YAKOBUS 1:12-25
YAKOBUS 1:12-25 Alkitab Berita Baik (BM)
Berbahagialah orang yang tabah semasa mengalami cubaan. Apabila mereka berjaya mengatasi cubaan itu, mereka akan menerima pahala berupa kehidupan yang sudah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. Jika seseorang tergoda semasa mengalami cubaan seperti itu, dia tidak boleh berkata, “Godaan ini datangnya daripada Allah.” Hal ini demikian kerana Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan, dan Allah sendiri tidak menggoda orang. Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri yang jahat. Apabila dia menuruti keinginannya yang jahat itu, maka lahirlah dosa; dan dosa yang berterusan akan mengakibatkan kematian. Janganlah kamu tertipu, saudara-saudara yang aku kasihi! Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Allah, Pencipta semua cahaya di langit. Dia Allah yang tidak berubah, dan Dia tidak menyebabkan kegelapan apa pun. Dengan kehendak-Nya sendiri Dia menjadikan kita melalui firman-Nya yang benar. Itulah sebabnya kita mendapat kedudukan yang utama antara semua makhluk ciptaan-Nya. Saudara-saudara yang aku kasihi! Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perkara baik, yang menyenangkan hati Allah. Oleh itu, buanglah segala kebiasaan buruk dan kelakuan yang jahat. Berserahlah kepada Allah dan terimalah firman yang ditanam-Nya di dalam hati kamu, kerana firman itu dapat menyelamatkan kamu. Janganlah tipu diri sendiri dengan hanya mendengarkan firman-Nya. Sebaliknya, lakukanlah apa yang difirmankan-Nya. Seseorang yang mendengar firman Allah tetapi tidak melakukannya, adalah seperti seorang yang melihat dirinya sendiri di depan cermin. Dia menatap dirinya baik-baik, lalu pergi dan langsung lupa akan rupanya. Berita Baik itu hukum Allah yang sempurna dan dapat membebaskan manusia. Seseorang yang mendalami hukum itu dan melakukannya, akan diberkati Allah dalam segala perkara yang dilakukannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.
YAKOBUS 1:12-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Bŭrbahgialah kiranya bagie orang yang mŭnahan akan pŭrchobaan: kŭrna apabila iya sudah dichobai, iya kŭlak akan mŭnŭrima mahkota slamat yang tŭlah dijanjikan Tuhan kapada sagala orang yang mŭngasihi akan dia. Sa’orang pun janganlah bŭrkata apabila iya dichobai, aku dichobai ulih Tuhan; kŭrna Allah itu tiada bulih dichobai dŭngan kŭjahatan, maka tiada pula iya mŭnchobai barang sa’orang. Tŭtapi sagala orang dichobai itu apabila iya digrakkan ulih hawa nafsunya sŭndiri sampie tŭrtangkap. Maka sŭtlah itu apabila kainginan itu sudah mŭngandong, kumdian dipranakannyalah dosa; maka dosa, apa bila sudah gŭnap, maka dipranakkannyalah maut. Maka janganlah salah saudara saudara yang kukasih; Adapun tiap tiap pŭmbrian yang baik, dan tiap tiap pŭmbrian yang samporna, iya itu datangnya deri atas, dan turon deripada Ayah yang ampunya trang, maka bagienya itu tiada barang kaubahan, atau bayang bayang pŭrtukaran. Maka dŭngan kahandaknya sŭndiri juga iya tŭlah mŭmpranakan kami dŭngan pŭrkataan yang bŭnar, supaya kami mŭnjadi suatu macham buah buah bungaran deripada kajadiannya. Maka sŭbab itu saudara saudaraku yang kukasih, biarlah masing masing orang itu pantas akan mŭnŭngar, dan lambat akan bŭrkata kata, dan lambat pula akan amarah: Kŭrna kamarahan manusia itu tiadalah mŭngadakan kabŭnaran Allah. Sŭbab itu handaklah kamu mŭnolakkan sŭblah sagala kachŭmaran, dan kalempahan kajahatan, sŭrta mŭnŭrima dŭngan lŭmbut hati akan pŭrkataan yang digambari itu, yang chakap mŭmbri slamat akan jiwamu. Tutapi handaklah kiranya kamu mŭnjadi pŭnurot pŭrkataan itu, bukannya pŭnŭngar sahja, mŭmpŭrdayakan dirimu sŭndiri. Kŭrna jikalau barang siapa mŭnjadi pŭnŭngar pŭrkataan itu sahja, bukannya pŭnurot, maka iya itulah spŭrti sa’orang yang mŭlihat bŭtul gambar mukanya didalam chŭrmin; Kŭrna sŭtlah sudah iya mŭlihat itu, pŭrgilah iya, maka dŭngan sŭbŭntar itu juga tŭrlupalah iya apakah macham orang iya itu. Tŭtapi barang siapa yang mŭnilik akan hukum kabebasan yang samporna itu, dan tŭtap dalamnya, maka sŭbab iya bukannya pŭnŭngar yang lupa, mŭlainkan pŭnurot pŭkŭrjaan itu, maka orang itulah kŭlak akan dibŭrkati dalam pŭrbuatannya itu.
YAKOBUS 1:12-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Diberkatilah orang yang tabah menghadapi cubaan. Apabila mereka berjaya menangani cubaan itu, mereka akan mendapat mahkota kehidupan yang telah dijanjikan Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. Sekiranya seseorang tergoda ketika menghadapi cubaan demikian, tidaklah wajar dia berkata, “Godaan ini datang daripada Allah.” Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan dan Allah tidak menggoda sesiapa. Seseorang tergoda kerana terjerat oleh nafsu jahatnya sendiri. Apabila dia menurutkan nafsu jahatnya itu, wujudlah dosa; dan dosa yang matang akan membawa kepada kematian. Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah terperdaya. Segala pemberian yang baik dan sempurna diturunkan dari syurga oleh Bapa, sumber segala cahaya. Dia tidak berubah dan tidak seperti bayangan yang berubah-ubah bentuknya. Dengan kehendak-Nya Dia mencipta kita melalui firman-Nya yang benar. Dengan demikian kita menjadi yang sulung antara semua makhluk-Nya. Saudara-saudara yang kukasihi, sebagaimana kamu tahu, seseorang haruslah cepat mendengar, lambat bercakap, dan lambat menjadi marah. Orang yang marah tidak dapat melakukan perbuatan yang benar dan diredai Allah. Oleh itu, kikislah segala tabiat buruk dan kelakuan jahat. Kemudian terimalah firman yang disemaikan-Nya ke dalam hatimu dengan rendah hati, kerana firman itu dapat menyelamatkanmu. Namun demikian, jangan tipu dirimu dengan hanya mendengar firman; lakukanlah firman itu. Seseorang yang mendengar firman tetapi tidak melakukannya adalah ibarat orang yang berdiri di hadapan cermin, meneliti dirinya, kemudian pergi dari situ dan terus lupa akan rupanya. Namun demikian, orang yang meneliti hukum yang sempurna, iaitu hukum yang dapat membebaskan manusia, dan melakukannya, akan diberkati dalam segala tindakannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya.