YAKOBUS 1:2-5,12-21
YAKOBUS 1:2-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara-saudaraku! Anggaplah diri kamu berbahagia apabila mengalami bermacam-macam cubaan, kerana kamu tahu bahawa semasa kamu mengalami cubaan, dan masih tetap percaya kepada Kristus, kamu sudah membuktikan bahawa kamu tabah menanggung penderitaan. Pastikan supaya ketabahan kamu untuk menanggung penderitaan itu berterusan, sehingga kamu menjadi benar-benar sempurna dan tidak kekurangan sesuatu pun. Jika ada sesiapa antara kamu kurang bijaksana, hendaklah dia berdoa kepada Allah supaya Allah memberikan kebijaksanaan kepadanya; kerana Allah memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang.
YAKOBUS 1:12-21 Alkitab Berita Baik (BM)
Berbahagialah orang yang tabah semasa mengalami cubaan. Apabila mereka berjaya mengatasi cubaan itu, mereka akan menerima pahala berupa kehidupan yang sudah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. Jika seseorang tergoda semasa mengalami cubaan seperti itu, dia tidak boleh berkata, “Godaan ini datangnya daripada Allah.” Hal ini demikian kerana Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan, dan Allah sendiri tidak menggoda orang. Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri yang jahat. Apabila dia menuruti keinginannya yang jahat itu, maka lahirlah dosa; dan dosa yang berterusan akan mengakibatkan kematian. Janganlah kamu tertipu, saudara-saudara yang aku kasihi! Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Allah, Pencipta semua cahaya di langit. Dia Allah yang tidak berubah, dan Dia tidak menyebabkan kegelapan apa pun. Dengan kehendak-Nya sendiri Dia menjadikan kita melalui firman-Nya yang benar. Itulah sebabnya kita mendapat kedudukan yang utama antara semua makhluk ciptaan-Nya. Saudara-saudara yang aku kasihi! Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perkara baik, yang menyenangkan hati Allah. Oleh itu, buanglah segala kebiasaan buruk dan kelakuan yang jahat. Berserahlah kepada Allah dan terimalah firman yang ditanam-Nya di dalam hati kamu, kerana firman itu dapat menyelamatkan kamu.
YAKOBUS 1:2-5 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Saudara saudaraku, bilangkanlah kiranya kasukaan bŭsar adanya, apabila kamu jatoh dalam bŭrbagie bagie pŭrchobaan. Sŭbab kamu tŭlah mŭngatahui, bahwa pŭrchobaan imanmu itu mŭndatangkan sabar. Tŭtapi biarlah kiranya sabar itu mŭnyampornakan lakunya, supaya kamu kŭlak mŭnjadi samporna dan langkap, suatu pun tiada bŭrkurangan. Adapun jikalau kiranya barang sa’orang deripada kamu yang korang budi, maka biarlah dipohonkannya itu kapada Allah, yang mŭngurniai kapada sagala manusia dŭngan kabibasannya, dan tiadalah iya mŭnghŭrdikkan; mŭlainkan akan dikurniakannya padanya.
Yakob 1:12-21 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Bŭrbahgialah kiranya bagie orang yang mŭnahan akan pŭrchobaan: kŭrna apabila iya sudah dichobai, iya kŭlak akan mŭnŭrima mahkota slamat yang tŭlah dijanjikan Tuhan kapada sagala orang yang mŭngasihi akan dia. Sa’orang pun janganlah bŭrkata apabila iya dichobai, aku dichobai ulih Tuhan; kŭrna Allah itu tiada bulih dichobai dŭngan kŭjahatan, maka tiada pula iya mŭnchobai barang sa’orang. Tŭtapi sagala orang dichobai itu apabila iya digrakkan ulih hawa nafsunya sŭndiri sampie tŭrtangkap. Maka sŭtlah itu apabila kainginan itu sudah mŭngandong, kumdian dipranakannyalah dosa; maka dosa, apa bila sudah gŭnap, maka dipranakkannyalah maut. Maka janganlah salah saudara saudara yang kukasih; Adapun tiap tiap pŭmbrian yang baik, dan tiap tiap pŭmbrian yang samporna, iya itu datangnya deri atas, dan turon deripada Ayah yang ampunya trang, maka bagienya itu tiada barang kaubahan, atau bayang bayang pŭrtukaran. Maka dŭngan kahandaknya sŭndiri juga iya tŭlah mŭmpranakan kami dŭngan pŭrkataan yang bŭnar, supaya kami mŭnjadi suatu macham buah buah bungaran deripada kajadiannya. Maka sŭbab itu saudara saudaraku yang kukasih, biarlah masing masing orang itu pantas akan mŭnŭngar, dan lambat akan bŭrkata kata, dan lambat pula akan amarah: Kŭrna kamarahan manusia itu tiadalah mŭngadakan kabŭnaran Allah. Sŭbab itu handaklah kamu mŭnolakkan sŭblah sagala kachŭmaran, dan kalempahan kajahatan, sŭrta mŭnŭrima dŭngan lŭmbut hati akan pŭrkataan yang digambari itu, yang chakap mŭmbri slamat akan jiwamu.
YAKOBUS 1:2-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Saudara-saudaraku, anggaplah sebagai suatu kebahagiaan apabila kamu menghadapi pelbagai cubaan, kerana kamu tahu bahawa ujian terhadap imanmu menghasilkan ketabahan. Pastikan bahawa ketabahanmu itu berterusan, sehingga kamu menjadi sempurna tanpa sebarang kekurangan pun. Sekiranya seseorang di antaramu kurang bijaksana, dia haruslah berdoa kepada Allah supaya mengurniakan kebijaksanaan kepadanya, kerana Allah memberi dengan murah hati kepada semua orang tanpa memandang kesalahan mereka.
Yakobus 1:12-21 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, “Godaan ini datang daripada Allah.” Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa. Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian. Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah terperdaya. Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya. Dengan kehendak-Nya Dia mencipta kita melalui firman-Nya yang benar. Dengan demikian kita menjadi yang sulung antara semua makhluk-Nya. Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah. Oleh itu, kikislah segala tabiat buruk dan kelakuan jahat. Kemudian terimalah firman yang disemaikan-Nya ke dalam hatimu dengan rendah hati, kerana firman itu dapat menyelamatkanmu.