yang tumbuh di kawasan gersang, di tanah bergaram, yang tidak ditumbuhi tumbuhan lain. Orang seperti itu tidak pernah mengalami kebaikan. Tetapi orang yang berharap kepada-Ku akan Kuberkati selalu. Dia bagaikan pokok yang tumbuh di tepi sungai yang mengalir; akarnya merambat sampai ke air. Musim panas tidak ditakutinya, kerana daun-daunnya selalu hijau; walaupun negeri dilanda kemarau, tidak ada kegelisahannya, kerana buah selalu dihasilkannya. Hati manusia tidak dapat difahami oleh sesiapa; hati manusia lebih licik daripada segala-galanya, dan penyakitnya terlalu parah. Aku, TUHAN, menyelidiki hati; fikiran manusia Kuuji. Setiap orang Kuperlakukan menurut tingkah lakunya, dan Kuperlakukan sesuai dengan perbuatannya.”
YEREMIA 17:5-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Beginilah firman TUHAN, “Terkutuklah orang yang bergantung pada manusia, yang bergantung pada kekuatan sendiri, dan yang hatinya berpaling daripada TUHAN. Dia akan menjadi seperti semak di gurun. Ketika hal yang baik datang, dia tidak melihatnya. Dia akan mendiami tempat-tempat yang gersang di gurun, di padang garam yang tidak dihuni. Diberkatilah orang yang bergantung pada TUHAN, yang menaruh kepercayaannya pada TUHAN. Dia akan seperti pokok yang ditanam di tepi air, yang merambat akar-akarnya ke tepi sungai. Dia tidak takut ketika panas datang, daun-daunnya tetap hijau. Dia tidak khuatir pada tahun kemarau, dan tidak akan berhenti menghasilkan buah.” Hati itu licik melebihi segala sesuatu, bahkan sangat parah — siapa dapat mengetahuinya? “Aku, TUHAN, menyelidiki hati dan menguji batin. Aku mengganjar setiap orang selaras dengan perilakunya dan setimpal dengan hasil perbuatannya.”