YAKOBUS 4:1-17

YAKOBUS 4:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Dari manakah datangnya semua perkelahian dan pertengkaran yang berlaku antara kamu? Semua itu berasal daripada keghairahan untuk kesenangan hidup, yang sentiasa bertentangan dalam diri kamu. Kamu mengingini sesuatu, tetapi tidak mendapatnya, maka kamu mahu membunuh. Kamu sangat menghendaki sesuatu, tetapi tidak dapat memperolehnya, maka kamu bertengkar dan berkelahi. Kamu tidak mendapat apa yang kamu ingini, kerana kamu tidak memintanya daripada Allah. Apabila kamu memintanya, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuan kamu jahat. Apa yang kamu minta itu untuk kesenangan diri sendiri. Kamu orang yang tidak setia! Kamu tahu bahawa orang yang bersahabat dengan dunia menjadi musuh Allah. Oleh itu, sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia, menjadi musuh Allah. Janganlah anggap ringan ayat Alkitab ini, “Roh yang penuh dengan keinginan keras, ditempatkan oleh Allah dalam diri kita.” Meskipun demikian, rahmat yang diberikan oleh Allah lebih kuat. Itulah sebabnya di dalam Alkitab tertulis, “Allah menentang orang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati.” Oleh itu, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu. Hampirilah Allah, dan Allah pun akan menghampiri kamu. Basuhlah tangan kamu, hai kamu yang berdosa! Sucikanlah hati kamu, hai kamu yang munafik! Hendaklah kamu menyesal, menangis, dan meratap! Hendaklah ketawa kamu menjadi tangisan dan kegembiraan kamu menjadi kedukaan! Hendaklah kamu merendahkan diri di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikan kamu. Saudara-saudaraku, janganlah saling mengecam. Sesiapa mengecam atau menghakimi saudara seiman, orang itu mengecam dan menghakimi Taurat. Jika dia menghakimi Taurat, maka dia tidak lagi mentaati Taurat, tetapi menghakiminya. Hanya Allah yang berhak membuat hukum dan menghakimi manusia. Hanya Dialah yang dapat menyelamatkan ataupun membinasakan orang. Tetapi siapakah kamu sehingga mahu menghakimi sesama manusia? Sekarang dengarlah nasihatku, hai kamu yang berkata, “Hari ini atau esok kami akan berangkat ke suatu negeri dan tinggal di sana selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.” Tetapi apa yang akan berlaku dengan kehidupan kamu esok, kamu tidak tahu! Kamu seperti kepulan asap, yang kelihatan sebentar sahaja lalu lenyap. Kamu seharusnya berkata begini, “Jika diperkenankan Tuhan, kami akan hidup dan melakukan ini atau itu.” Tetapi sekarang kamu sombong dan bercakap besar. Bercakap besar seperti itu salah. Oleh itu, seseorang yang tidak melakukan apa yang baik dan yang harus dilakukan, orang itu berdosa.

YAKOBUS 4:1-17 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

MAKA deri manakah grangan datangnya prang prang dan pŭrkŭliehan itu diantara kamu? maka bukankah datangnya itu deripada hawa nafsu yang bŭrprang dalam sagala anggotamu? Kamu bŭrnafsu, tapi tiada dapat: maka kamu mŭmbunoh, dan bŭrkahandak akan mŭndapat, tiada kamu pŭrulih: maka kamu bŭrkŭlichi dan bŭrprang, tŭtapi tiada juga kamu dapat, ulih sŭbab tiada kamu minta. Maka kamu mŭminta, tapi tiada kamu mŭndapat, ulih sŭbab salah pintamu itu, kŭrna kahandakmu akan mŭnghabiskan dia dŭngan hawa nafsumu. Hie kamu laki laki dan pŭrampuan bŭrzinah, bukankah kamu tŭlah mŭngatahui, bahwa sahabat dunia itu iya itulah bŭrsŭtru dŭngan Allah? maka sŭbab itu barang siapa yang handak bŭrsahabat dŭngan dunia, maka iya itulah bŭrsŭtru dŭngan Allah. Adakah pada sangka kamu kitab Allah itu bŭrkata sia sia, iya itu Roh yang ada dalam diri kami itu inginkan akan kadŭngkian? Tŭtapi Tuhan mŭngurniakan tŭrlebih banyak rahmat, maka deri sŭbab itu katanya, bahwa Allah mŭlawan akan orang chongkak, tŭtapi dikurniakannya rahmatnya kapada orang yang mŭrŭndahkan dirinya. Maka sŭbab itu sŭrahkanlah dirimu kapada Allah, dan lawanlah akan iblis itu, maka iya kŭlak akan lari deripada kamu. Maka hampirilah akan Allah, maka iya pun kŭlak akan mŭnghampiri kamu. Suchikanlah tanganmu, hie orang orang bŭrdosa, dan suchikanlah hatimu, hie orang orang yang bŭrchabang ingatan. Duka chitalah dan mashol, dan mŭnangis: biarlah tŭrtawamu itu gantikan dŭngan mashol, dan tŭrmasamu itu gantikan dŭngan kadukaan. Maka rŭndahkanlah dirimu dihalrat Tuhan, iya kŭlak akan mŭninggikan kamu. Saudara saudara, janganlah kiranya kamu mŭnjahatkan sa’orang akan sa’orang, maka adapun barang siapa yang mŭnjahatkan saudaranya, dan mŭnyalahkan saudaranya, spŭrti iya mŭnjahatkan hukum, dan mŭnyalahkan hukum itu; tŭtapi jikalau angkau mŭnyalahkan hukum itu, maka tiadalah angkau mŭnjadi orang yang mŭnurot hukum itu, mŭlainkan angkau mŭnjadi sa’orang hakim. Hanya suatu sahja yang mŭmbri hukum, dan yang bulih mŭmliharakan, dan mŭmbinasakan; tŭtapi siapakah angkau yang mŭnyalahkan orang lain? Ingatlah skarang kamu yang bŭrkata, Hari ini, atau esok kami handak pŭrgi kanŭgri anu, dan tinggal disana sa’tahun lamanya bŭrjual bli, dan mŭnchari untong; Tŭtapi tiada kamu kŭtahui apakah kŭlak akan jadi pada esok? Apakah hidopmu itu? Spŭrti wap adanya, yang klihatan sŭbŭntar sahja, kumdian lŭnyaplah iya. Kŭrna patutlah kamu bŭrkata, Jikalau dŭngan kahandak Allah kita kŭlak hidop, mŭmbuat itu atau ini. Tŭtapi skarang kamu mŭmŭgahkan dirimu dŭngan sombongmu; adapun tŭrmasa yang dŭmkian itu jahat adanya. Maka sŭbab itulah barang siapa yang mŭngatahui bŭrbuat baik, maka tiada dipŭrbuatnya itu, iya bŭrdosa adanya.

YAKOBUS 4:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Apakah punca segala pergaduhan dan pertengkaran dalam kalanganmu? Puncanya ialah keinginan hawa nafsu yang sentiasa bergolak dalam dirimu. Kamu berhasrat akan sesuatu tetapi tidak mendapatnya, maka kamu ingin membunuh. Kamu ingin memiliki sesuatu tetapi tidak berjaya, lalu kamu bertengkar dan bergaduh. Kamu tidak mendapat apa yang kamu ingini kerana kamu tidak memohonnya daripada Allah. Kalau kamu memohonnya sekalipun, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuanmu jahat. Kamu memintanya untuk kesenangan diri sendiri. Kamu tidak setia. Tidakkah kamu tahu bahawa sesiapa yang bersahabat dengan dunia menjadi musuh Allah? Oleh itu, sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia menjadikan dirinya musuh Allah. Atau kamu menganggap Kitab Suci mengatakan tanpa sebab bahawa Roh yang ditempatkan di dalam diri kita oleh Allah amat mengingini kita. Walaupun demikian, kasih kurnia yang dianugerahkan oleh Allah lebih kuat, maka tersurat dalam Kitab Suci: “Allah menentang orang yang angkuh tetapi memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati.” Oleh yang demikian, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripadamu. Dampingi Allah, Allah akan mendampingimu. Basuh bersih tanganmu, wahai kamu yang berdosa. Sucikan hatimu, wahai kamu yang munafik. Menyesallah, menangis dan merataplah kamu. Biar ketawamu menjadi tangisan, kerianganmu menjadi kesedihan. Rendahkan dirimu di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikanmu. Saudara-saudaraku, janganlah fitnah-memfitnah. Sesiapa yang memfitnah atau menghakimi saudara seimannya, maka dia memfitnah atau menghakimi hukum. Jika dia menghakimi hukum, maka dia tidak lagi mematuhi hukum. Hanya ada seorang Pemberi hukum dan Hakim. Hanya Dia yang dapat menyelamatkan atau membinasakan seseorang. Siapakah kamu maka ingin menghakimi sesama manusia? Sekarang, dengarlah nasihatku, wahai kamu yang berkata, “Hari ini atau esok kami akan bertolak ke sebuah negeri dan tinggal di situ selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.” Tetapi kamu tidak tahu apa yang akan terjadi dengan kehidupan esok. Kamu umpama wap, yang kelihatan sejurus lantas lenyap. Sepatutnya kamu berkata demikian, “Kalau diizinkan Tuhan, kami akan terus hidup dan melakukan sekian-sekian.” Sebaliknya kamu angkuh dan bercakap besar. Bercakap besar demikian itu adalah salah. Apabila seseorang tidak melakukan sesuatu yang baik dan sepatutnya dilakukan, maka orang itu berdosa.