YEREMIA 15:15-21

YEREMIA 15:15-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Engkau Maha Mengetahui, ya TUHAN, ingatlah dan lawatlah kiranya aku. Adakanlah pembalasan bagiku terhadap orang yang mengejar aku. Jangan cabut nyawaku, kerana Engkau panjang sabar. Ketahuilah bahawa aku menanggung celaan kerana Engkau. Ketika kudapati firman-Mu, aku menikmatinya. Firman-Mu ialah kegirangan bagiku dan kesukaan hatiku, kerana nama-Mu telah diserukan atasku ya TUHAN, Allah alam semesta. Aku tidak pernah duduk dalam kumpulan orang yang bersenda gurau atau bersuka ria. Kerana tekanan tangan-Mu aku duduk sendirian, sebab Engkau telah memenuhi aku dengan geram. Mengapa deritaku terus berlanjutan dan lukaku sangat parah, tidak mahu sembuh? Sungguh, Engkau seperti sungai yang menipu bagiku, air yang tidak dapat diharapkan. Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, “Jika engkau mahu bertaubat, maka Aku akan memulihkan engkau sehingga engkau dapat mengabdikan diri kepada-Ku. Jika engkau mengutarakan apa yang berharga, bukan apa yang hina, maka engkau akan menjadi penyambung lidah bagi-Ku. Orang akan kembali kepadamu, tetapi engkau tidak perlu kembali kepada mereka. Terhadap bangsa ini Aku akan menjadikan engkau tembok berkubu daripada gangsa. Mereka akan berperang melawan engkau tetapi tidak akan menewaskan engkau, kerana Aku menyertai engkau untuk menyelamatkan dan melepaskan engkau,” demikianlah firman TUHAN. “Aku akan melepaskan engkau daripada tangan orang jahat, Aku akan menebus engkau daripada genggaman orang kejam.”