YESAYA 9:1-8
YESAYA 9:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Orang yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang sangat terang. Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang. Ya TUHAN, Engkau telah memberi mereka kesukaan besar, Engkau membahagiakan mereka. Mereka bersukacita kerana perbuatan-Mu, seperti orang bersukacita semasa menuai hasil tanaman, atau membahagi-bahagikan barang jarahan. Engkau sudah mengambil beban mereka yang berat, dan kayu pikulan dari bahu mereka. Engkau telah mengalahkan bangsa yang menindas dan memperdaya umat-Mu, sebagaimana Engkau mengalahkan tentera Midian dahulu kala. Kasut yang dipakai oleh tentera yang menyerang dan segala pakaian mereka yang berlumuran darah akan dibakar habis oleh api. Seorang anak telah dilahirkan bagi kita! Seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita! Dia akan menjadi pemimpin kita. Dia akan disebut “Penasihat Bijaksana,” “Allah Perkasa,” “Bapa Kekal,” “Raja Damai.” Kekuasaan-Nya akan terus bertambah; pemerintahan-Nya akan sentiasa aman. Dia akan memerintah sebagai ganti Raja Daud, pemerintahan-Nya akan berdasarkan hukum dan keadilan dari sekarang hingga akhir zaman. TUHAN Yang Maha Kuasa pasti melakukan segala perkara ini. Tuhan telah menjatuhkan hukuman kepada kerajaan Israel, iaitu keturunan Yakub. Semua penduduk Israel dan kota Samaria akan mengetahui bahawa Dialah yang melakukan hal ini. Sekarang mereka sombong dan tinggi hati. Mereka berkata
YESAYA 9:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Meskipun begitu, tidak akan ada lagi kesuraman bagi mereka yang dahulu berada dalam kesusahan. Pada zaman dahulu Dia memandang rendah Tanah Zebulon dan Tanah Naftali, tetapi pada kemudian hari Dia akan memuliakan jalan dekat laut di seberang Sungai Yordan, Galilea, daerah bangsa-bangsa asing. Bangsa yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang. Bagi mereka yang tinggal di negeri yang di bawah bayangan maut, cahaya telah bersinar. Engkau melipatgandakan jumlah bangsa itu, Engkau memperbesar sukacita mereka. Mereka bersukacita di hadapan-Mu, seperti orang bersukacita pada musim menuai, seperti orang bergembira apabila membahagi-bahagikan jarahan, kerana kuk yang ditanggung mereka dan kayu pikulan di bahu mereka, iaitu tongkat para penindas mereka, telah Kauhancurkan seperti pada zaman orang Midian. Setiap sepatu yang berderap dalam deru peperangan dan pakaian yang berlumuran darah akan dibakar dan menjadi bahan bakar untuk api. Sesungguhnya, seorang anak telah lahir bagi kita, seorang putera telah dikurniakan bagi kita. Di atas bahunya tampuk pemerintahan, dan namanya akan disebut: Penasihat Ajaib, Allah Perkasa, Bapa Kekal, Raja Damai. Pertumbuhan pemerintahan-Nya serta damai tidak akan ada habisnya atas takhta Daud dan atas kerajaannya. Dia akan mengukuhkan dan menopangnya dengan keadilan dan perbenaran dari sekarang untuk selama-lamanya. Semangat TUHAN alam semesta, yang meluap-luap bagi umat-Nya akan membuat semua hal ini terjadi. Tuhan menyampaikan firman kepada Yakub dan firman itu akan menimpa Israel.