YAKOBUS 1:13-18
YAKOBUS 1:13-18 Alkitab Berita Baik (BM)
Jika seseorang tergoda semasa mengalami cubaan seperti itu, dia tidak boleh berkata, “Godaan ini datangnya daripada Allah.” Hal ini demikian kerana Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan, dan Allah sendiri tidak menggoda orang. Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri yang jahat. Apabila dia menuruti keinginannya yang jahat itu, maka lahirlah dosa; dan dosa yang berterusan akan mengakibatkan kematian. Janganlah kamu tertipu, saudara-saudara yang aku kasihi! Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Allah, Pencipta semua cahaya di langit. Dia Allah yang tidak berubah, dan Dia tidak menyebabkan kegelapan apa pun. Dengan kehendak-Nya sendiri Dia menjadikan kita melalui firman-Nya yang benar. Itulah sebabnya kita mendapat kedudukan yang utama antara semua makhluk ciptaan-Nya.
YAKOBUS 1:13-18 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Sa’orang pun janganlah bŭrkata apabila iya dichobai, aku dichobai ulih Tuhan; kŭrna Allah itu tiada bulih dichobai dŭngan kŭjahatan, maka tiada pula iya mŭnchobai barang sa’orang. Tŭtapi sagala orang dichobai itu apabila iya digrakkan ulih hawa nafsunya sŭndiri sampie tŭrtangkap. Maka sŭtlah itu apabila kainginan itu sudah mŭngandong, kumdian dipranakannyalah dosa; maka dosa, apa bila sudah gŭnap, maka dipranakkannyalah maut. Maka janganlah salah saudara saudara yang kukasih; Adapun tiap tiap pŭmbrian yang baik, dan tiap tiap pŭmbrian yang samporna, iya itu datangnya deri atas, dan turon deripada Ayah yang ampunya trang, maka bagienya itu tiada barang kaubahan, atau bayang bayang pŭrtukaran. Maka dŭngan kahandaknya sŭndiri juga iya tŭlah mŭmpranakan kami dŭngan pŭrkataan yang bŭnar, supaya kami mŭnjadi suatu macham buah buah bungaran deripada kajadiannya.
YAKOBUS 1:13-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, “Godaan ini datang daripada Allah.” Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa. Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian. Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah terperdaya. Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya. Dengan kehendak-Nya Dia mencipta kita melalui firman-Nya yang benar. Dengan demikian kita menjadi yang sulung antara semua makhluk-Nya.