HAKIM-HAKIM 6:7-16

HAKIM-HAKIM 6:7-16 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian umat Israel berseru meminta TUHAN menolong mereka melawan orang Midian. Oleh itu TUHAN mengutus seorang nabi kepada mereka. Nabi itu berkata, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah menyelamatkan kamu daripada perhambaan di Mesir. Aku telah menyelamatkan kamu daripada orang Mesir dan penduduk negeri ini yang melawan kamu. Aku mengusir mereka ketika kamu menyerang mereka, lalu Aku memberi kamu negeri mereka. Aku memberitahu kamu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, dan bahawa kamu tidak boleh menyembah dewa-dewa orang Amori, yang negerinya kamu diami sekarang. Tetapi kamu tidak mentaati firman-Ku.’ ” Kemudian pada suatu hari malaikat TUHAN datang ke pekan Ofra dan duduk di bawah pokok oak kepunyaan Yoas, seorang daripada puak Abiezer. Anak lelaki Yoas yang bernama Gideon sedang mengirik gandum di tempat memeras anggur. Dia melakukan kerja itu dengan sembunyi-sembunyi supaya orang Midian tidak nampak dia. Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Gideon di situ dan berkata, “TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!” Gideon berkata kepadanya, “Benarkanlah aku bertanya. Jika TUHAN sungguh menyertai kami, mengapakah segala perkara ini berlaku kepada kami? Di manakah segala perbuatan ajaib yang pernah dilakukan TUHAN dahulu, yang diceritakan oleh nenek moyang kami tentang TUHAN mengeluarkan mereka dari Mesir? Sekarang TUHAN telah meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke tangan orang Midian.” Kemudian TUHAN memberikan perintah ini kepada Gideon, “Dengan segenap tenagamu, pergilah bebaskan orang Israel daripada orang Midian. Akulah yang mengutus engkau.” Gideon menjawab, “Tetapi Tuhan bagaimana mungkin aku menyelamatkan umat Israel? Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagi pun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku.” TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan menolong engkau, kerana itu engkau pasti berjaya. Engkau akan mengalahkan orang Midian seolah-olah engkau berhadapan dengan satu orang sahaja.”

HAKIM-HAKIM 6:7-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ketika orang Israel berseru kepada TUHAN lantaran petaka daripada warga Midian itu, TUHAN mengutus seorang nabi kepada orang Israel yang berkata kepada mereka, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Akulah yang membawa kamu keluar dari Mesir dan yang membawa kamu keluar daripada kancah perhambaan. Aku melepaskan kamu daripada cengkaman orang Mesir dan daripada tangan semua orang yang menindas kamu, bahkan Aku mengusir mereka dari depanmu dan negeri mereka Kuberikan kepadamu. Dan Aku berfirman kepadamu, bahawa Akulah TUHAN, Allahmu, maka janganlah kamu menyembah tuhan orang Amori, yang negeri mereka kamu diami ini. Tetapi kamu tidak mentaati firman-Ku itu.’ ” Kemudian datanglah Malaikat TUHAN dan duduk di bawah pokok oak di Ofra, kepunyaan Yoas, orang Abiezer itu, sedang Gideon, anaknya, mengirik gandum di tempat pemerasan anggur agar terselamat hasilnya daripada orang Midian. Malaikat TUHAN menjelma di hadapannya lalu berkata kepadanya, “TUHAN menyertai engkau, wahai pahlawan yang gagah berani.” Gideon pun menjawab, “Ya, Tuan, jika TUHAN menyertai kami, mengapakah kesemua petaka ini menimpa kami? Di manakah segala mukjizat-Nya yang diceritakan nenek moyang kami kepada kami, ketika mereka berkata, ‘Bukankah TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir?’ Tetapi sekarang TUHAN meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke dalam cengkaman orang Midian.” TUHAN berpaling kepadanya dan berfirman, “Pergilah dengan kekuatanmu ini dan selamatkanlah orang Israel daripada cengkaman orang Midian. Bukankah Aku mengutus engkau?” Namun begitu, Gideon menjawab-Nya, “Ya Tuhan, bagaimanakah dapat aku selamatkan orang Israel? Lihatlah, kaumku yang terkecil antara semua suku Manasye, malah aku pula yang paling muda antara kaum keluargaku.” Berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Pasti Aku akan menyertai engkau dan engkau akan menumpaskan kaum Midian itu.”