YESAYA 65:16-22
YESAYA 65:16-22 Alkitab Berita Baik (BM)
Sesiapa yang tinggal di negeri itu, dan yang memohon berkat akan minta diberkati oleh Allah yang setia. Sesiapa yang bersumpah, akan bersumpah demi Allah yang setia. Hal itu demikian kerana penderitaan pada masa yang lalu telah lenyap dan dilupakan.” TUHAN berfirman, “Aku akan mencipta langit yang baru dan bumi yang baru. Peristiwa-peristiwa yang lalu akan dilupakan sama sekali. Bergiranglah dan bersukacitalah selama-lamanya kerana apa yang Aku ciptakan. Yerusalem baru yang Aku cipta akan penuh kegembiraan dan penduduknya akan bahagia. Aku sendiri akan bersukacita kerana Yerusalem dan penduduknya. Di sana tiada lagi tangisan ataupun seruan minta tolong. Anak-anak tidak akan mati ketika masih bayi, dan orang akan panjang umur. Mereka yang berusia seratus tahun akan dianggap muda. Sesiapa yang mati sebelum seratus tahun akan dianggap kena hukuman-Ku. Orang yang membina rumah akan mendiaminya; rumah-rumah itu tidak akan didiami orang lain. Mereka yang menanam pokok anggur akan menikmati hasilnya; hasil itu tidak akan dinikmati orang lain. Umat-Ku akan panjang umur seperti pokok. Mereka akan puas menikmati hasil usaha mereka.
YESAYA 65:16-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Sesiapa yang memohon berkat di negeri, akan memohon berkat demi Allah yang Maha Benar; siapa yang bersumpah di negeri, akan bersumpah demi Allah yang Maha Benar, kerana segala kesesakan yang dahulu telah dilupakan dan telah tersembunyi daripada mata-Ku.” “Sesungguhnya, Aku akan menciptakan langit yang baru dan bumi yang baru. Hal-hal yang dahulu tidak akan diingat lagi dan tidak akan timbul lagi dalam hati. Tetapi bergiranglah dan bergembiralah untuk selama-lamanya atas apa yang akan Kuciptakan, kerana sesungguhnya, Aku akan menciptakan Yerusalem menjadi suatu kegembiraan dan penduduknya suatu kegirangan. Aku akan bergembira kerana Yerusalem dan bergirang kerana umat-Ku. Suara tangisan tidak akan terdengar lagi di dalamnya, begitu pula suara jeritan. Di sana tidak akan ada lagi bayi yang hanya hidup beberapa hari, atau orang tua yang tidak lanjut umur mereka. Orang yang mati pada umur seratus tahun akan dianggap masih muda, dan orang yang tidak mencapai umur seratus tahun akan dianggap kena kutuk. Mereka akan membina rumah-rumah dan menghuninya, mereka akan menanami kebun-kebun anggur dan memakan buahnya. Mereka tidak akan membina sesuatu untuk dihuni orang lain, mereka tidak akan menanam sesuatu untuk dimakan orang lain, kerana sebagaimana umur pokok, demikianlah umur umat-Ku. Orang pilihan-Ku akan menikmati pekerjaan tangan mereka.