YESAYA 7:1-17

YESAYA 7:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Ahas ialah putera Raja Yotam dan cucu Raja Uzia. Pada masa Raja Ahas memerintah Yehuda, peperangan berlaku. Raja Rezin, raja negeri Siria, dan Raja Pekah anak Remalya, iaitu raja Israel, menyerang Yerusalem tetapi mereka tidak berjaya menawan kota itu. Apabila raja Yehuda mendengar bahawa tentera Siria telah berada di kawasan Israel, raja dan rakyatnya sangat ketakutan sehingga mereka gementar seperti pokok digoyangkan angin. TUHAN berfirman kepada Yesaya, “Bawalah anakmu, Syear Yasyub dan pergilah menghadap Raja Ahas. Engkau akan menemuinya di jalan tempat pembuat kain bekerja, di hujung parit yang menyalurkan air dari kolam yang di sebelah atas. Suruhlah dia berwaspada dan tenang. Dia tidak usah takut ataupun gelisah. Kemurkaan Raja Rezin dan orang Siria serta Raja Pekah tidak lebih berbahaya daripada asap dua puntung kayu api. Siria telah berkomplot dengan Israel dan rajanya. Mereka hendak menyerang Yehuda dan menakut-nakutkan penduduknya supaya berpihak kepada mereka, lalu melantik anak lelaki Tabeel menjadi raja. Tetapi Aku, TUHAN, berfirman bahawa perkara ini sekali-kali tidak akan berlaku, kerana Siria tidak lebih kuat daripada Damsyik, ibu kotanya, dan Damsyik pun tidak lebih kuat daripada Raja Rezin. Sedangkan dalam masa enam puluh lima tahun, Israel akan berpecah belah sehingga tidak dapat bertahan sebagai satu bangsa. Israel tidak lebih kuat daripada Samaria, ibu kotanya, dan Samaria pun tidak lebih kuat daripada Raja Pekah. Jika kamu tidak sungguh-sungguh percaya kepada-Ku, pasti kamu akan jatuh.” TUHAN menyampaikan satu lagi perkhabaran kepada Raja Ahas. “Mintalah supaya TUHAN, Allahmu memberikan satu tanda kepadamu, sama ada dari dunia orang mati di bawah, atau dari langit di atas.” Raja Ahas menjawab, “Beta tidak mahu meminta tanda. Beta tidak mahu menguji TUHAN.” Lalu Yesaya berkata, “Dengarlah baik-baik, hai keturunan Raja Daud. TIdak cukupkah tuanku menguji kesabaran manusia? Mestikah tuanku menguji kesabaran Allah hamba juga? Baiklah, Tuhan sendiri akan memberikan tanda kepada tuanku: seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel.’ Apabila anak itu cukup dewasa untuk membuat keputusannya sendiri, negeri itu akan makmur. Bahkan sebelum masa itu tiba, negeri kedua-dua orang raja yang tuanku takuti akan ditinggalkan kosong. TUHAN akan mendatangkan raja Asyur, lalu tuanku dan semua keluarga tuanku serta rakyat akan mengalami bencana yang lebih dahsyat daripada apa yang pernah berlaku sejak Israel terpisah dari Yehuda.

YESAYA 7:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada zaman Ahas anak Yotam anak Uzia, raja Yehuda, majulah Rezin, raja Aram, dan Pekah anak Remalya, raja Israel, ke Yerusalem untuk memerangi kota itu. Namun begitu, mereka tidak dapat mengalahkannya. Apabila diberitahukan kepada keturunan kaum Daud, “Orang Aram bersekutu dengan orang Efraim,” maka gementarlah hati raja dan hati rakyatnya, seperti pokok di hutan yang digoyangkan angin. Kemudian TUHAN berfirman kepada Yesaya, “Keluarlah engkau bersama-sama anakmu Syear Yasyub dan temuilah Ahas di hujung saluran kolam atas, di jalan raya yang menuju Padang Para Dobi. Katakanlah kepadanya, ‘Mantapkanlah hatimu dan tenanglah. Jangan takut dan jangan tawar hati kerana dua puntung kayu bakar yang berasap ini, iaitu panasnya amarah Rezin bersama orang Aram, dan anak Remalya. Orang Aram bersama orang Efraim dan anak Remalya memang telah merancangkan kejahatan terhadap engkau. Mereka berkata, “Mari kita maju menyerang Yehuda, membuatnya ketakutan, dan menaklukkannya bagi kita, lalu kita mengangkat anak Tabeel sebagai raja di tengah-tengahnya.” ’ Akan tetapi, beginilah firman Tuhan ALLAH, ‘Hal itu tidak akan terlaksana dan tidak akan terjadi, kerana kepala Aram ialah Damsyik, dan kepala Damsyik ialah Rezin. Dalam enam puluh lima tahun, Efraim akan terpecah belah sehingga tidak lagi menjadi satu bangsa. Kepala Efraim ialah Samaria, dan kepala Samaria ialah anak Remalya. Jika kamu tidak percaya, maka tentu kamu tidak akan kekal teguh.’ ” TUHAN berfirman lagi kepada Ahas, “Mintalah suatu tanda daripada TUHAN, Allahmu, entah dari tempat yang terdalam atau dari tempat yang tertinggi di atas.” Tetapi Ahas berkata, “Aku tidak mahu meminta. Aku tidak mahu menguji TUHAN.” Kata Nabi Yesaya, “Dengarlah, wahai keturunan kaum Daud! Belum cukupkah kamu menguji kesabaran manusia, sehingga kamu mahu menguji kesabaran Allahku juga? Oleh sebab itu Tuhan sendiri akan memberikan tanda kepadamu: Sesungguhnya, seorang anak dara akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Dia akan menamainya Immanuel. Anak itu akan makan dadih dan madu sampai dia tahu menolak yang jahat dan memilih yang baik. Tetapi sebelum anak itu tahu menolak yang jahat dan memilih yang baik, negeri yang kedua-dua orang raja yang kautakuti itu akan ditinggalkan. TUHAN akan mendatangkan kepadamu, kepada rakyatmu, dan kepada kaum keluargamu suatu zaman yang belum pernah ada sejak zaman Efraim berpisah daripada Yehuda — Dia akan mendatangkan raja Asyur.”