YAKOBUS 3:3-18

YAKOBUS 3:3-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menuruti kehendak kita. Dengan kekang kita dapat mengendalikan kuda. Demikian juga halnya dengan kapal, meskipun besar dan digerakkan oleh angin yang sangat kencang, namun kapal dikendalikan oleh kemudi yang sangat kecil. Kapal bergerak ke arah yang dikehendaki jurumudi. Demikian juga dengan lidah kita, meskipun kecil, tetapi dapat menyombongkan perkara-perkara yang besar. Bayangkan betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang sangat kecil! Lidah seperti api. Pada diri kita, lidah seperti dunia yang dikuasai kejahatan, dan menyebarkan kejahatan ke seluruh diri kita. Lidah menghanguskan seluruh hidup kita dengan api yang berasal dari neraka. Manusia dapat menjinakkan dan memang sudah menjinakkan semua makhluk lain - binatang buas, burung, binatang menjalar, dan ikan. Tetapi tidak seorang pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat dan tidak dapat dikuasai, serta penuh dengan racun yang mematikan. Kita menggunakan lidah untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia, yang sudah diciptakan menurut rupa Allah. Ucapan syukur dan kata-kata kutukan keluar dari mulut yang sama. Saudara-saudaraku, perkara ini tidak seharusnya berlaku! Tidak ada mata air yang mengeluarkan air tawar dan air pahit dari sumber yang sama. Saudara-saudaraku, pokok ara tidak dapat menghasilkan buah zaitun, dan pokok anggur tidak dapat menghasilkan buah ara. Mata air yang masin, juga tidak dapat mengeluarkan air tawar. Adakah antara kamu seorang yang bijak dan pandai? Dia harus membuktikannya dengan kelakuannya yang baik, dan melalui kebajikan yang diamalkannya dengan kerendahan hati dan kebijaksanaan. Tetapi jika kamu sangat iri hati dan mementingkan diri sendiri, janganlah berdosa terhadap berita benar daripada Allah, dengan bercakap besar tentang kebijaksanaan kamu. Kebijaksanaan semacam itu tidak datang dari syurga, tetapi berasal dari dunia, daripada tabiat manusia yang berdosa dan daripada roh jahat! Apabila orang iri hati dan mementingkan diri sendiri, maka akan berlakulah kekacauan dan segala macam kejahatan. Tetapi orang yang mempunyai kebijaksanaan yang datang dari syurga, pertama sekali murni, suka akan kedamaian, lemah lembut, dan ramah tamah. Mereka berbelas kasihan dan mengamalkan segala macam perbuatan baik. Mereka tidak berat sebelah ataupun munafik. Kebaikan adalah hasil daripada benih kedamaian yang ditanam oleh orang yang suka akan kedamaian.

YAKOBUS 3:3-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Lihatlah kami mŭmbuboh kang dimulot kuda, supaya diturotnya akan kami, maka kami mŭmusingkan sagala tubohnya. Lihatlah pula lagi akan sagala kapal itu, maka sungguhpun iya sŭbŭsar itu, dan ditiup ulih angin yang kras itu, tŭtapi dipusingkan sana kamari dŭngan suatu kamudi yang amat kŭchil, barang dimana dikahandaki ulih malim itu. Maka dŭmkian itu juga lidah pun suatu anggota yang kŭchil adanya, maka iya mŭngŭrjakan pŭrkara pŭrkara yang bŭsar. Lihatlah, brapa bŭsar kayu itu dimakan ulih api yang kŭchil itu! Adapun lidah itupun suatu api adanya, maka iya itulah suatu dunia kŭjahatan: maka dŭmkianlah adanya lidah itu diantara anggota kami, iya itu mŭnŭjiskan sagala tuboh, dan mŭnyalakan jintra kajadian itu; dan lagi iya itu dinyalakan ulih naraka. Kŭrna sagala jŭnis binatang, dan burong, dan ular ular, dan sagala pŭrkara yang dalam laut, bulih dijinakkan, dan sudah dijinakkan ulih manusia: Tŭtapi akan lidah itu tiada dapat dijinakkan; maka iya itulah suatu jahat yang tiada dapat diprentahkan, pŭnohlah dŭngan rachun yang mŭmbunoh. Tŭtapi dŭngan lidah itu juga kami mŭmuji Allah, iya itu Ayah; dan dŭngan dia itu juga kami mŭlaanatkan manusia, yang tŭlah dijadikan atas pŭta Allah. Maka deripada suatu mulot juga tŭrbit bŭrkat, dan laanat. Saudara saudaraku, sagala pŭrkara ini skali kali tiada patut mŭnjadi dŭmkian. Adakah mata ayer itu mŭnŭrbitkan deripada suatu tŭmpat juga, ayer manis dan pahit pun? Saudara saudaraku, bulihkah pohon ara itu bŭrbuahkan buah buah zeit? atau pohon anggor bŭrbuahkan ara? maka dŭmkian tiada bulih mata ayer itupun mŭnŭrbitkan kaduanya ayer masin dan tawar. Siapakah orang budiman dan bŭrisi dŭngan pŭngatahuan diantara kamu, maka biarlah iya mŭnunjokkan deripada klakuannnya yang baik itu sagala pŭrbuatannya dŭngan budi yang lŭmah lŭmbut. Akan tŭtapi jikalau kamu mŭnaroh dŭngki yang pahit itu, dan pŭrbantahan dalam hati kamu, maka janganlah kamu mŭmŭgahkan dirimu, dan janganlah bŭrdusta mŭlawan bŭnar itu. Adapun ini hikmat bukannya datang deri atas, mŭlainkan deri bumi, dan deri hawa nafsu, dan deri iblis. Kŭrna dimana ada dŭngki, dan pŭrbantahan itu, maka disanalah ada kachau dan sagala jŭnis pŭrbuatan yang jahat. Tŭtapi budiman yang deri atas iya itu pŭrtama tama suchi, kumdian pŭrdamiean, dan lŭmah lŭmbut, sŭnang dibicharakan, dan pŭnoh dŭngan kasihan, dan buah buahnya baik, dŭngan tiada pŭrbethaan, dŭngan tiada munafik. Adapun buah buahan kabŭnaran iya itu ditabori dŭngan sŭjahtra ulih sagala orang yang mŭngadakan sŭjahtra.

YAKOBUS 3:3-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menurut kemahuan kita. Dengan kekang, kita dapat mengendalikan seluruh tubuh kuda. Begitu juga dengan kapal, walaupun besar dan digerakkan oleh angin kencang, tetapi kapal hanya dikendalikan oleh kemudi yang amat kecil. Kapal bergerak ke arah yang ditentukan oleh pengemudi. Demikianlah dengan lidah kita, walaupun kecil, namun dapat bermegah tentang hal-hal yang besar. Betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang amat kecil. Lidah laksana api. Lidah kita ibarat dunia yang dikuasai kejahatan dan memenuhi seluruh diri kita dengan kejahatan. Lidah menghanguskan hidup kita dengan api dari neraka. Manusia dapat dan sudah pun menjinakkan makhluk lain — binatang buas, burung, haiwan menjalar, dan binatang-binatang di laut. Akan tetapi, tiada sesiapa pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat, tidak dapat dikuasai, dan penuh dengan racun yang membunuh. Kita menggunakan lidah untuk memuji Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia yang telah dicipta menurut gambaran Allah. Kata-kata berkat dan kata-kata kutukan lahir daripada mulut yang sama. Ini tidak sepatutnya berlaku, saudara-saudaraku. Dapatkah air tawar dan air masin dikeluarkan daripada mata air yang sama? Saudara-saudaraku, pokok ara tidak mungkin menghasilkan buah zaitun, manakala pokok anggur tidak mungkin mengeluarkan buah ara. Mata air yang masin tidak mungkin memancarkan air tawar. Adakah wujud dalam kalanganmu seorang yang bijak bestari? Sifat ini terbukti melalui kelakuan baik dan kebajikan yang diamalkan dengan rendah hati serta bijaksana. Akan tetapi, sekiranya kamu bersikap hasad dengki dan mementingkan diri, janganlah bermegah dengan kebijaksanaan itu atau menafikan yang benar. Kebijaksanaan demikian tidak berasal dari syurga tetapi dari dunia, tabiat manusia yang berdosa, dan roh iblis. Sikap hasad dengki dan mementingkan diri akan menimbulkan kekacauan serta pelbagai kejahatan. Sebaliknya, apabila seseorang memiliki kebijaksanaan yang berasal dari syurga, maka dia bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah. Dia juga bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik. Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka. Buah perbenaran ialah hasil daripada benih kedamaian yang disemaikan oleh orang yang mencintai kedamaian.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami