HAKIM-HAKIM 6:1,11-16
HAKIM-HAKIM 6:1 Alkitab Berita Baik (BM)
Sekali lagi umat Israel berdosa terhadap TUHAN. Oleh itu TUHAN membiarkan orang Midian menjajah mereka selama tujuh tahun.
HAKIM-HAKIM 6:11-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian pada suatu hari malaikat TUHAN datang ke pekan Ofra dan duduk di bawah pokok oak kepunyaan Yoas, seorang daripada puak Abiezer. Anak lelaki Yoas yang bernama Gideon sedang mengirik gandum di tempat memeras anggur. Dia melakukan kerja itu dengan sembunyi-sembunyi supaya orang Midian tidak nampak dia. Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Gideon di situ dan berkata, “TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!” Gideon berkata kepadanya, “Benarkanlah aku bertanya. Jika TUHAN sungguh menyertai kami, mengapakah segala perkara ini berlaku kepada kami? Di manakah segala perbuatan ajaib yang pernah dilakukan TUHAN dahulu, yang diceritakan oleh nenek moyang kami tentang TUHAN mengeluarkan mereka dari Mesir? Sekarang TUHAN telah meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke tangan orang Midian.” Kemudian TUHAN memberikan perintah ini kepada Gideon, “Dengan segenap tenagamu, pergilah bebaskan orang Israel daripada orang Midian. Akulah yang mengutus engkau.” Gideon menjawab, “Tetapi Tuhan bagaimana mungkin aku menyelamatkan umat Israel? Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagi pun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku.” TUHAN berfirman kepadanya, “Aku akan menolong engkau, kerana itu engkau pasti berjaya. Engkau akan mengalahkan orang Midian seolah-olah engkau berhadapan dengan satu orang sahaja.”
HAKIM-HAKIM 6:1 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Akan tetapi, orang Israel berbuat jahat lagi di mata TUHAN lalu TUHAN menyerahkan mereka ke dalam tangan bani Midian selama tujuh tahun.
Hakim-Hakim 6:11-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian datanglah Malaikat TUHAN dan duduk di bawah pokok oak di Ofra, kepunyaan Yoas, orang Abiezer itu, sedang Gideon, anaknya, mengirik gandum di tempat pemerasan anggur agar terselamat hasilnya daripada orang Midian. Malaikat TUHAN menjelma di hadapannya lalu berkata kepadanya, “TUHAN menyertai engkau, wahai pahlawan yang gagah berani.” Gideon pun menjawab, “Ya, Tuan, jika TUHAN menyertai kami, mengapakah kesemua petaka ini menimpa kami? Di manakah segala mukjizat-Nya yang diceritakan nenek moyang kami kepada kami, ketika mereka berkata, ‘Bukankah TUHAN telah membawa kita keluar dari Mesir?’ Tetapi sekarang TUHAN meninggalkan kami dan menyerahkan kami ke dalam cengkaman orang Midian.” TUHAN berpaling kepadanya dan berfirman, “Pergilah dengan kekuatanmu ini dan selamatkanlah orang Israel daripada cengkaman orang Midian. Bukankah Aku mengutus engkau?” Namun begitu, Gideon menjawab-Nya, “Ya Tuhan, bagaimanakah dapat aku selamatkan orang Israel? Lihatlah, kaumku yang terkecil antara semua suku Manasye, malah aku pula yang paling muda antara kaum keluargaku.” Berfirmanlah TUHAN kepadanya, “Pasti Aku akan menyertai engkau dan engkau akan menumpaskan kaum Midian itu.”