HAKIM-HAKIM 3:12-21

HAKIM-HAKIM 3:12-21 Alkitab Berita Baik (BM)

Umat Israel berdosa lagi terhadap TUHAN. Oleh sebab itu TUHAN menjadikan Raja Eglon dari Moab, lebih kuat daripada Israel. Raja Eglon bergabung dengan orang Amori dan orang Amalek lalu mengalahkan Israel, kemudian merebut Yerikho, kota pokok kurma. Umat Israel dijajah oleh Raja Eglon selama lapan belas tahun. Kemudian umat Israel berseru minta tolong kepada TUHAN, lalu Dia mengutus Ehud anak Gera untuk membebaskan mereka; Ehud seorang yang kidal, daripada suku Benyamin. Umat Israel mengutus Ehud untuk menghantar ufti kepada Raja Eglon dari Moab. Ehud membuat sebilah pedang yang bermata dua, yang panjangnya hampir lima puluh sentimeter. Dia mengikat pedang itu pada pinggangnya sebelah kanan, di dalam bajunya. Kemudian dia pergi menghantar ufti kepada Raja Eglon. Raja itu gemuk gedempong. Setelah Ehud menyerahkan ufti itu, dia menyuruh semua orang yang membawa ufti itu pulang. Tetapi Ehud sendiri berpatah balik ketika dia tiba di batu-batu berukir dekat Gilgal, lalu kembali kepada Raja Eglon. Ehud berkata kepada raja, “Tuanku, ada rahsia yang hendak hamba sampaikan kepada tuanku.” Raja bertitah kepada hamba-hambanya, “Tinggalkanlah kami berdua!” Lalu hamba-hamba baginda semua keluar dari situ. Pada masa itu raja duduk seorang diri di dalam bilik yang dingin di bumbung istananya. Kemudian Ehud menghampiri raja dan berkata, “Hamba ada berita daripada Allah untuk tuanku.” Mendengar kata-kata itu, raja berdiri. Kemudian dengan tangan kiri, Ehud menghunus pedang dari pinggangnya sebelah kanan dan menikam perut raja.

HAKIM-HAKIM 3:12-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Orang Israel berbuat jahat lagi di mata TUHAN. Lalu TUHAN memberikan kuasa kepada Eglon, raja Moab untuk menundukkan orang Israel kerana mereka berbuat jahat di mata TUHAN. Lalu Eglon yang bergabung dengan bani Amon dan orang Amalek mara lalu menewaskan orang Israel serta menguasai kota pokok kurma itu. Tertakluklah orang Israel selama lapan belas tahun di bawah pemerintahan Eglon, raja Moab. Maka orang Israel berseru meminta pertolongan TUHAN lalu TUHAN membangkitkan bagi mereka seorang penyelamat daripada bani Benyamin, iaitu Ehud, anak Gera, seorang yang kidal. Melaluinya, orang Israel mengirimkan ufti kepada Eglon, raja Moab. Ehud pun membuat pedang sepanjang sehasta yang bermata dua yang dilekapkan pada pangkal paha kanannya, di bawah jubahnya. Lalu dia mempersembahkan ufti kepada Eglon, raja Moab yang berbadan amat gemuk itu. Selepas menyerahkan ufti itu, Ehud menyuruh para pembawa ufti itu untuk beredar dari situ. Akan tetapi, dia sendiri berpaling daripada patung-patung berhala di Gilgal itu sambil berkata, “Tuanku, saya ada membawa pesan rahsia untuk tuanku.” Kata Eglon, “Diam. Nanti dahulu!” Kemudian semua pengiringnya keluar meninggalkannya. Ehud masuk dan menghampiri raja yang duduk bersendirian di bilik rumah peranginan itu. Berkatalah Ehud, “Ada firman Allah yang perlu aku sampaikan kepada tuanku.” Lalu dia bangun dari tempat duduknya. Lantas tangan kiri Ehud menghunus pedang dari pangkal paha kanannya dan terus menusukkan pedang itu ke dalam perut raja