YESAYA 55:6-12
YESAYA 55:6-12 Alkitab Berita Baik (BM)
Kembalilah kepada TUHAN semasa masih dapat; berserulah kepada-Nya semasa Dia masih dekat. Biarlah orang jahat meninggalkan cara hidup mereka, dan mengubah jalan fikiran mereka. Biarlah mereka kembali kepada TUHAN, Allah kita, kerana Dia berbelas kasihan dan sentiasa sedia mengampuni. TUHAN berfirman, “Fikiran-Ku bukan seperti fikiran kamu, dan jalan-Ku bukan seperti jalan kamu. Setinggi langit dari bumi, setinggi itulah jalan-Ku daripada jalanmu, dan fikiran-Ku daripada fikiranmu. Firman-Ku seperti salji dan hujan yang turun dari langit untuk membasahi bumi, serta menumbuhkan tanaman sehingga menghasilkan benih untuk ditanam dan makanan untuk dimakan. Demikian jugalah firman yang Aku ucapkan akan berjaya mencapai tujuan-Ku, dan melakukan setiap perkara yang Aku tentukan. Kamu akan meninggalkan Babel dengan sukacita, kamu akan dipimpin keluar dari kota itu dengan kedamaian. Gunung dan bukit akan bernyanyi dengan gembira, semua pokok di padang akan bertepuk tangan.
YESAYA 55:6-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Carilah hadirat TUHAN selagi Dia dapat ditemui, berserulah kepada-Nya selagi Dia dekat. Hendaklah orang fasiq meninggalkan jalannya dan orang jahat meninggalkan segala rancangannya. Hendaklah dia kembali kepada TUHAN, maka Dia akan mengasihaninya, dan kepada Allah kita, kerana Dia akan mengampuni dengan limpahnya. “Sesungguhnya, rancangan-Ku bukanlah rancanganmu dan jalanmu bukanlah jalan-Ku,” demikianlah firman TUHAN. “Setinggi langit di atas bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku daripada jalanmu dan rancangan-Ku daripada rancanganmu. Seperti hujan dan salji turun dari langit dan tidak kembali ke sana melainkan membasahi bumi, membuatnya berbuah dan bertunas, memberikan benih kepada orang yang menabur dan makanan kepada orang yang mahu makan, demikianlah firman yang Kusampaikan: ia tidak akan kembali kepada-Ku dengan sia-sia melainkan akan melaksanakan apa yang Kukehendaki dan berhasil dalam apa yang Kusuruh kepadanya. Sesungguhnya, kamu akan keluar dengan sukacita dan akan dibimbing dengan damai. Gunung-gunung dan bukit-bukit akan bersorak-sorai gembira di hadapanmu, dan semua pokok di padang akan bertepuk tangan.