HAKIM-HAKIM 7:16-23

HAKIM-HAKIM 7:16-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Maka dia membahagikan tiga ratus orang itu kepada tiga pasukan dan kepada tangan mereka semua diberikannya sangkakala dan buyung kosong dengan jamung di dalamnya. Dia berkata kepada mereka, “Perhatikanlah aku dan ikut seperti yang aku lakukan. Apabila aku tiba di hujung perkhemahan itu, kamu mesti melakukan seperti yang aku lakukan. Apabila aku dan semua anggota pasukanku meniup sangkakala, kamu juga mesti meniup sangkakala di sekeliling perkhemahan itu, dan berseru, ‘Demi TUHAN dan demi Gideon!’ ” Lalu Gideon dan pasukan seratus orangnya tiba di hujung perkhemahan itu pada permulaan giliran kawalan tengah malam, ketika para pengawal baru sahaja ditempatkan. Lalu mereka meniup sangkakala sambil memecahkan buyung di tangan mereka. Ketiga-tiga pasukan itu pun meniup sangkakala, dan memecahkan buyung. Mereka memegang obor di tangan kiri dan sangkakala di tangan kanan untuk ditiup lalu berseru, “Pedang demi TUHAN dan demi Gideon!” Setiap warga berdiri di tempat masing-masing di sekeliling perkhemahan itu. Kacau-bilaulah seluruh tentera musuh yang berteriak-teriak dan bertempiaran melarikan diri. Apabila kesemua tiga ratus orang itu meniup sangkakala di perkhemahan itu, TUHAN membuat tentera musuh berlawan sesama sendiri lantas larilah tentera musuh sampai Bet-Sita ke arah Zerera hingga pinggir Abel-Mehola dekat Tabat. Kemudian dikerahkanlah orang Israel daripada suku Naftali dan suku Asyer serta seluruh suku Manasye untuk mengejar orang Midian itu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami