YESAYA 66:9-14
YESAYA 66:9-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Jangan sangka Aku membenarkan umat-Ku dikandung sehingga cukup bulan, lalu tidak dibenarkan lahir.” TUHAN telah berfirman. Bersukacitalah bersama-sama Yerusalem, hai kamu yang mengasihi kota itu. Bersukacitalah bersama-sama Yerusalem sekarang, kamu semua yang menangisinya dahulu. Kamu akan menikmati kemakmurannya seperti bayi menikmati susu ibunya. TUHAN berfirman, “Aku akan memberi kamu kemakmuran yang berterusan. Kekayaan negeri-negeri lain akan mengalir ke negerimu seperti sungai yang tidak pernah kering. Kamu akan menjadi seperti anak yang disusui oleh ibunya, yang didukung dan dikasihi. Aku akan menghibur kamu di Yerusalem, seperti ibu menghibur anaknya. Apabila kamu melihat kejadian itu, kamu akan bersukacita. Kamu akan berkembang subur seperti rumput. Barulah kamu tahu bahawa Aku, TUHAN menolong orang yang taat kepada-Ku, dan Aku menunjukkan kemurkaan terhadap musuh-Ku.”
YESAYA 66:9-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Masakan Aku membuka rahim orang, tetapi tidak membuatnya bersalin?” demikianlah firman TUHAN. “Masakan Aku membuat orang bersalin, tetapi menutup rahimnya?” demikianlah firman Allahmu. “Bersukacitalah dengan Yerusalem dan bergembiralah kerana dia, wahai semua orang yang mengasihinya! Bergiranglah segirang-girangnya dengan dia, wahai semua orang yang berkabung kerananya, supaya kamu dapat menyusu dan menjadi kenyang oleh buah dadanya yang menyegarkan; supaya kamu dapat menghisap dan bersenang-senang oleh kekayaannya yang berlimpah-limpah.” Beginilah firman TUHAN, “Sesungguhnya, Aku akan mengalirkan kepadanya kedamaian seperti sungai, dan kekayaan bangsa-bangsa seperti sungai yang meluap-luap. Kamu akan menyusu, digendong, dan dibelai-belai di pangkuannya. Seperti seorang yang dihiburkan oleh ibunya, demikianlah Aku akan menghiburkan kamu. Kamu akan dihiburkan di Yerusalem.” Apabila kamu melihatnya, hatimu akan bergirang, tulang-tulangmu akan berkembang seperti rumput muda. Kuasa TUHAN akan dinyatakan kepada hamba-hamba-Nya, dan murka-Nya kepada musuh-musuh-Nya.