HAKIM-HAKIM 7:7-22

HAKIM-HAKIM 7:7-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian TUHAN berfirman kepada Gideon, “Aku akan menyelamatkan engkau dan memberi engkau kemenangan atas orang Midian dengan tiga ratus orang yang menjilat air. Suruhlah semua orang yang lain itu pulang.” Oleh itu Gideon menyuruh semua orang Israel yang lain pulang, kecuali tiga ratus orang itu. Semua bekal dan trompet diambil daripada mereka yang pulang. Ketika itu orang Midian berkhemah di lembah, di bawah tempat orang Israel berkhemah. Pada malam itu TUHAN berfirman kepada Gideon, “Bangunlah! Pergilah serang perkhemahan orang Midian. Aku memberi engkau kemenangan atas mereka. Jika engkau takut menyerang mereka, pergilah ke perkhemahan mereka bersama dengan Pura, hambamu. Di situ engkau akan mendengar apa yang sedang dipercakapkan musuh, lalu engkau akan berani menyerang mereka.” Oleh itu Gideon dan hambanya Pura pergi ke pinggir perkhemahan musuh. Orang Midian, orang Amalek, dan suku-suku lain dari padang gurun, tersebar di seluruh lembah itu seperti kawanan belalang. Unta mereka banyak sekali, bagaikan pasir di pantai. Apabila Gideon sampai di situ, dia mendengar seseorang sedang menceritakan mimpinya kepada seorang kawan. Orang itu berkata, “Aku bermimpi ada sebuku roti barli terguling-guling masuk ke dalam perkhemahan kita. Roti itu melanggar sebuah khemah, lalu khemah itu roboh sama sekali.” Kawannya menjawab, “Itu pedang Gideon anak Yoas, orang Israel itu. Nyatalah bahawa Allah sudah memberi dia kemenangan atas orang Midian dan seluruh angkatan tentera kita!” Apabila Gideon mendengar mimpi orang itu dan maknanya, dia bersujud menyembah Allah. Kemudian dia kembali ke perkhemahan Israel dan berkata, “Bersedialah! TUHAN memberi kamu kemenangan atas angkatan tentera Midian!” Gideon membahagikan anak buahnya kepada tiga pasukan. Kemudian dia memberi tiap-tiap orang sebuah trompet dan sebuah buyung yang berisi obor. Gideon berkata kepada mereka, “Apabila aku sampai di depan perkhemahan musuh, perhatikan aku baik-baik. Lakukan apa yang aku lakukan. Apabila aku dan pasukanku meniup trompet, kamu juga harus meniup trompet kamu di sekeliling perkhemahan musuh serta berteriak, ‘Untuk TUHAN dan untuk Gideon!’ ” Menjelang tengah malam, Gideon dan seratus orang anak buahnya sampai di pinggir perkhemahan musuh. Pada waktu itu orang yang mengawal perkhemahan itu baru sahaja berganti berkawal. Kemudian Gideon dan pasukannya meniup trompet dan memecahkan buyung mereka. Kedua-dua pasukan yang lain itu pun berbuat demikian. Mereka semua mengangkat obor dengan tangan kiri, dan trompet dengan tangan kanan, lalu berteriak, “Pedang untuk TUHAN dan untuk Gideon!” Mereka semuanya tetap berdiri di tempat masing-masing di sekeliling perkhemahan itu. Kemudian seluruh angkatan tentera musuh lari sambil menjerit-jerit. Sementara anak buah Gideon meniup trompet mereka, TUHAN menyebabkan pasukan musuh menyerang sesama sendiri dengan pedang. Mereka lari ke arah Zerera sampai ke Bet-Sita dan kota Abel-Mehola, dekat Tabat.

HAKIM-HAKIM 7:7-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Gideon, “Akan Aku selamatkan kamu dengan tiga ratus orang yang menghirup itu dan ke dalam tangan kamu akan Aku serahkan orang Midian itu; jadi biarkanlah kesemua warga yang lain itu pulang ke kediaman masing-masing.” Warga tiga ratus orang itu mengambil bekal dan sangkakala dan Gideon menyuruh kesemua orang Israel selebihnya untuk pulang ke khemah masing-masing, tetapi warga tiga ratus orang itu dikekalkan bersama-samanya. Adapun perkhemahan orang Midian terletak di lembah di bawah tempat dia berada. Pada malam itu berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Bangunlah, turunlah menyerbu perkhemahan mereka yang telah Aku serahkan ke dalam tanganmu. Tetapi jika engkau takut untuk turun menyerbu, turunlah bersama-sama hambamu, Pura, ke perkhemahan mereka. Dengarlah engkau apa yang dikatakan mereka; kemudian engkau akan mendapat keberanian untuk turun menyerbu perkhemahan itu.” Lalu turunlah dia bersama-sama Pura, hambanya, ke kota kara perkhemahan itu. Orang Midian dan orang Amalek dan semua orang dari sebelah timur itu bergelimpangan di lembah itu, seperti belalang yang berkerumun dan unta mereka tidak terhitung seperti pasir di tepi laut. Ketika Gideon sampai di situ, kebetulan seseorang sedang menceritakan mimpinya kepada temannya. Katanya, “Aku bermimpi, bahawa ada sekeping roti barli menggolek masuk ke perkhemahan orang Midian lalu melanggar, menterbalikkan dan meranapkan khemah itu.” Temannya menjawab, “Itu tidak lain daripada pedang Gideon anak Yoas, orang Israel itu; Allah telah menyerahkan orang Midian dan seluruh perkhemahan ini ke dalam tangannya.” Segera sesudah Gideon mendengar mimpi itu diceritakan dengan maknanya, sujudlah dia menyembah Allah. Kemudian dia kembali ke perkhemahan orang Israel, lalu berkata, “Bangunlah, kerana TUHAN telah menyerahkan perkhemahan orang Midian ke dalam tanganmu.” Maka dia membahagikan tiga ratus orang itu kepada tiga pasukan dan kepada tangan mereka semua diberikannya sangkakala dan buyung kosong dengan jamung di dalamnya. Dia berkata kepada mereka, “Perhatikanlah aku dan ikut seperti yang aku lakukan. Apabila aku tiba di hujung perkhemahan itu, kamu mesti melakukan seperti yang aku lakukan. Apabila aku dan semua anggota pasukanku meniup sangkakala, kamu juga mesti meniup sangkakala di sekeliling perkhemahan itu, dan berseru, ‘Demi TUHAN dan demi Gideon!’ ” Lalu Gideon dan pasukan seratus orangnya tiba di hujung perkhemahan itu pada permulaan giliran kawalan tengah malam, ketika para pengawal baru sahaja ditempatkan. Lalu mereka meniup sangkakala sambil memecahkan buyung di tangan mereka. Ketiga-tiga pasukan itu pun meniup sangkakala, dan memecahkan buyung. Mereka memegang obor di tangan kiri dan sangkakala di tangan kanan untuk ditiup lalu berseru, “Pedang demi TUHAN dan demi Gideon!” Setiap warga berdiri di tempat masing-masing di sekeliling perkhemahan itu. Kacau-bilaulah seluruh tentera musuh yang berteriak-teriak dan bertempiaran melarikan diri. Apabila kesemua tiga ratus orang itu meniup sangkakala di perkhemahan itu, TUHAN membuat tentera musuh berlawan sesama sendiri lantas larilah tentera musuh sampai Bet-Sita ke arah Zerera hingga pinggir Abel-Mehola dekat Tabat.